Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan menggesa negara-negara Islam mengambil tindakan lebih tegas dan meningkatkan tekanan terhadap rejim Israel bagi menghentikan penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang terus berdepan serangan serta sekatan kemanusiaan. Beliau menegaskan dunia Islam tidak seharusnya hanya bergantung kepada tindakan negara lain, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar dalam menangani krisis tersebut.
Berucap pada mesyuarat kumpulan parlimen Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Ankara pada Rabu, Erdoğan berkata genosid, pembunuhan bersasar, diskriminasi, sekatan dan kebuluran terus berlaku di Gaza di hadapan mata masyarakat antarabangsa. Beliau turut menyifatkan wilayah itu sebagai kem tahanan terbesar di dunia susulan tindakan kerajaan rejim Israel.
Erdoğan memberi peringatan kepada masyarakat muslim seluruh dunia akan keadaan Gaza yang sedang berdepan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing menjelang musim sejuk, terutama akibat sekatan yang dikenakan Israel. Beliau membangkitkan keadaan kanak-kanak Palestin yang terpaksa berdepan cuaca sejuk, banjir dan lumpur tanpa tempat perlindungan yang mencukupi, malah sebahagian keluarga kehilangan khemah untuk berteduh.
Menurut laporan al-Jazeera, keadaan penduduk semakin teruk apabila khemah-khemah penempatan sementara ditenggelami air hujan. Kegagalan memenuhi komitmen di bawah perjanjian gencatan senjata, termasuk membuka lintasan sempadan dan membenarkan kemasukan bantuan makanan, perubatan serta bahan pembinaan turut menyumbang kepada kemerosotan keadaan kehidupan di wilayah itu.
Dalam pada itu, Erdoğan mengkritik negara-negara yang selama ini mengangkat diri sebagai pembela demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap penderitaan rakyat Palestin. Beliau menegaskan Türkiye tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman Israel, walaupun negara lain memilih untuk tidak bertindak.
Sebagai langkah membantu penduduk Gaza, Erdoğan menyatakan Türkiye bersedia menghantar tempat perlindungan berbentuk kontena dan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan. Beliau turut menggesa negara-negara Islam mempergiat usaha menyalurkan bantuan sebelum keadaan cuaca musim sejuk bertambah buruk, sambil menegaskan Türkiye akan terus melaksanakan tanggungjawab kemanusiaannya meskipun terpaksa bertindak sendirian.
Sumber: al-Jazeera, TRT World
Related Posts
HAMAS Sambut Baik Keputusan Sepanyol Tarik Balik Dutanya di Israel
Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menyambut baik keputusan kerajaan Sepanyol untuk menarik balik dutanya dari wilayah haram Israel sekaligus…
Sudan Lapor Ethiopia kepada PBB Berhubung Serangan Dron ke atas Wilayahnya
Sudan memfailkan aduan terhadap Ethiopia kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keamanan dan Keselamatan Kesatuan…
Rejim Israel Paksa Tahanan Wanita Tanggalkan Hijab, Diugut dan Dipukul di Penjara
Tahanan wanita Palestin di Penjara Damon dipaksa menanggalkan hijab untuk dirakam, selain berdepan ancaman, pukulan dan tamparan oleh…