Wakil parti Yashar pimpinan Gadi Eisenkot, parti Bersama (Beyachad) pimpinan Naftali Bennett dan parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu mengadakan rundingan awal di Herzliya bagi membincangkan pembentukan kerajaan perpaduan Israel. Pertemuan itu berlangsung selepas Netanyahu mengemukakan cadangan rundingan tanpa syarat awal, namun menolak sebarang kebergantungan kepada sokongan parti-parti Arab di parlimen.
Bagaimanapun, usaha itu mendapat tentangan daripada parti-parti yang menyokong pembentukan kerajaan alternatif. Pemimpin Yisrael Beiteinu, Avigdor Lieberman, menolak penyertaan dalam rundingan dan menyifatkan pertemuan dengan Likud sebagai perangkap politik. Pemimpin parti Demokrat, Yair Golan pula menggesa Eisenkot menjauhkan diri daripada Likud serta mengadakan pertemuan dengan parti-parti Arab.
Menurut TRT World, kebuntuan politik di Knesset menyukarkan pembentukan kerajaan perpaduan apabila blok sayap kanan Netanyahu memiliki 53 kerusi, blok perubahan pimpinan Eisenkot mempunyai 48 kerusi manakala parti-parti Arab menguasai 19 kerusi. Perbezaan pendirian antara parti-parti berkenaan menjadikan usaha membentuk kerajaan baharu semakin rumit.
Dalam perkembangan berkaitan, Eisenkot menegaskan Netanyahu tidak sepatutnya kekal berkuasa walaupun untuk seminit lagi, susulan dakwaan pejabat perdana menteri sementara itu terbabit dalam usaha mengganggu proses pilihan raya Israel pada 27 Oktober. Dia menyifatkan tindakan Netanyahu itu memberi ancaman secara langsung ke atas demokrasi Israel.
Dakwaan tersebut menyusul laporan penyiasatan Saluran 12 yang mendakwa pejabat Netanyahu menyalurkan maklumat risikan meragukan kepada polis dan Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) terhadap aktivis Palestin di Israel. Maklumat itu didakwa digunakan untuk membolehkan penahanan tiga aktivis daripada Senarai Arab Bersatu (Ra’am) tanpa waran yang sah, selain menimbulkan dakwaan bahawa parti-parti Arab cuba memanipulasi undi.
Laporan itu turut mendakwa ketua kakitangan Netanyahu, Ido Norden menyelaraskan aduan berkenaan, manakala Ketua Shin Bet, David Zini, dilaporkan memohon kebenaran memintas komunikasi lima ahli parlimen Arab pada hari pengundian. Bagaimanapun, permohonan itu dihalang Peguam Negara, Gali Baharav-Miara. Eisenkot menggesa polis dan Shin Bet memberikan penjelasan segera serta bertekad akan menubuhkan suruhanjaya siasatan bagi menyiasat dakwaan campur tangan tersebut.
Eisenkot, yang menerima mandat daripada Presiden Israel, Isaac Herzog pada 8 November untuk membentuk kerajaan baharu mempunyai tempoh awal 28 hari bagi mendapatkan sokongan majoriti, dengan kemungkinan lanjutan selama 14 hari. Namun, rundingan yang dibayangi pertikaian politik dan dakwaan terhadap Netanyahu terus menimbulkan persoalan sama ada kerajaan perpaduan dapat dibentuk.
Sumber: al-Jazeera, TRT World