Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu, menafikan dakwaan bahawa dia atau parti Likud pimpinannya pernah menerima sebarang dana daripada Qatar. Dia turut menegaskan bahawa dirinya tidak pernah menerima walau satu sen daripada negara itu dan tidak mempunyai sebarang hubungan kewangan dengannya.
Menurut media Israel, Netanyahu dilaporkan berkata dia tidak takut mengambil tindakan terhadap Qatar, malah menyatakan bahawa Israel pernah mengebom negara tersebut ketika memberikan keterangan di Mahkamah Majistret Baitul Maqdis pada Selasa.
Menurut laporan The Times of Israel, Netanyahu hadir bagi pendengaran bukti dalam kes saman fitnah yang difailkannya terhadap Yigal Carmon, ketua Institut Penyelidikan Media Timur Tengah (MEMRI) berhubung dakwaan bahawa parti Likud menerima dana daripada Qatar. Carmon sebelum ini mendakwa Netanyahu bekerjasama dengan Qatar serta menuduh parti Likud menerima dana daripada negara berkenaan.
Dalam prosiding itu, hakim bertanya kepada peguam Carmon sama ada anak guamnya bersedia memohon maaf atas dakwaan tersebut dan menamatkan kes berkenaan. Namun, peguam itu menolak cadangan tersebut, menurut laporan Saluran 13 Israel.
Netanyahu kemudian berdepan secara langsung dengan Carmon di mahkamah dan menuduhnya mereka-reka dakwaan serta menyebarkan pembohongan ketika dia kononnya sedang berusaha membawa pulang tawanan Israel. Dia turut berkata: “Kamu telah berbohong dan akan membayar ‘harga’ atas perbuatan itu.”
Pada 9 September 2025, Israel melancarkan serangan udara ke atas kawasan kediaman di Doha, ibu negara Qatar ketika beberapa pemimpin biro politik HAMAS sedang membincangkan cadangan Amerika Syarikat (AS) bagi menghentikan perang genosid Israel di Gaza.
Serangan itu gagal membunuh pemimpin kanan HAMAS, namun mengorbankan lima anggota pengiring delegasi rundingan gerakan tersebut serta seorang anggota pasukan keselamatan dalaman Qatar, Bader Saad Mohammed al-Humaidi al-Dosari.
Serangan itu mencetuskan kecaman antarabangsa dan kemarahan meluas, sebelum Netanyahu kemudiannya memohon maaf kepada Qatar. Insiden tersebut turut berlaku dalam keadaan hubungan kedua-dua pihak dibayangi tekanan politik dan media Israel terhadap Doha.
Sumber: al-Jazeera, The Times of Israel