Pemimpin Parti Demokrat dan bekas Timbalan Ketua Staf Tentera rejim Israel, Yair Golan mengugut untuk menyaman Sara Netanyahu, isteri Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu selepas dia menuduh Golan mempunyai pengetahuan awal mengenai rancangan serangan HAMAS pada 7 Oktober 2023.
Tuduhan itu dibuat Sara Netanyahu dalam sebuah wawancara bersama Saluran 14 Israel pada Isnin. Dia mempersoalkan bagaimana seorang bekas pegawai kanan tentera seperti Golan boleh berada di lokasi serangan sejak awal pagi dalam keadaan bersedia tanpa mempunyai maklumat awal.
Menurutnya, Golan tiba di lokasi kejadian ketika skala sebenar serangan masih belum diketahui, malah oleh Netanyahu sendiri. Kenyataan itu dilihat sebagai sindiran bahawa Golan mungkin mengetahui rancangan serangan tersebut sebelum ia berlaku.
Dengan nada sinis, Sara turut berkata, “Siapa sebenarnya perdana menteri sehingga dia perlu tahu bahawa perang akan tercetus? Dan mengapa dia perlu dimaklumkan?”
Apabila ditanya sama ada wujud unsur pengkhianatan, dia enggan memberikan jawapan jelas dan hanya berkata bahawa sebuah suruhanjaya siasatan yang sebenar perlu ditubuhkan.
Kenyataan tersebut mencetuskan kemarahan dalam kalangan pembangkang Israel dan mencerminkan kemunculan pelbagai teori konspirasi mengenai kegagalan rejim Israel menghalang serangan 7 Oktober.
Sementara itu, Benjamin Netanyahu turut mendakwa bahawa pegawai keselamatan Israel sengaja tidak mengejutkannya pada pagi serangan tersebut. Dalam satu siaran langsung di Instagram, Netanyahu mempersoalkan mengapa dia tidak dibangunkan lebih awal.
Menurut Netanyahu, sekiranya dia dimaklumkan, dia boleh mengarahkan seluruh tentera rejim Israel diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan mungkin dapat mengekang serangan tersebut.
Menjawab tuduhan Sara Netanyahu, Golan mengancam untuk memfailkan saman bernilai 2.5 juta shekel, kira-kira AS$830,000, sekiranya dia tidak membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam.
Golan turut menuntut supaya wang pampasan tersebut disalurkan kepada mangsa yang terselamat daripada Festival Nova di Re’im.
Golan turut menyifatkan tuduhan tersebut sebagai teori konspirasi palsu yang bertujuan menulis semula naratif peristiwa 7 Oktober dengan menjadikan individu yang keluar menyelamatkan nyawa sebagai pengkhianat.
Bekas Ketua Staf Tentera Israel dan tokoh politik, Gadi Eisenkot, turut mengecam apa yang disifatkannya sebagai ‘teori pengkhianatan gila’ yang dipromosikan oleh Sara Netanyahu.
Menurut Eisenkot, kenyataan tersebut hanya bertujuan menyemarakkan kebencian dan memanjangkan pemerintahan Benjamin Netanyahu, ketika Israel semakin menghampiri pilihan raya legislatif yang dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober.
Sumber: Al-Jazeera