Serangan Israel Berterusan di Gaza dan Tebing Barat, Enam Rakyat Palestin Terkorban

Sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan tentera rejim Israel di beberapa kawasan di semenanjung Gaza pada Isnin, meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa. Dalam perkembangan berasingan di Tebing Barat, serangan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat turut meningkat sebanyak 74 peratus sepanjang musim menuai zaitun tahun ini berbanding tempoh sama pada 2024.

Di kawasan al-Karama, barat Gaza, dua rakyat Palestin terbunuh manakala seorang lagi cedera parah selepas serangan menyasarkan sebuah lokasi yang menyediakan perkhidmatan internet. Tiga lagi rakyat Palestin terkorban dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah kenderaan awam diserang berhampiran persimpangan Ansar, barat bandar Gaza. Seorang lagi mangsa, Adel al-Hilu turut terkorban dalam serangan dron Israel di kawasan al-Tawbah, kem pelarian Jabalia ketika menjalankan tugas untuk Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Serangan turut dilaporkan di beberapa kawasan lain, termasuk Batan al-Samin dan Bandar Hamad di Khan Yunis, selatan Gaza serta kawasan timur laut bandar Gaza. Tentera rejim Israel turut melepaskan tembakan ke arah rumah dan khemah penduduk di sekitar Jabalia, selain meletupkan sebuah robot bermuatan bahan letupan di Yaffa, timur bandar Gaza.

Menurut Shehab, pelanggaran gencatan senjata terus berlaku sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 11 Oktober 2025. Data Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh sejak gencatan senjata bermula meningkat kepada 1,675 orang, manakala 6,095 lagi cedera. Pasukan penyelamat turut mengeluarkan 851 jenazah dari bawah runtuhan dan kawasan yang sebelum ini sukar diakses.

Sementara itu, laporan al-Jazeera yang memetik penyiaran tentera Israel menyatakan sebanyak 181 serangan pendatang haram direkodkan sejak awal Oktober 2026, meningkat 74 peratus berbanding tempoh sama pada 2024. Jumlah itu turut lebih tinggi berbanding 145 serangan pada 2025 dan 104 serangan pada 2024 dalam tempoh perbandingan yang dilaporkan.

Peningkatan keganasan itu mendorong seorang pegawai kanan tentera Israel memberi amaran bahawa serangan pendatang haram di Tebing Barat berpotensi merebak ke kawasan tengah Israel. Beliau turut menyatakan bahawa jumlah individu yang terlibat kini mencecah ribuan orang, bukan lagi sekadar kumpulan kecil pelampau. Laporan sama menyebut tujuh serangan turut menyasarkan pasukan keselamatan Israel dalam tempoh berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin merekodkan 1,369 serangan pendatang haram terhadap rakyat Palestin, tanah dan harta benda mereka sepanjang Oktober lalu. Tentera rejim Israel pula dilaporkan melakukan 1,764 serangan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah keseluruhan serangan yang direkodkan sebanyak 3,133 kejadian.

Amaran itu dikeluarkan sehari selepas pendatang haram menyerang kampung Deir Abu Mash’al, Kafr Malik dan Deir al-Sudan di kawasan Ramallah. Serangan berkenaan mengakibatkan beberapa kenderaan dibakar, manakala slogan perkauman serta ugutan ditulis pada dinding bangunan. Perkembangan di Gaza dan Tebing Barat itu memperlihatkan penduduk Palestin terus berdepan ancaman serangan, kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, meskipun gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza.

Sumber: Shehab news, al-Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ahli Parlimen Israel Kecam Kerajaan Netanyahu Lindungi Keganasan Pendatang Haram

Next Post

1,000 Penduduk Gaza Terperangkap dalam Bangunan Hampir Runtuh

Related Posts