Sudan Lapor Ethiopia kepada PBB  Berhubung Serangan Dron ke atas Wilayahnya

Sudan memfailkan aduan terhadap Ethiopia kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keamanan dan Keselamatan Kesatuan Afrika berhubung serangan dari wilayah Ethiopia yang menyasarkan kawasan awam serta stesen janakuasa di Sudan.

Pada Ahad, Majlis Kedaulatan Sudan berkata lebih 180 dron milik Pasukan Sokongan Pantas (RSF) melancarkan serangan ke atas Sudan sepanjang tahun ini dari wilayah Ethiopia.

Kementerian Luar Sudan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa aduan itu dikemukakan terhadap kerajaan Republik Persekutuan Ethiopia susulan serangan dari wilayah negara berkenaan yang menyasarkan kawasan awam dan stesen janakuasa di beberapa negeri Sudan. Serangan itu mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam serta gangguan terhadap perkhidmatan asas yang diperlukan penduduk.

Menurut kenyataan itu, kerajaan Sudan turut mengemukakan dokumen dan bukti yang didakwa mengesahkan penggunaan wilayah Ethiopia oleh RSF untuk melancarkan serangan menggunakan dron berisi bahan letupan dan dilengkapi peluru berpandu, dengan sasaran kawasan awam serta kemudahan penting.

Dalam perkembangan berkaitan, serangan dron turut menyasarkan Stesen Janakuasa Abu Hamad di negeri Sungai Nil, utara Sudan, pada awal Ahad sehingga mencetuskan kebakaran dan letupan kuat di kawasan berkenaan. Menurut laporan Anadolu Ajansi, saksi memaklumkan api marak di sebahagian kemudahan itu. Stesen berkenaan terletak kira-kira 538 kilometer dari ibu negara, Khartoum.

Kementerian itu menyifatkan penggunaan wilayah Ethiopia untuk menyerang Sudan sebagai tindakan bermusuhan yang meletakkan Ethiopia di bawah tanggungjawab undang-undang antarabangsa, termasuk berkaitan pelanggaran Perkara 4(2) Piagam PBB.

Kerajaan Sudan turut menggesa Ethiopia menghentikan tindakan berkenaan serta menyeru masyarakat antarabangsa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan RSF dipertanggungjawabkan dan undang-undang antarabangsa dikuatkuasakan terhadap kerajaan Ethiopia.

Setakat ini, kerajaan Ethiopia belum mengeluarkan sebarang maklum balas segera terhadap kenyataan Kementerian Luar Sudan itu.

Perkembangan terbaharu tersebut menyusul selepas serangan dron menyasarkan 13 stesen janakuasa di Khartoum, al-Jazirah, Sennar dan Gedaref sejak Isnin lalu.

Kerajaan Sudan mendakwa Ethiopia menyokong RSF dan membenarkan dron berlepas dari wilayahnya, namun Ethiopia menafikan dakwaan itu serta menyatakan bahawa pihaknya menghormati kedaulatan Sudan.

Konflik antara tentera Sudan dan RSF yang tercetus sejak April 2023 susulan pertikaian mengenai penyepaduan pasukan tentera telah mengorbankan puluhan ribu nyawa serta menyebabkan kira-kira 13 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Sumber: Al Jazeera, Anadolu

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Does Malaysia’s Waze Ban is a Wake-Up Call for Southeast Asia?

Next Post

Dua Bayi Terkorban dalam Sebuah Kebakaran Khemah di Gaza

Related Posts