Israel Sekat Bantuan, Seorang Bayi Palestin Maut Akibat Kesejukan di Gaza 

Seorang bayi Palestin meninggal dunia akibat kesejukan di dalam sebuah khemah yang menjadi tempat perlindungan keluarganya selepas kehilangan tempat tinggal di selatan Gaza. Perkara itu disahkan oleh bapa bayi berkenaan dan seorang doktor ketika Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan bekalan musim sejuk ke wilayah yang musnah akibat genosid.

Kinan Ahmed Raqiq, bayi berusia sembilan bulan, meninggal dunia akibat hipotermia di Khan Yunis, selatan semenanjung Gaza, menurut seorang doktor yang enggan dikenali kepada agensi berita Agence France-Presse (AFP) pada Khamis.

Bapa bayi berkenaan, Ahmed Raqiq memberitahu AFP bahawa Kinan meninggal dunia selepas suhu sejuk ekstrem melanda Gaza sepanjang malam. “Saya terjaga dan mendapati kulitnya sudah bertukar kebiruan. Saya segera membawanya ke Hospital Nasser, tetapi dia sudah meninggal dunia akibat hipotermia dan kesejukan melampau,” katanya.

“Saya benar-benar terkejut. Saya tidak menyangka akhirnya saya akan mendakap anak saya yang sudah dibalut dengan kain kafan,” katanya di luar hospital.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal turut mengesahkan kematian bayi tersebut berpunca akibat terdedah kepada suhu sejuk melampau, menurut laporan rangkaian berita Palestin, Al-Quds.

Kematian itu berlaku ketika United Kingdom (UK), Qatar dan Jordan mengetuai gabungan lebih 50 buah negara serta organisasi yang mendesak Israel supaya segera membenarkan kemasukan barangan penting ke Gaza, termasuk keperluan tempat perlindungan, bahan api, bekalan air, kemudahan sanitasi dan perubatan.

Dalam kenyataan bersama, gabungan itu memberi amaran bahawa menjelang musim sejuk, terlalu ramai penduduk Gaza masih tidak mempunyai tempat perlindungan yang mencukupi. Keadaan tersebut menyebabkan mereka terdedah kepada risiko hipotermia, jangkitan saluran pernafasan, penyakit bawaan air serta pelbagai penyakit lain yang sebenarnya boleh dicegah.

Sumber: Al Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

482 Serangan Pendatang Haram Israel Jejas Musim Menuai Zaitun Palestin

Next Post

Israel Serah Jenazah Remaja Palestin Selepas Lebih Setahun Meninggal Dunia dalam Tahanan

Related Posts