Tahanan wanita Palestin di Penjara Damon dipaksa menanggalkan hijab untuk dirakam, selain berdepan ancaman, pukulan dan tamparan oleh pihak pengurusan penjara Israel. Insiden itu mencetuskan kecaman daripada badan hak asasi manusia dan pihak Palestin susulan dakwaan pencabulan maruah serta hak kebebasan beragama tahanan wanita.
Ketua Pusat Kajian Tahanan Palestin, Riyadh al-Ashqar berkata tindakan tersebut merupakan satu lagi bentuk jenayah baharu terhadap tahanan wanita Palestin yang dipaksa menanggalkan hijab dan dirakam tanpa tudung di bawah ancaman serta kekerasan.
Beliau berkata sejak 7 Oktober 2023, rejim Israel semakin meningkatkan pencabulan hak tahanan wanita menerusi pelbagai bentuk penyeksaan, pengasingan dan sekatan, dengan tujuan melemahkan semangat serta mencabuli maruah mereka.
Menurutnya, pihak pengurusan penjara turut menyalahgunakan prosedur pentadbiran yang sepatutnya dilaksanakan secara biasa dan mudah. Namun, mereka menjadikannya alat untuk menghina, mendera dan menghukum tahanan. Antara yang dilaporkan berlaku adalah tahanan wanita dipaksa berlutut menghadap dinding dalam keadaan yang memalukan dengan tangan digari, dipukul serta gas disembur ke arah mereka.
Sementara itu, penyelidik hal ehwal tahanan, Hassan Abd Rabbo berkata tindakan memaksa tahanan wanita menanggalkan hijab atas alasan proses rakaman merupakan penghinaan terhadap maruah serta pencabulan hak kebebasan peribadi dan kepercayaan agama mereka.
Beliau turut menjelaskan bahawa insiden itu bukan kejadian terpencil, sebaliknya sebahagian daripada siri tindakan menghukum tahanan wanita, termasuk pemeriksaan badan secara memalukan, penghinaan lisan, serbuan ke dalam sel pada lewat malam serta pelaksanaan pengasingan bersendirian dan hukuman kolektif. Beliau turut membangkitkan kes tahanan wanita Bushra al-Tawil yang terus ditempatkan dalam sel pengasingan di Penjara Be’er-Sheva.
Gerakan HAMAS pula menyifatkan serangan terhadap tahanan wanita di Penjara Damon dan tindakan merakam mereka tanpa hijab sebagai jenayah baharu dan pelanggaran kepada hak asasi secara terang-terangan. HAMAS menggesa Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta badan hak asasi manusia supaya campur tangan segera, membuka siasatan antarabangsa dan memastikan pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan.
Laporan Shehab turut mengaitkan peningkatan pencabulan hak tahanan dengan dasar Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir sejak dia memegang jawatan pada penghujung 2022. Pada Ogos 2026, Ben-Gvir dilaporkan memasuki sel tahanan wanita di Penjara Damon bersama media Israel, ketika dia memperlekehkan aduan tahanan mengenai keadaan penahanan dan menyatakan bahawa penderitaan tersebut disengajakan.
Al-Ashqar dan Abd Rabbo turut menggesa badan antarabangsa supaya mengambil tindakan bagi menghentikan pencabulan terhadap tahanan wanita serta memastikan keselamatan dan hak mereka dilindungi. Mereka menegaskan bahawa kecaman semata-mata tidak memadai tanpa siasatan dan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Sumber: Shehab News
Related Posts
Pendatang Haram Yahudi Serah Tanah Rampasan Rakyat Palestin bagi Pembinaan Kedutaan AS
Kerajaan pendatang haram Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu telah menandatangani satu perjanjian yang memberikan AS sebidang…
Lebih 940 Sekolah Di Iran Rosak Akibat Serangan AS-Israel
Iran pada Ahad menyatakan bahawa sebanyak 942 buah sekolah telah rosak akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel…
1.6 Juta Penduduk Gaza Terancam Kebuluran, Sistem Kesihatan Di Ambang Keruntuhan
Pengarah Kompleks Perubatan al-Shifa di Gaza, Dr. Mohammed Abu Salmiya memberi amaran bahawa Gaza kini berdepan krisis kesihatan…