Dr Mazen al-Rantisi, seorang doktor Palestin berusia 71 tahun mendakwa mengalami pelbagai bentuk penyeksaan dan penghinaan sepanjang empat bulan ditahan di penjara rejim Israel tanpa sebarang pertuduhan.
Dalam temu bual bersama platform digital Al Jazeera, Dr Mazen al-Rantisi berkata beliau kehilangan 25 kilogram berat badan sepanjang tempoh tahanan selepas ditangkap pada awal pagi 20 Jun lalu di kediamannya di kawasan al-Tirah, Ramallah, Tebing Barat yang diduduki.
Beliau berkata, tentera rejim Israel membawanya ke pusat soal siasat di kawasan Tilam, selatan Tebing Barat, sebelum memindahkannya ke Penjara Ofer di barat Ramallah.
Menurutnya, ketika dibawa ke penjara, beliau ditolak sehingga terjatuh dan terhantuk pada kepala serta lututnya. Beliau turut menceritakan pelbagai bentuk kekerasan yang dialaminya, termasuk rambut ditarik, sebahagian janggut dicukur secara paksa, selain dipukul, ditampar dan dihina secara lisan.
Beliau turut mendakwa tangan dan kakinya digari, manakala matanya ditutup ketika dipindahkan atau berada dalam tahanan. Malah, aduannya mengenai tindakan kekerasan yang dialami turut tidak diendahkan pihak pengurusan penjara.
Al-Rantisi berkata, beliau berulang kali dipindahkan antara bahagian penjara serta dipaksa menunggu berjam-jam dalam keadaan bergari.
Beliau turut mendedahkan kira-kira 25 banduan ditempatkan dalam sebuah bilik seluas hanya enam meter persegi. Anggota tentera rejim Israel juga didakwa menyembur gas ke dalam bilik berkenaan serta menggari banduan dalam keadaan yang menyakitkan.
Al-Rantisi turut menggambarkan keadaan kesihatan banduan yang membimbangkan, termasuk penularan penyakit kulit dan kekurangan bekalan ubat serta keperluan kebersihan asas. Beliau mendakwa permintaan mendapatkan rawatan perubatan sering tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Doktor itu dikenali di Ramallah kerana memberikan rawatan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah selama beberapa dekad.
Beliau hanya mengenakan bayaran simbolik sebanyak 25 shekel (kira-kira AS$7), selain menyediakan konsultasi dan pemeriksaan percuma serta mengagihkan ubat sumbangan kepada pesakit yang memerlukan.
Beliau juga terus memberikan khidmat nasihat perubatan melalui telefon dan media sosial di luar waktu bekerja.
Penahanan Al-Rantisi berlaku ketika operasi penangkapan Israel di Tebing Barat terus menyasarkan doktor, ahli akademik, aktivis dan tokoh masyarakat.
Menurut data Palestin pada Mac lalu, kira-kira 9,500 banduan Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, berada dalam penjara rejim Israel. Beberapa organisasi hak asasi manusia Palestin dan Israel turut melaporkan banduan berdepan keadaan sukar, termasuk pengabaian perubatan dan layanan buruk.
Sumber: Al Jazeera