Israel Pergiat Usaha Kukuhkan Penguasaan Yahudi di Masjid al-Aqsa

Israel terus memperhebat usaha mengukuhkan penguasaannya ke atas Masjid al-Aqsa dengan berusaha mengubah kehadiran Yahudi di kompleks suci itu daripada sekadar kunjungan sementara kepada kehadiran tetap. Usaha tersebut dilaksanakan menerusi pencerobohan hampir setiap hari, peningkatan serangan serta pelaksanaan ritual keagamaan Yahudi secara terbuka di kawasan masjid.

Penyelidik Kanan bagi Hal Ehwal Masjid al-Aqsa, Ali Ibrahim, memberi amaran bahawa masjid berkenaan kini berdepan fasa yang amat berbahaya susulan usaha berterusan rejim Israel dan kumpulan pelampau untuk menguasai sepenuhnya kawasan suci itu. Menurut beliau, usaha tersebut turut disertai tindakan sistematik menyasarkan umat Islam, khususnya sebagai penghuni dan jemaah masjid berkenaan.

Ibrahim berkata, serangan terhadap Masjid al-Aqsa tidak lagi berlaku secara bermusim atau terhad kepada perayaan tertentu seperti ketika perayaan Yahudi. Sebaliknya usaha tersebut kini membentuk pola pencerobohan yang semakin meningkat, menyasarkan masjid serta para jemaahnya. Menurut beliau, ia bertujuan mengubah identiti termasuk struktur demografi dan susun atur fizikal kompleks berkenaan. Strategi tersebut turut dapat dilihat menerusi peningkatan pencerobohan menjelang permulaan setiap bulan dalam kalendar Ibrani, termasuk penyertaan kira-kira 461 pendatang haram Israel dalam siri pencerobohan pada 10 November lalu.

Beliau menjelaskan bahawa Organisasi Sinagog Yahudi telah menjadikan permulaan bulan Ibrani sebagai antara tempoh utama pencerobohan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menggalakkan penyertaan lebih ramai pendatang haram Israel dalam kempen tersebut. Siri pencerobohan itu turut melibatkan pelaksanaan ritual keagamaan Yahudi secara berkumpulan di kawasan timur masjid, khususnya berhampiran Musala Bab al-Rahma. Pada masa sama, sekatan keselamatan yang ketat dan tindakan mengusir jemaah serta aktivis Palestin bagi mengosongkan kawasan lapang di kompleks masjid tersebut. 

Ibrahim berkata agensi keselamatan dan kepimpinan politik Israel memberikan sokongan terhadap tindakan berkenaan bagi merealisasikan rancangan penggantian dan penguasaan, termasuk menggantikan kehadiran umat Islam dengan kehadiran pendatang haram secara tetap. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada dasar penggantian agama serta usaha mengukuhkan pelaksanaan ritual Yahudi secara terbuka, tanpa mengambil kira realiti sedia ada di Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa.

Beliau turut menyatakan bahawa Israel berusaha mengetepikan peranan Jabatan Wakaf Islam dengan mengehadkan bidang kuasa serta pentadbirannya di lapangan, di samping meningkatkan kawalan keselamatan dan sekatan di pintu masuk serta laluan menuju ke Masjid al-Aqsa. Tindakan pengusiran dan penahanan terhadap umat Islam juga menunjukkan sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk mengenakan kedaulatan Israel ke atas kompleks berkenaan.

Beliau turut memberi peringatan mengenai kemungkinan peningkatan serangan menjelang perayaan Hanukkah atau Pesta Cahaya yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 12 Disember depan. Menurutnya, perayaan itu berpotensi menyaksikan peningkatan ketara dari segi jumlah pencerobohan dan skala serangan, berdasarkan perkembangan yang berlaku sepanjang beberapa tahun lalu. Antara tindakan yang dijangka berulang adalah pelaksanaan ritual keagamaan secara terbuka, termasuk cubaan membawa masuk kandil Hanukkah ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa.

Selain itu, ritual menyalakan lilin dijangka dilakukan di pintu masuk masjid, kawasan timur kompleks berkenaan serta di dataran Tembok al-Buraq. Ibrahim berkata amalan itu pernah dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya, termasuk kemungkinan pendatang haram membawa masuk peralatan ritual Yahudi seperti tefillin, selendang doa tallit dan buku doa siddur ke dalam kawasan masjid dengan perlindungan pasukan keselamatan Israel.

Ibrahim menegaskan bahawa peningkatan pencerobohan ini merupakan sebahagian daripada siri serangan dan perampasan yang berterusan menerusi strategi yang disifatkannya sebagai ‘membina asas kesedaran dan simbolik bagi pembangunan sinagog’ sebelum merealisasikannya secara fizikal. Beliau memberi amaran bahawa kegagalan mengambil tindakan tegas bagi membendung perluasan pengaruh kumpulan pendatang haram akan membolehkan mereka terus menghakis kedudukan dan status Masjid al-Aqsa, yang akhirnya boleh membawa kepada penguasaan sebahagian kawasan sucinya. 

Sumber: Shehab News

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pembentukan Kerajaan Israel Berdepan Kebuntuan, Netanyahu Didakwa Gugat Demokrasi

Next Post

PBB: 1.43 Juta Rakyat Gaza Tinggal di Khemah, 82% Bangunan Rosak atau Musnah

Related Posts