Iran Dakwa Netanyahu Heret AS ke Perang Baharu demi Elak Dipenjara

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mendakwa Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu cuba mengheret Amerika Syarikat (AS) ke dalam perang baharu dengan Iran bagi mengelakkan dirinya dipenjarakan, sambil memberi amaran kepada Washington supaya tidak melancarkan serangan ketenteraan baharu terhadap negara itu.

Dalam kenyataan di platform media sosial X pada Ahad, Araghchi mendakwa Netanyahu sanggup mempertaruhkan keselamatan rejim Israel dan kepentingan Presiden AS, Donald Trump demi menyelamatkan dirinya daripada hukuman penjara.

“Netanyahu sedang mengheret Amerika ke dalam perang lain supaya dia terlepas daripada penjara”, tulis Araghchi, sambil mengingatkan Washington bahawa Iran muncul lebih kuat selepas konflik terdahulu.

Beliau turut memberi amaran bahawa Iran masih mempunyai urusan yang belum selesai sebagai isyarat bahawa Tehran bersedia menghadapi kemungkinan konfrontasi baharu.

Kenyataan itu menyusul sokongan terbuka Trump terhadap Netanyahu menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober. Trump memuji kerjasama kedua-dua pemimpin dalam menghadapi Iran, selain memberi amaran bahawa AS mungkin terpaksa mengambil alih tugas itu sendiri sekiranya rakyat Israel memilih pemimpin lain.

“Jika Israel mempunyai pemimpin yang salah iaitu sesiapa sahaja selain Bibi, Amerika terpaksa melakukan tugas ini sendiri dan saya tidak cenderung untuk berbuat demikian,” tulis Trump di platform Truth Social, menggunakan nama panggilan Netanyahu.

Trump turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap Netanyahu dalam pilihan raya berkenaan, sambil memuji kepimpinannya dan kerjasama kedua-dua negara.

Netanyahu mengetuai kerajaan haram Israel sejak akhir 2022, dengan pentadbirannya digambarkan sebagai antara yang paling berhaluan kanan dalam sejarah negara itu. Beliau juga sedang dibicarakan di Israel atas pertuduhan rasuah yang boleh membawa hukuman penjara sekiranya disabitkan.

Sementara itu, parti-parti pembangkang Israel meningkatkan kerjasama bagi menamatkan pemerintahan Netanyahu melalui pilihan raya.

Ketegangan antara Washington, Tel Aviv dan Tehran kembali memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran pada 28 Februari, yang dibalas dengan serangan oleh Tehran.

Walaupun gencatan senjata dicapai pada April dan rangka kerja perjanjian dipersetujui pada Jun, pertempuran kembali tercetus selepas rundingan antara Washington dengan Teheran menemui jalan buntu.

Kenyataan Araghchi mencerminkan kebimbangan Iran bahawa sokongan politik Washington terhadap Netanyahu boleh membuka jalan kepada tindakan ketenteraan baharu, ketika hubungan kedua-dua pihak masih dibayangi konflik dan rundingan yang belum mencapai penyelesaian berkekalan.

Sumber: Anadolu Ajansi, Shafaq News

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

9 Tahun Menanti Keadilan: Mampukah ICJ Buktikan Genosid Etnik Rohingya di Myanmar?

Next Post

Penangkapan Pengantin dan Perobohan Rumah Tingkatkan Tekanan terhadap Rakyat Palestin

Related Posts