Pihak berkuasa Israel menyerahkan jenazah tahanan Palestin berusia 17 tahun, Walid Khaled Ahmad kepada keluarganya pada Khamis, lebih setahun selepas beliau meninggal dunia di Penjara Megiddo, Israel.
Ahmad berasal dari bandar Silwad di Tebing Barat yang diduduki. Penyerahan jenazahnya dilakukan susulan usaha perundangan oleh Nadia Daqa, seorang peguam daripada Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin, yang membawa kepada keputusan membenarkan jenazahnya diserahkan kepada keluarga.
Ahmad meninggal dunia pada Mac 2025, kira-kira enam bulan selepas ditahan oleh tentera Israel di rumah keluarganya. Menurut bapanya kepada pertubuhan hak asasi manusia Palestin, Al-Haq, keadaan Ahmad kelihatan semakin uzur ketika menghadiri perbicaraan mahkamah pada Februari 2025. Beliau turut meminta agar diberikan rawatan perubatan. Bagaimanapun, keluarganya tidak dapat melawat Ahmad di penjara kerana pihak berkuasa Israel telah melarang lawatan tersebut.
Hasil bedah siasat yang dijalankan dengan kehadiran seorang doktor yang dilantik oleh keluarga mendapati Ahmad mengalami susut berat badan yang serius serta kehilangan sebahagian besar jisim otot dan lemak badan.
Al-Haq mengenal pasti kebuluran sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kematiannya, selain dehidrasi dan komplikasi perubatan lain. Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin turut mengaitkan kemerosotan kesihatannya dengan kebuluran serta penafian rawatan perubatan sepanjang berada dalam tahanan.
Pada Disember 2025, sebuah mahkamah Israel di Hadera memutuskan untuk menutup siasatan berhubung keadaan kematian Ahmad atas alasan bahawa semua langkah siasatan telah dilakukan. Bagaimanapun, suruhanjaya tersebut menyatakan bahawa siasatan tersebut ditutup meskipun terdapat hasil pemeriksaan perubatan yang mendokumentasikan kebuluran serta kemerosotan serius keadaan kesihatannya sebelum meninggal dunia.
Kedua-dua organisasi itu menegaskan bahawa kes Ahmad memberikan bukti tambahan mengenai jenayah yang dilakukan terhadap tahanan Palestin di penjara Israel serta peranan sistem kehakiman Israel dalam melindungi pihak yang bertanggungjawab.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis, Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin memaklumkan bahawa pihak berkuasa Israel masih menahan jenazah 98 rakyat Palestin yang meninggal dunia dalam tahanan sejak tahun 1967. Sejak bermulanya perang genosid di Gaza pada Oktober 2023, seramai 92 orang tahanan dan banduan Palestin dilaporkan telah meninggal dunia, manakala jenazah 87 daripada mereka masih ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Kedua-dua organisasi itu turut mendedahkan bahawa kira-kira 350 orang kanak-kanak Palestin kini ditahan di Penjara Ofer dan Megiddo. Seperti tahanan Palestin yang lain, kanak-kanak tersebut berhadapan dengan pelbagai bentuk pencabulan hak dan tindakan hukuman, termasuk kebuluran, penyeksaan, serangan fizikal, penafian rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan serta keadaan penahanan yang keras.
Sumber : Palestine Chronicle
Related Posts
Masa Depan Tebing Barat dalam Ancaman
Bahagian 1 Ketegangan situasi yang semakin memuncak di Tebing Barat, khususnya peningkatan serangan kumpulan pendatang haram Yahudi terhadap…
Rancangan Rejim Israel Ubah Status Quo Masjid al-Aqsa Cetus Kebimbangan Meningkat
Ketua Pusat Al-Quds Antarabangsa, Hassan Khater memberi amaran mengenai percepatan rancangan rejim Israel untuk mengubah status quo di…
Umat Islam di 30 Negara Menjadi Sasaran Kempen Propaganda Rejim Israel
Satu kempen penyelewengan maklumat digital berskala besar yang dikaitkan Israel didakwa menyasarkan umat Islam di 30 buah negara,…