Bekas Jurucakap Tentera Rejim Akui Manipulasi Maklumat Perang di Gaza

Bekas anggota unit jurucakap tentera Israel, Ayelet Kroizer mendedahkan bahawa pihak tentera rejim telah memanipulasi maklumat mengenai operasi ketenteraannya di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki bagi membentuk persepsi masyarakat serta mendapatkan sokongan terhadap tindakan mereka.

Kroizer berkata, penduduk Palestin yang tidak bersalah dilabel sebagai ‘pengganas’, manakala kenyataan rasmi tentera disusun mengikut sasaran khalayak dan matlamat tertentu bagi mengukuhkan sokongan masyarakat Israel serta mendapatkan legitimasi antarabangsa terhadap operasi ketenteraan.

Dia mendedahkan perkara itu menerusi hantaran di platform media sosial X ketika mengumumkan pelantikannya sebagai jurucakap organisasi Israel, Breaking the Silence yang menerbitkan kesaksian bekas anggota tentera mengenai dakwaan pencabulan oleh tentera Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

“Sepanjang perkhidmatan, saya memanipulasi maklumat yang disampaikan kepada media. Saya melihat bagaimana istilah ‘pengganas’ digunakan terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bagaimana kenyataan disesuaikan mengikut khalayak sasaran serta objektif yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Kroizer, pengalamannya bukan sahaja mendedahkan realiti keadaan di Tebing Barat dan Gaza, malah turut memperlihatkan bagaimana pihak tentera memilih dan mengawal penyampaian maklumat kepada orang ramai.

Katanya, kenyataan yang ditujukan kepada masyarakat Israel bertujuan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tentera, manakala maklumat kepada khalayak antarabangsa pula disusun untuk memperkukuh dan memperluas legitimasi operasi ketenteraan.

Kroizer turut menceritakan bagaimana laporan mengenai jumlah korban yang besar dalam serangan tentera lazimnya disusuli ungkapan kekesalan terhadap kecederaan atau kematian orang awam yang tidak terlibat.

“Saya belajar bagaimana melaporkan puluhan kematian dalam satu serangan, kemudian secara automatik menambah kenyataan bahawa kami kesal atas sebarang kemudaratan terhadap orang awam yang tidak terlibat. Itulah rutin sepanjang perkhidmatan saya,” katanya.

Dia berkata, dirinya tidak pernah membayangkan akan terlibat dalam kerja perhubungan awam bagi mempertahankan tindakan yang dianggapnya sebagai ketidakadilan.

Kroizer yang dibesarkan dalam komuniti Yahudi ultra-Ortodoks berkata, dia mengetepikan pengecualian daripada khidmat ketenteraan tiga tahun lalu untuk menyertai tentera ketika perang bermula.

Katanya, ketika itu dia percaya penyertaannya adalah untuk mempertahankan negara, namun tidak pernah menyangka selepas menamatkan perkhidmatan, beliau akan menyertai Breaking the Silence dan bukannya meneruskan pengajian atau perjalanan hidup seperti dirancang.

Organisasi itu menyambut baik pelantikannya menerusi hantaran di X, sambil menyatakan bahawa sudah tiba masanya kebenaran mengenai pendudukan didedahkan kepada masyarakat. Kroizer turut menggesa bekas anggota tentera lain yang pernah berkhidmat sepanjang perang supaya tampil mendedahkan pengalaman mereka.

Sumber: Anadolu Agency

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lingkaran Barakah Ketiga: Membaca Pergeseran Kuasa di Sekeliling Baitul Maqdis

Next Post

Global Stability Hinges on the West Asia

Related Posts