Sekitar 1.43 juta rakyat Palestin di semenanjung Gaza kini tinggal di khemah, bersamaan 68 peratus daripada keseluruhan penduduk. Manakala sebanyak 82 peratus bangunan dan 77 peratus rangkaian jalan raya di wilayah itu mengalami kerosakan atau kemusnahan akibat perang genosid yang dilancarkan rejim Israel sejak 7 Oktober 2023.
Perkara itu didedahkan menerusi peta terbaharu yang dikeluarkan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) di Wilayah Palestin Diduduki, bertajuk Access and Movement in the Gaza Strip – November 2026. Data tersebut menunjukkan kira-kira 1.43 juta penduduk kini tinggal di khemah perlindungan, berbanding hanya 673,000 orang yang tinggal di bangunan, daripada keseluruhan populasi dianggarkan 2.1 juta penduduk.
Angka berkenaan mencerminkan skala krisis perpindahan paksa dan kehilangan tempat tinggal yang terus meruncing di Gaza. Dalam masa sama, sebanyak 201,290 bangunan, bersamaan 82 peratus daripada struktur bangunan di wilayah itu, mengalami kerosakan atau kemusnahan. Daripada jumlah tersebut, 134,422 bangunan musnah sepenuhnya.
Kemusnahan turut melibatkan kira-kira 328,000 unit kediaman, manakala sepanjang 3,479 kilometer rangkaian jalan raya, bersamaan 77 peratus daripada keseluruhannya, musnah atau mengalami kerosakan. Keadaan itu bukan sahaja menyukarkan pergerakan penduduk, malah turut menjejaskan akses ambulans dan penghantaran bantuan kemanusiaan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa 65 peratus kawasan di Gaza berada di bawah kawalan ketenteraan rejim Israel yang menghalang akses bantuan kemanusiaan. Kesemua 37 hospital di Gaza juga tidak dapat beroperasi pada kapasiti penuh, manakala 53 peratus pusat kesihatan terpaksa menghentikan operasi sepenuhnya.
Krisis kemanusiaan turut meruncing apabila 91 peratus keluarga berdepan masalah kekurangan bekalan air, sementara 70 peratus loji rawatan kumbahan tidak lagi beroperasi.
Sejak bermulanya perang genosid yang disokong Amerika Syarikat itu, lebih 74,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh manakala lebih 175,000 yang lain cedera, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Kemusnahan turut melibatkan kira-kira 90 peratus infrastruktur Gaza, dengan kos pembinaan semula dianggarkan PBB mencecah AS$71.4 bilion.
Krisis kemanusiaan terus berlarutan ketika rejim Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza, termasuk menghalang kemasukan bahan binaan tempat perlindungan, rumah pasang siap serta pelbagai keperluan asas lain.
Sumber: al-Aqsa News, Shehab News