Israel Sasar Kompleks Perubatan Nasser, Enam Terbunuh dan Lebih 20 Cedera

Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 20 lagi cedera selepas Israel melancarkan serangan udara menyasarkan Kompleks Perubatan Nasser di barat Khan Yunis, selatan semenanjung Gaza, pada Khamis.

Agensi berita Shehab melaporkan serangan itu menyasarkan secara langsung tingkat dua Bangunan al-Yassin, yang menempatkan pesakit dan individu yang cedera. Serangan berkenaan turut menyebabkan kemusnahan besar pada bangunan serta peralatan perubatan di dalamnya.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mejar Mahmoud Basal mengesahkan pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan enam jenazah mangsa dan memindahkan lebih 20 individu yang cedera dari lokasi kejadian. Pengarah Kompleks Perubatan Nasser pula memaklumkan serangan tersebut mengakibatkan kerosakan besar pada unit rawatan rapi serta jabatan pembedahan lelaki dan wanita.

Kompleks Perubatan Nasser bukan sekadar sebuah hospital biasa, sebaliknya merupakan institusi kesihatan kedua terbesar di semenanjung Gaza selepas Hospital al-Shifa. Terletak di bahagian barat Khan Yunis, kompleks milik kerajaan Palestin itu mula beroperasi pada 1960 dan berada di bawah pentadbiran Kementerian Kesihatan Palestin sejak 1993.

Menurut al-Jazeera, kompleks seluas kira-kira 40,000 meter persegi itu menempatkan tiga hospital khusus serta beberapa pusat dan jabatan perubatan. Kemudahan berkenaan merangkumi perkhidmatan pembedahan, perubatan dalaman, rawatan wanita dan kanak-kanak, kecemasan, rawatan rapi, radiologi, bank darah serta pusat rawatan buah pinggang.

Sejak bermulanya serangan Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023, Kompleks Perubatan Nasser berulang kali menjadi sasaran serangan dan operasi ketenteraan. Terdahulu pada Februari 2024, tentera rejim itu mengepung dan menyerbu kompleks berkenaan sehingga menyebabkan sebahagian besar kemudahan perubatannya rosak, termasuk sistem elektrik, bekalan air, pembetungan dan stesen oksigen pusat. Hospital itu kemudiannya kembali beroperasi secara berperingkat pada Mei tahun sama.

Kompleks berkenaan sekali lagi berdepan serangan pada 2025, termasuk serangan pada 25 Ogos yang menyasarkan tingkat empat bangunan al-Yassin dan mengorbankan 20 rakyat Palestin, termasuk lima wartawan. Beberapa bahagian lain turut menjadi sasaran serangan, termasuk jabatan pembedahan, unit rawatan pesakit melecur dan gudang bekalan perubatan.

Serangan terbaharu ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan akan sektor kesihatan khususnya terhadap keselamatan pesakit, petugas kesihatan dan kemudahan perubatan yang masih beroperasi di Gaza. Kompleks Perubatan Nasser memainkan peranan penting dalam menyediakan rawatan kepada penduduk di selatan wilayah itu dan kerosakan pada kemudahan berkenaan berpotensi menjejaskan akses ribuan pesakit kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.

Sumber: Shehab News,  al-Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tekanan Politik Memuncak, Eisenkot dan Parti Arab Tekad Singkirkan Netanyahu

Next Post

482 Serangan Pendatang Haram Israel Jejas Musim Menuai Zaitun Palestin

Related Posts