Tekanan Politik Memuncak, Eisenkot dan Parti Arab Tekad Singkirkan Netanyahu

Pemimpin parti pembangkang Israel, Gadi Eisenkot mengecam ucapan Perdana Menteri sementara wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu di Knesset sebagai memalukan dan berunsur kebencian, sambil menggesa pembentukan kerajaan darurat bagi menggantikan kepimpinannya.

Eisenkot, yang mengetuai Parti Yashar dan diberikan mandat untuk membentuk kerajaan baharu berkata ucapan Netanyahu ketika majlis angkat sumpah anggota Knesset ke-26 membuktikan bahawa perdana menteri itu tidak lagi layak memegang jawatan. Dia turut memberi amaran bahawa tindakan Netanyahu meneruskan pemerintahan hanya akan meningkatkan perpecahan dalam masyarakat serta mengancam keselamatan Israel.

Menurut Eisenkot, pembentukan kerajaan darurat perlu disegerakan bagi menangani krisis politik dan mengembalikan kestabilan negara. Menurutnya, Netanyahu menggunakan majlis rasmi parlimen untuk menyemarakkan perpecahan dan kebencian, bukannya menyatukan rakyat.

Ketegangan politik semakin memuncak selepas Netanyahu dalam ucapannya menuduh dua gabungan parti Arab iaitu Joint List dan United Arab List mahu memusnahkan Israel. Kenyataan itu dibuat ketika Eisenkot sedang mempertimbangkan kemungkinan mendapatkan sokongan parti-parti Arab bagi membentuk kerajaan baharu.

Sebagai tindak balas,  Joint List menyifatkan Netanyahu berada dalam keadaan tidak terkawal dan mengecam ucapannya sebagai berunsur perkauman, hasutan serta kebencian. Gabungan itu turut berikrar akan berusaha sedaya upaya untuk menyingkirkan Netanyahu, Speaker Knesset dan kerajaan yang dipimpinnya daripada kuasa secepat mungkin, selaras dengan kehendak penyokong mereka.

Pemimpin Joint List, Mansour Abbas turut mengecam ucapan berkenaan. Beliau berkata tindakan Netanyahu menggunakan majlis rasmi Parlimen untuk menghasut sentimen terhadap warga Arab-Israel amat mengejutkan, selain menolak tuduhan yang dilemparkan terhadap parti-parti Arab. Sementara itu, pemimpin Parti Demokrat, Yair Golan mendakwa Netanyahu menghasut kebencian terhadap masyarakat Arab demi mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Susulan perkembangan itu, Eisenkot membatalkan sesi rundingan pembentukan gabungan kerajaan dengan Parti Likud pimpinan Netanyahu yang dijadualkan berlangsung pada Rabu. Parti Yashar menyifatkan ucapan Netanyahu sebagai bukti bahawa beliau tidak benar-benar mahukan perpaduan politik, sebaliknya mengutamakan kelangsungan kuasa sendiri. Bagaimanapun, Likud menyatakan kesediaannya untuk bertemu mana-mana parti yang mahu membincangkan pembentukan kerajaan perpaduan.

Perkembangan itu berlaku ketika rundingan pembentukan kerajaan baharu masih berdepan ketidaksepakatan dalam kalangan parti pembangkang, khususnya mengenai kerjasama dengan parti-parti Arab. Blok yang menentang Netanyahu mempunyai gabungan 67 kerusi daripada keseluruhan 120 kerusi Knesset, termasuk 19 kerusi yang dimiliki dua gabungan parti Arab, manakala blok Netanyahu menguasai 53 kerusi. Presiden Israel, Isaac Herzog telah memberikan Eisenkot tempoh 28 hari untuk membentuk kerajaan dengan kemungkinan lanjutan selama 14 hari.

Sumber: Anadolu, The Times of Israel

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pendatang Haram Israel Bakar Puluhan Kenderaan di Nablus

Next Post

Israel Sasar Kompleks Perubatan Nasser, Enam Terbunuh dan Lebih 20 Cedera

Related Posts