Derita Musim Sejuk, Kain Kafan Jadi Pelindung Hujan

Seorang ibu di Gaza terpaksa menggunakan kain kafan yang disediakan untuk mengebumikan anaknya bagi menampal khemah keluarganya yang usang. Kain yang sepatutnya membaluti jasad anaknya kini menjadi satu-satunya pelindung untuk menghalang air hujan daripada membasahi pakaian dan tempat tidur keluarga.

Kisah menyayat hati itu dirakam oleh aktivis Palestin, Karam Abu Awdah menerusi sebuah video yang memperlihatkan keadaan khemah daif yang didiami keluarga berkenaan. Ketika ditanya mengenai kain yang digunakan untuk menutup khemah, wanita itu menjelaskan bahawa dia memotong kain kafan anaknya dan membentangkannya sebagai pengganti kanvas kerana tidak mampu mendapatkan kanvas bagi menggantikannya.

“Ya, ini kain kafan. Saya potong dan letakkannya supaya dapat melindungi tempat tidur dan pakaian kami daripada hujan. Ini kain kafan anak saya. Saya ambil sejak anak saya meninggal dahulu, tetapi saya tidak mampu membeli kanvas,” katanya sebagaimana dipetik dalam laporan al-Jazeera.

Di sebalik kata-kata ringkas itu tersimpan penderitaan yang sukar dibayangkan. Seorang ibu yang telah kehilangan anak bukan sahaja terpaksa menanggung kesedihan akibat pemergiannya, malah perlu menggunakan kain kafan anak tersebut untuk memastikan keluarganya masih mempunyai sedikit perlindungan daripada hujan dan kesejukan.

Kisah ini mencerminkan krisis kemanusiaan yang terus membelenggu penduduk semenanjung Gaza, yang kini berdepan musim sejuk keempat sejak perang Israel bermula pada Oktober 2023. Ribuan keluarga kehilangan rumah dan terpaksa berlindung di khemah-khemah sementara yang lusuh, tanpa perlindungan mencukupi daripada cuaca buruk.

Sepanjang tempoh pemindahan, keluarga Palestin terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk mengukuhkan khemah masing-masing daripada angin kencang dan hujan. Namun, kekurangan bahan perlindungan serta keperluan asas menjadikan usaha itu amat terbatas. Hujan lebat dan cuaca buruk yang melanda pada awal November lalu sekali lagi mendedahkan betapa rapuhnya khemah-khemah tersebut.

Penderitaan ini membuktikan bahawa krisis di Gaza bukan sekadar kehilangan rumah dan tempat tinggal, tetapi turut merampas hak penduduknya untuk menjalani kehidupan yang selamat dan bermaruah. Bagi keluarga yang kehilangan segala-galanya, sekadar mencari perlindungan daripada hujan dan kesejukan kini menjadi perjuangan harian untuk terus bertahan.

Sumber: al-Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

ICJ Putuskan Myanmar Bertanggungjawab Atas Genosid Terhadap Muslim Rohingya 

Related Posts