Pendatang Haram Israel Bakar Puluhan Kenderaan di Nablus

Sekumpulan pendatang haram Israel menyerang perkampungan Lubban al-Sharqiya, selatan Nablus di Tebing Barat, pada malam Selasa dengan membakar puluhan kenderaan milik rakyat Palestin. Akhbar al-Quds melaporkan serangan itu turut melibatkan sebuah bengkel membaiki kenderaan sehingga puluhan kereta hangus terbakar dan menyebabkan kerugian besar kepada pemiliknya.

Sumber tempatan memaklumkan bahawa beberapa penduduk Palestin mengalami kecederaan dan sesak nafas ketika cuba menghalang serangan berkenaan. Pasukan pertahanan awam bersama sukarelawan turut dikejarkan ke lokasi untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah penduduk berhampiran.

Serangan itu berlaku serentak dengan kemasukan sejumlah besar tentera rejim Israel ke perkampungan berkenaan. Menurut Majlis Perkampungan Lubban al-Sharqiya, kumpulan pendatang haram tersebut berkumpul di kawasan Wadi al-Shaer, timur Salfit, sebelum bergerak menyerang bahagian utara perkampungan yang terletak antara Lubban al-Sharqiya dengan al-Sawiya. Tentera rejim Israel dilaporkan memberikan perlindungan kepada mereka ketika berundur.

Dalam perkembangan berasingan, tentera Israel melancarkan beberapa operasi penahanan di seluruh Tebing Barat dan menahan 12 rakyat Palestin. Antara yang ditahan ialah dua bekas tahanan dari Nablus, Adnan Asfour dan Nihad Shuqairat selepas kediaman mereka di kawasan al-Makhfiyah dan Rafidia diserbu serta digeledah.

Operasi penahanan turut melibatkan wilayah Qalqilya apabila tiga pemuda ditahan selepas serbuan di perkampungan Sanniriya dan pekan Habla, di selatan wilayah berkenaan. Mereka dikenal pasti sebagai Thaer Amar, Amjad Mufid dan Rashad Kharoub.

Sementara itu, Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan mendedahkan bahawa pihak berkuasa Israel meluluskan rancangan pembinaan lapang sasar baharu di 31 lokasi penempatan haram di Tebing Barat dan Baitul Maqdis yang diduduki. Rancangan itu melibatkan 29 penempatan serta kejiranan penempatan, selain dua kawasan perindustrian, termasuk kawasan Maccabim di atas tanah perkampungan Saffa, barat Ramallah dan Sha’ar Binyamin di wilayah Baitul Maqdis.

Suruhanjaya itu memberi amaran bahawa pembinaan kemudahan latihan menembak berkenaan boleh meningkatkan keupayaan bersenjata pendatang haram Israel dan memburukkan lagi serangan terhadap perkampungan Palestin. Perkembangan itu berlaku ketika serangan terhadap penduduk serta harta benda Palestin di Tebing Barat terus meningkat, termasuk insiden yang dilaporkan berlaku dengan perlindungan ketenteraan rejim Israel.

Sumber: al-Jazeera, al-Quds

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Netanyahu Desak Trump Teruskan Perang dengan Iran

Next Post

Tekanan Politik Memuncak, Eisenkot dan Parti Arab Tekad Singkirkan Netanyahu

Related Posts