1,000 Penduduk Gaza Terperangkap dalam Bangunan Hampir Runtuh

Kira-kira 1,000 penduduk Palestin yang tinggal di sebuah menara kediaman di bandar Gaza kini berdepan risiko bangunan runtuh pada bila-bila masa, namun mereka tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah meskipun struktur bangunan berkenaan semakin membahayakan keselamatan penghuni.

Penduduk Menara al-Mu’taz itu hidup dalam ketakutan setiap hari, terutama ketika hujan lebat dan angin kencang melanda menjelang musim sejuk. Keadaan bangunan yang rosak teruk akibat perang Israel menyebabkan mereka bimbang struktur tersebut boleh runtuh ketika mereka sedang tidur.

Seorang penduduk, Muhammad al-Sharfa berkata menara berkenaan mempunyai 14 hingga 15 tingkat dengan enam hingga tujuh unit kediaman di setiap tingkat. Kira-kira 1,000 orang tinggal di bangunan itu, termasuk keluarga yang terpaksa menumpang di rumah saudara-mara selepas kehilangan tempat tinggal.

Menurutnya, tiang-tiang utama di bahagian barat bangunan telah retak dan sebahagiannya seolah-olah tergantung tanpa sokongan kukuh. Pihak perbandaran dan pakar yang telah memeriksa bangunan itu turut mengesahkan tahap bahayanya. Namun, penduduk tidak mempunyai pilihan untuk berpindah. Malah, terdapat unit kediaman yang menempatkan antara 20 hingga 30 orang akibat kesesakan.

Penduduk berulang kali meminta Kementerian Kerja Raya dan Perumahan menyediakan sokongan konkrit bagi mengukuhkan struktur bangunan, khususnya bahagian yang rosak. Namun, usaha itu masih belum berhasil kerana bahan binaan dan peralatan yang diperlukan tidak dapat dibawa masuk serta kekurangan sumber untuk menjalankan kerja pembaikan.

Situasi sama turut dialami penghuni Menara Hamad, khususnya bangunan K4. Seorang penduduk dikenali sebagai Abu Saleh Shaqliya berkata tiang-tiang utama bangunan itu rosak dan konkritnya semakin mereput. Setiap kali angin kencang atau sistem cuaca buruk melanda, mereka bimbang bangunan tersebut akan runtuh menimpa keluarga masing-masing.

“Kami bukan meminta pembinaan semula sepenuhnya sekarang. Kami hanya mahu memastikan siling tidak runtuh menimpa anak-anak ketika kami tidur,” katanya sambil menggesa pihak berkaitan menghantar pasukan kejuruteraan untuk mengukuhkan tiang bangunan menggunakan konkrit bertetulang.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal sebelum ini memaklumkan bahawa tiga bangunan yang didiami penduduk runtuh akibat cuaca buruk baru-baru ini. Setiap bangunan itu menempatkan sekurang-kurangnya 10 orang, manakala jumlah penghuni di sesetengah bangunan melebihi 100 orang. Walaupun penduduk telah diminta mengosongkan bangunan berisiko, mereka tidak mempunyai tempat perlindungan alternatif.

Pertahanan Awam menganggarkan kira-kira 2,000 bangunan yang masih didiami penduduk di seluruh Gaza berada dalam keadaan berbahaya dan berisiko runtuh pada bila-bila masa. Agensi itu menggesa kemasukan peralatan pembinaan serta penyediaan rumah sementara dan tempat perlindungan yang lebih selamat bagi mengelakkan lebih banyak korban.

Sumber: Shehab News

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Serangan Israel Berterusan di Gaza dan Tebing Barat, Enam Rakyat Palestin Terkorban

Related Posts