Seramai 5,209 pendatang haram Israel menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis Timur yang diduduki sepanjang Ogos, sementara dua rakyat Palestin dibunuh dan 114 lagi ditahan oleh tentera rejim Israel.
Menurut laporan bulanan Gabenor Baitul Maqdis yang dikeluarkan pada Selasa, pencerobohan ke atas kompleks Masjid Al-Aqsa semakin meningkat sepanjang Ogos, termasuk pelaksanaan ritual keagamaan Yahudi di dalam kawasan masjid dan di sekitar pintu-pintunya.
Kesemua pencerobohan tersebut berlaku di bawah kawalan dan perlindungan langsung polis Israel.
Antara jumlah tertinggi direkodkan pada 13 Ogos, apabila seramai 751 pendatang haram Israel memasuki kawasan Masjid al-Aqsa dalam tempoh sehari.
Pihak berkuasa Israel turut mengeluarkan lima perintah larangan terhadap rakyat Palestin daripada memasuki Masjid al-Aqsa.
Sejak 2003, polis Israel membenarkan pendatang Yahudi memasuki kawasan kompleks al-Aqsa. Namun, Jabatan Wakaf Islam Baitul Maqdis menegaskan bahawa Masjid al-Aqsa merupakan tapak suci eksklusif umat Islam dan berulang kali menuntut agar pencerobohan tersebut dihentikan.
Dalam tempoh sama, tentera rejim Israel dilaporkan membunuh dua rakyat Palestin, mencederakan 83 orang dan menahan 114 individu, termasuk lima kanak-kanak.
Laporan itu turut merekodkan 44 serangan oleh pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin seta harta benda mereka.
Selain itu, sebanyak 40 operasi perobohan dan pembersihan tanah dilaksanakan terhadap rumah, bangunan dan tanah milik rakyat Palestin di Baitul Maqdis.
Pihak berkuasa rejim Israel juga mengeluarkan 86 notis perobohan atau arahan menghentikan kerja terhadap penduduk Palestin.
Perkembangan ini berlaku ketika media Israel melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berusaha meningkatkan ketegangan bagi memuaskan parti-parti kanan ekstrem menjelang pilihan raya Knesset yang dijadualkan berlangsung pada 27 Oktober.
Rakyat Palestin mendakwa Israel semakin memperhebat usaha mengyahudikan Baitul Maqdis Timur, termasuk kawasan Masjid al-Aqsa, serta menghapuskan identiti Arab dan Islam bandar tersebut.
Bagi rakyat Palestin, Baitul Maqdis Timur kekal sebagai ibu negara bagi negara Palestin merdeka yang mereka perjuangkan.
Sejak Israel melancarkan perang ke atas Gaza pada Oktober 2023, bandar-bandar, pekan dan kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitul Maqdis, terus menjadi sasaran serbuan dan penahanan besar-besaran, selain peningkatan serangan oleh pendatang Israel terhadap rakyat Palestin serta harta benda mereka.
Sumber: Anadolu Agency