Dari Runtuhan Gaza ke Baitul Maqdis: Krisis Pendidikan Palestin Diasak dari Semua Arah

Tahun persekolahan baharu Palestin bermula dalam keadaan penuh cabaran apabila ratusan ribu pelajar di Gaza, Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur berdepan krisis pendidikan yang berbeza daripada kemusnahan sekolah akibat perang, masalah kewangan dan ancaman perobohan hinggalah sekatan terhadap guru serta campur tangan terhadap kurikulum.

Di Gaza, kira-kira 541,000 pelajar dijangka kembali mengikuti sesi pendidikan bagi tahun 2026/2027, namun mereka tidak lagi kembali ke sekolah seperti sebelum perang. Kemusnahan besar terhadap bangunan dan kemudahan pendidikan memaksa Kementerian Pendidikan Palestin menyediakan sekitar 700 pusat pembelajaran serta 25 sekolah sementara, selain meneruskan pembelajaran secara dalam talian bagi pelajar yang tidak mampu hadir secara fizikal. Usaha itu dilakukan bagi mengelakkan satu lagi generasi pelajar Gaza kehilangan akses kepada pendidikan, meskipun cabaran menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan stabil masih berterusan.

Di Tebing Barat pula, sistem pendidikan dibelenggu krisis kewangan berpanjangan yang memberi kesan kepada kira-kira 32,000 guru dan 625,000 pelajar. Guru dilaporkan tidak menerima gaji secara penuh dan konsisten sejak beberapa tahun lalu, sehingga mencetuskan pertikaian mengenai jumlah hari persekolahan. Ketika pihak kementerian mahu sesi persekolahan berjalan lima hari seminggu, terdapat cadangan untuk menghadkan pengajaran kepada tiga hari sahaja. Keadaan itu membimbangkan kerana kehilangan pembelajaran dilaporkan meningkat sehingga hampir 60 peratus pada tahun lalu.

Dalam masa yang sama, sekolah-sekolah Palestin turut berdepan ancaman langsung daripada rejim Israel. Sebanyak 84 sekolah dilaporkan menerima arahan perobohan atau pemberhentian kerja, melibatkan sekitar 13,000 pelajar dan lebih 1,000 guru serta kakitangan.

Sebahagian besar sekolah yang menerima arahan perobohan atau pemberhentian kerja itu terletak di kawasan yang diklasifikasikan sebagai Kawasan C, termasuk penempatan Badwi dan komuniti penggembala, yang turut berdepan ancaman pengusiran penduduk, sekatan pergerakan serta serangan pendatang haram Israel.

Di Baitul Maqdis Timur yang diduduki pula, tekanan terhadap pendidikan Palestin semakin ketara apabila lebih 70 guru dan kakitangan dari Tebing Barat dihalang daripada memasuki bandar itu selepas permit mereka tidak diperbaharui. Langkah tersebut menjejaskan sekolah yang memberikan pendidikan kepada lebih 8,500 pelajar dan menyebabkan beberapa sekolah Kristian melancarkan mogok tanpa had.

Selain sekatan terhadap guru, kebimbangan turut meningkat terhadap usaha rejim Israel dalam memperluas kurikulum Israel di sekolah-sekolah Palestin. Langkah itu dilihat bukan sekadar melibatkan perubahan buku teks, tetapi turut menyentuh naratif sejarah, identiti dan masa depan generasi Palestin di Baitul Maqdis.

Dari Gaza yang dipenuhi runtuhan, Tebing Barat yang berdepan krisis kewangan dan ancaman perobohan sekolah, hinggalah ke Baitul Maqdis yang menyaksikan tekanan terhadap guru dan kurikulum, pendidikan Palestin kini berdepan perjuangan yang semakin kompleks. Bagi ratusan ribu pelajar Palestin, pergi ke sekolah bukan lagi sekadar untuk menuntut ilmu, tetapi juga satu perjuangan untuk memastikan masa depan dan identiti mereka terus dipertahankan.

Sumber: Shehab News

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Baitul Maqdis: Bumi Perhimpunan dan Keutamaan Menyumbang untuk Masjidnya

Next Post

Hari Pertama Persekolahan Bertukar Tragedi, Lima Lagi Syahid di Gaza

Related Posts