Masa Depan Tebing Barat dalam Ancaman

Bahagian 1

Ketegangan situasi yang semakin memuncak di Tebing Barat, khususnya peningkatan serangan kumpulan pendatang haram Yahudi terhadap orang awam Palestin, siri perampasan tanah, perobohan rumah-rumah dan pemusnahan tanaman milik warga Palestin, selain operasi ketenteraan yang menceroboh dan menindas bukanlah sekadar satu rangkaian tindakan terasing. Sebaliknya, keadaan ini menunjukkan bahawa kerajaan haram Israel dan pendatang haram Yahudi memainkan peranan yang saling melengkapi dalam melaksanakan agenda yang sama. Walaupun ‘kerjasama’ ini tidak dilakukan secara terbuka atau diumumkan secara rasmi, keadaan tersebut membolehkan kerajaan haram Israel mengelak daripada dipertanggungjawabkan secara langsung dari sudut undang-undang. Namun, hakikatnya, tindakan kedua-dua pihak ini dilihat saling menyokong dan menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh projek Zionis secara keseluruhan.

Justeru, tindakan-tindakan ini bukan sekadar inisiatif pendatang haram yang bertindak sendiri disebabkan fanatisisme, dorongan fahaman ekstremis atau arahan ketenteraan yang dibuat secara spontan oleh komander di lapangan. Sebaliknya, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada ‘sistem negara’ yang menggabungkan peranan kerajaan haram Israel (rasmi) dan pendatang haram (tidak rasmi) yang saling melengkapi. Melalui pendekatan ini, Israel berusaha menguasai tanah Palestin secara berperingkat atau melalui pengilhakan de facto, sementara menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan pengilhakan secara rasmi ke atas tanah Palestin. 

Kerajaan ‘Penentu Keputusan’

Sejak penubuhannya pada penghujung tahun 2022, kerajaan haram Israel di bawah pimpinan Benjamin Netanyahu telah menjadikan Tebing Barat sebagai medan utama untuk menggerakkan segala sumber dan keupayaan Israel bagi menentukan masa depannya. Usaha ini bertujuan menerapkan visi Zionis yang berteraskan nasionalisme agama yang ekstrem, serta menamatkan sebarang “impian” Palestin, Arab mahupun antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.

Pada tahun 2017, Bezalel Smotrich telah mengemukakan gagasannya yang dikatakan untuk menyelesaikan konflik dengan rakyat Palestin menerusi sebuah dokumen bertajuk Pelan Penentu Keputusan (The Decisive Plan). Dia kemudiannya memperoleh peluang bersejarah untuk merealisasikan gagasan tersebut selepas pilihan raya Knesset pada tahun 2022, apabila Parti Zionism Agama yang dipimpinnya menerima pakai pelan berkenaan. Kerjasama politiknya dengan Parti Likud pimpinan Netanyahu turut memudahkan pelaksanaan pelan itu. Selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan, Smotrich turut diberikan jawatan sebagai menteri di Kementerian Pertahanan. Kedudukannya itu telah memberikannya kuasa secara langsung terhadap pentadbiran Tebing Barat dan hal ehwal penempatan haram, yang sebelum ini berada di bawah bidang kuasa institusi ketenteraan. Sementara itu, rakan sekutunya Ben-Gvir, mengambil alih Kementerian Keselamatan Negara. Kementerian tersebut menyelia pasukan polis Israel, Polis Sempadan dan sistem penjara, termasuk yang beroperasi di Tebing Barat serta Baitul Maqdis Timur. 

Kedudukan kedua-dua ini membolehkan mereka memainkan peranan yang saling melengkapi dalam mempercepatkan projek peyahudian tanah Palestin dan tapak-tapak suci, di samping melaksanakan Pelan Penentu Keputusan. Sementara itu, Netanyahu dan Parti Likud tidak membantah tindakan Smotrich dan Ben-Gvir, malah memberikan ruang kepada mereka untuk bertindak dan bahkan menyediakan perlindungan dan legitimasi politik terhadap tindakan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana kedua-dua pihak berkongsi matlamat utama yang sama, meskipun menggunakan pendekatan yang berbeza.

Pelan ini turut berasaskan beberapa prinsip utama, iaitu pertama gagasan mengenai wilayah haram Israel. Kedua, usaha mencapai penyelesaian muktamad berasaskan penempatan haram bagi mewujudkan dominasi penduduk Yahudi di seluruh wilayah antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean, sekali gus menamatkan ‘ilusi penubuhan sebuah negara Palestin’. Seterusnya yang ketiga, penggunaan kekerasan dan kekuatan melampau sebagai pendekatan utama dalam menangani rakyat Palestin serta keempat, penafian terhadap kewujudan bangsa Palestin dan yang terakhir, penolakan terhadap sebarang bentuk entiti politik Palestin. 

Strategi Israel di Tebing Barat

Strategi kerajaan haram Israel untuk ‘menyelesaikan konflik’ di Tebing Barat boleh dirumuskan kepada tujuh komponen utama:

Pertama: Perluasan Penempatan Haram Secara Aktif dan Pembentukan Semula Geografi Demografi Tebing Barat

Peningkatan ketara dalam siri peluasan penempatan haram dapat dilihat dengan jelas melalui perbandingan angka. Sejak Perjanjian Oslo dimeterai pada tahun 1993 hingga penghujung tahun 2022, kerajaan haram Israel yang silih berganti hanya meluluskan enam penempatan haram baharu di Tebing Barat dalam tempoh tiga dekad. Sebaliknya, dasar yang dilaksanakan lebih tertumpu kepada usaha memadatkan dan memperluas penempatan haram sedia ada.

Namun, keadaan berubah dengan ketara apabila kerajaan haram Israel pimpinan Netanyahu sekarang mengambil alih pentadbiran. Dalam tempoh tiga tahun setengah pertama pemerintahannya sahaja, iaitu dari awal tahun 2023 hingga Julai 2026, kerajaan haram tersebut telah meluluskan sebanyak 104 penempatan haram baharu. Jumlah ini merangkumi 51 penempatan yang dibangunkan sepenuhnya sebagai penempatan baharu, 35 pos penempatan haram yang sebelum ini dibina tanpa kebenaran tetapi dinaik taraf menjadi penempatan bebas serta 17 kawasan kejiranan dalam penempatan sedia ada yang turut dinaik taraf menjadi penempatan bebas. Selain itu, sebuah lagi penempatan baharu telah diluluskan pada Julai 2026. Peluasan pos-pos penempatan haram turut meningkat dengan begitu ketara.

Sejak pembentukan kerajaan semasa sehingga penghujung April 2026, sebanyak 212 pos penempatan haram baharu telah didirikan, selain 151 pos yang telah sedia wujud sebelum ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 363 pos penempatan haram. Angka tersebut bersamaan dengan purata kira-kira 64 pos baharu setiap tahun, berbanding kurang daripada tujuh pos setahun sepanjang tempoh 1996 hingga 2022.

Namun begitu, aspek paling membimbangkan dalam projek peluasan penempatan haram ini adalah pertambahan pos penempatan yang berasaskan pertanian dan penternakan. Pos-pos ini menjadi mekanisme yang sangat menekan dan memaksa, bertujuan mengambil alih kawasan tanah yang luas dengan hanya menggunakan pendatang haram dalam jumlah kecil, di bawah perlindungan tentera Israel. Kini, pos-pos penempatan dan kawasan penempatan berasaskan penternakan tersebut menguasai kira-kira 1.1 juta dunam (1,100 km²), bersamaan sekitar 18% daripada keseluruhan wilayah Tebing Barat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 750,000 dunam telah diletakkan di bawah penguasaan mereka sejak kerajaan semasa mengambil alih pentadbiran.

Tambahan lagi, Israel menguasai 85% sumber air di Tebing Barat. Ratusan sekatan jalan raya dan sekatan ketenteraan yang didirikan Israel telah memisahkan kawasan-kawasan di wilayah itu serta menyukarkan pergerakan penduduk antara satu kawasan dengan kawasan yang lain. Tembok Pemisah pula memisahkan kira-kira 12% daripada wilayah Tebing Barat dan mengepung sepenuhnya Baitul Maqdis Timur. Keadaan ini menyebabkan Baitul Maqdis Timur semakin terpisah daripada wilayah Tebing Barat yang lain, seolah-olah kedua-duanya merupakan dua negara berbeza yang dipisahkan oleh sempadan antarabangsa.

Perincian lanjut mengenai perkembangan ini tidak dapat dihuraikan sepenuhnya dalam artikel ini kerana ianya di luar skop perbincangan. Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa trend peningkatan ketara tersebut turut melibatkan operasi peluasan haram secara besar-besaran. Usaha ini merangkumi pembinaan puluhan ribu unit kediaman dan pembangunan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, perkhidmatan awam serta sistem keselamatan. Israel turut menawarkan pelbagai insentif bagi menarik lebih ramai penduduk baharu. Hasil daripada perkembangan ini, jumlah penduduk pendatang haram Israel di wilayah berkenaan kini telah melebihi 900,000 orang.

Pada masa yang sama, pelbagai tindakan terancang turut dilaksanakan bagi sengaja menyusahkan kehidupan rakyat Palestin. Antaranya termasuk merampas tanah atau menghalang mereka daripada mengakses tanah sendiri, merobohkan rumah, membakar tanaman dan masjid serta mengenakan sekatan pergerakan. Tindakan ini turut mewujudkan keadaan hidup yang semakin sukar dan tidak tertanggung sehingga mendorong rakyat Palestin meninggalkan kediaman mereka. Keadaan tersebut seterusnya membuka jalan kepada pengusiran dan pemindahan paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka. 

Kedua: Memperluas Pengilhakan Secara De Facto dan Institusi

Sejak menyertai kerajaan, Smotrich berusaha mengalihkan tanggungjawab pengurusan hal ehwal penempatan haram di Tebing Barat daripada institusi tentera, yang sebelum ini secara tradisinya mengendalikan urusan tersebut kepada struktur pentadbiran awam yang berada di bawah kuasa dan kawalannya. Pada Jun 2024, Smotrich mengumumkan beberapa langkah untuk menyerahkan pengurusan hal ehwal penempatan haram kepada pegawai awam di bawah seliaannya. Dalam masa yang sama, polis Israel secara beransur-ansur mengambil alih lebih banyak tangggungjawab keselamatan di Tebing Barat, sekali gus menggantikan peranan tentera di beberapa kawasan. 

Ben-Gvir pula memperluas pasukan yang dikenali sebagai rapid-response teams, iaitu kumpulan pendatang haram Yahudi bersenjata yang keahliannya kini mencecah 13,400 orang. Pada masa yang sama, semakin banyak kawasan di Tebing Barat telah diserap ke dalam sistem politik, pentadbiran dan ekonomi Israel. Malah, pada Februari 2026, hasil inisiatif Smotrich, kerajaan haram Israel memutuskan untuk memudahkan warga haram Israel membeli tanah di Tebing Barat melalui pembukaan daftar tanah. Kerajaan Israel turut mengaktifkan mekanisme yang membolehkan pengambilalihan tanah dilakukan secara terancang demi kepentingan penempatan haram.

Pada 23 Julai 2025, Knesset meluluskan satu resolusi tidak mengikat yang menyeru gesaan supaya Tebing Barat diilhakkan oleh Israel. Resolusi tersebut diluluskan dengan 71 undi menyokong dan 13 menentang. Kemudian, pada 22 Oktober 2025, Knesset meluluskan satu Rang Undang-Undang (RUU) pada bacaan pertama yang mencadangkan pengilhakan Tebing Barat dan peluasan kedaulatan Israel ke atas wilayah tersebut. 

Bagaimanapun, Netanyahu dilihat kurang berminat untuk meneruskan pengilhakan secara rasmi. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan tersebut berpotensi membawa implikasi besar terhadap proses perdamaian yang masih mahu dikekalkannya sekurang-kurangnya pada tahap tertentu. Pengilhakan secara rasmi juga berisiko menjejaskan usaha normalisasi hubungan Israel dengan negara lain serta memberikan kesan negatif terhadap imej Israel di peringkat antarabangsa. Walaupun begitu, Netanyahu tidak menghalang usaha untuk mengemukakan dan membincangkan cadangan pengilhakan tersebut. Langkah ini bukan sahaja dilihat sebagai usaha memenuhi tuntutan penyokong Parti Zionism Agama dan kelompok kanan ekstremis, tetapi juga sebagai persediaan untuk membentuk keadaan politik dan pentadbiran yang membolehkan pengilhakan dilaksanakan. Dengan cara ini, pengilhakan Tebing Barat dilihat dapat terus dikekalkan sebagai satu pilihan dasar yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa. 

Nota Penerbitan:

Artikel ini merupakan terjemahan daripada penulisan asal yang diterbitkan oleh Al-Zaytouna Centre for Studies and Consultations. Terjemahan ini disediakan oleh Lia Maryam binti Faisal, penterjemah di Cinta Gaza Malaysia bagi tujuan pemahaman masyarakat berbahasa Melayu mengenai situasi semasa di Tebing Barat. 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Derita Musim Sejuk, Kain Kafan Jadi Pelindung Hujan

Related Posts