Pilihan raya Israel pada 27 Oktober 2026 lepas telah menatijahkan landskap politik yang berbeza daripada kebuntuan biasa antara dua blok politik. Kedua-dua blok utama, iaitu blok Benjamin Netanyahu dan blok pembangkang gagal memperoleh majoriti 61 kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan. Sementara itu, senarai parti-parti Arab pula berjaya memperoleh kira-kira 19 kerusi. Persoalannya, siapakah yang mampu membentuk kerajaan haram Israel yang seterusnya?
Situasi ini menunjukkan bahawa kebuntuan yang berlaku bukan sekadar berpunca daripada jumlah kerusi yang dimiliki oleh setiap blok tetapi turut berkait rapat dengan struktur politik itu sendiri. Blok Netanyahu tidak boleh membentuk pakatan dengan parti-parti Arab kerana tindakan sedemikian berisiko menyebabkan mereka hilang sokongan parti-parti Yahudi. Pada masa yang sama, blok Eisenkot juga tidak akan mampu membentuk kerajaan tanpa sokongan parti-parti Arab, sedangkan Eisenkot sebelum ini secara terbuka pernah bersumpah untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan mereka.
Walau bagaimanapun, tindakan pari-parti Arab untuk berkecuali dalam pengundian sahaja masih belum mencukupi. Hal ini dikatakan demikian kerana 48 undi yang ada tidak mampu mengatasi 53 undi penentang yang ada setakat ini. Oleh itu, sekurang-kurangnya enam orang ahli Parlimen diperlukan untuk memberikan undi sokongan secara langsung, bukan sekadar berkecuali bagi membolehkan pembentukan kerajaan tersebut.
Selain itu, dakwaan berhubung penyelewengan pilihan raya turut menjadi sebahagian daripada polemik sepanjang pilihan raya yang berlangsung. Dakwaan ini bukan sekadar timbul sebagai reaksi selepas keputusan diumumkan. Sebaliknya, ada laporan yang menunjukkan bahawa persediaan untuk membangkitkan isu tersebut telah pun dibuat lebih awal. Akhbar Haaretz mendedahkan bahawa parti Likud telah menubuhkan pasukan tidak rasmi beberapa minggu sebelum pilihan raya berlangsung bagi memantau pengundi di kawasan-kawasan yang didiami komuniti Arab. Malah, beberapa orang pegawai parti itu dilaporkan telah membuat persediaan untuk melancarkan kempen selepas pilihan raya dengan mendakwa berlakunya penipuan sekiranya parti mereka mengalami kekalahan.
Menurut laporan The Times of Israel, beberapa sumber dalam parti berkenaan memaklumkan bahawa dakwaan mengenai penyelewengan pilihan raya telah pun dibincangkan sebelum pengundian bermula. Pada hari pilihan raya, hampir separuh daripada hantaran Netanyahu di sosial media menyasarkan penglibatan pengundi Arab dengan nada skeptikal iaitu menafikan kesahihan undi mereka. Ben-Gvir pula dikatakan turun rumah ke rumah di sebuah kawasan pantai di Bat Yam bagi menggesa komuniti pendatang haram agar keluar mengundi. Sementara itu, Smotrich bertindak menggantung sementara kempen politiknya lalu mengadakan mesyuarat tergempar susulan peningkatan kadar keluar mengundi dalam kalangan komuniti Arab. Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, Likud dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa parti-parti Arab telah melakukan penyelewengan pilihan raya.
Dalam masa yang sama, berlaku satu insiden apabila tiga orang aktivis daripada United Arab List ditahan atas tuduhan disyaki membayar sejumlah wang kepada sekumpulan kecil pengundi di sebuah bandar. Suruhanjaya Pilihan Raya menyifatkan insiden tersebut sebagai luar biasa. Namun, pihak polis menyatakan bahawa tiada bukti yang menyokong dakwaan kecurian pilihan raya yang dibangkitkan berdasarkan insiden berkenaan. Agensi Keselamatan rejim Israel Shin Bet dan Suruhanjaya Pilihan Raya sedang menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut. Sementara itu, Presiden United Arab List, Ra’am, Mansour Abbas berpandangan bahawa Netanyahu sengaja menggunakan tuduhan tersebut sebagai helah untuk menggerakkan dan meningkatkan mobilisasi pengundi daripada blok kanan.
Dengan menggunakan kerangka pemikiran Michel Foucault, situasi ini memperlihatkan bagaimana wacana keselamatan telah mengubah persepsi terhadap tindakan mengundi komuniti Arab. Tindakan yang pada asalnya merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi biasa, telah digambarkan sebagai satu ancaman terhadap kewujudannya yang kononnya memerlukan tindakan luar biasa. Wacana ini memainkan dua peranan yang saling berkait. Pertama, menggerakkan dan mengukuhkan sokongan dalam kalangan penyokong blok kanan sebelum pilihan raya dan kedua, menafikan legitimasi mana-mana kerajaan alternatif yang mungkin terbentuk selepas pilihan raya. Dalam masa yang sama, kepentingan politik kepartian turut mempengaruhi reaksi tersebut. Parti Zionisme Agama misalnya, memberi amaran bahawa peningkatan kadar keluar mengundi dalam kalangan komuniti Arab berpotensi menyebabkan parti-parti kecil berhaluan kanan gagal melepasi ambang kelayakan untuk memperoleh kerusi di Knesset.
Peningkatan ketara kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Arab turut didorong oleh dasar-dasar Ben-Gvir dan Smotrich yang telah membawa isu politik nasional sehingga menjejaskan kehidupan banyak keluarga Arab. Bekas Ahli Parlimen, Hanna Swaid menyatakan bahawa para pengundi mahu menyingkirkan kedua-dua menteri berhaluan ekstrem tersebut. Namun, dorongan ini tidak boleh disempitkan kepada faktor identiti kebangsaan semata-mata. Sebaliknya, dasar-dasar kerajaan telah memberi kesan langsung kepada kehidupan komuniti Arab, termasuk melalui perobohan rumah mereka yang didakwa dibina tanpa permit sehinggalah ke pelaksanaan projek-projek Yahudisasi di wilayah utara dan selatan. Penganjur kempen di Nazareth turut menyatakan bahawa kekecewaan terhadap peningkatan kadar jenayah dalam komuniti Arab menjadi antara faktor yang mendorong mereka keluar mengundi. Ahmad Tibi pula menjelaskan bahawa matlamat utama yang digerakkan melalui penyertaan tersebut adalah untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Netanyahu, Smotrich dan Ben-Gvir.
Selain itu, kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petanda bahawa hala tuju strategik Israel juga akan turut berubah. Netanyahu dan Eisenkot sama-sama menentang penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka. Kedua-duanya juga menyatakan bahawa tentera rejim Israel tidak akan berundur dari Gaza selagi HAMAS belum dilucutkan senjata. Malah, Israel bersedia untuk menyambung semula peperangan demi mencapai matlamat tersebut. Tambahan pula, Eisenkot pernah berkhidmat sebagai menteri dalam kabinet perang selama lapan bulan selepas 7 Oktober 2023. Justeru, pilihan raya ini tidak semestinya membawa kepada perubahan dasar yang signifikan terhadap Palestin.
Walaupun begitu, perbezaan antara kedua-dua blok ini tetap wujud, khususnya dari segi pendekatan dan tahap pelaksanaan dasar, bukannya pada hala tuju asas yang mendasari Israel. Eisenkot misalnya, menentang projek E1 dan mencadangkan agar aktiviti penempatan haram di kawasan yang berada di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA) dihadkan. Sebaliknya, gabungan Netanyahu merangkumi parti-parti yang secara terbuka menyeru agar keseluruhan wilayah Palestin yang diduduki, diilhakkan. Namun, laporan lain pula menyebut bahawa Eisenkot masih menyokong aktiviti penempatan haram Israel dalam blok-blok penempatan sedia ada, sementara pendiriannya lebih berhati-hati terhadap penempatan yang dianggap tidak sah di sisi undang-undang Israel.
Di sinilah terletaknya paradoks: Blok politik yang mendapat sokongan undi komuniti Arab pada hakikatnya tidak menawarkan perubahan yang ketara dari segi hala tuju secara substantif kepada mereka. Keadaan ini menjelaskan mengapa para pemimpin Arab mengambil sikap berhati-hati terhadap sebarang bentuk kerjasama politik yang tidak disertai syarat dan jaminan yang jelas.
Kesimpulan
Pilihan raya kali ini memperlihatkan jurang antara kuasa elektoral dengan kuasa rundingan. Undi komuniti Arab berjaya menghalang blok Netanyahu daripada memperoleh kerusi majoriti, namun sehingga kini, kekuatan tersebut masih belum diterjemahkan dalam bentuk peranan sebagai rakan dalam pembentukan sebuah kerajaan alternatif. Hal ini dikatakan demikian kerana halangan yang wujud bukan sekadar berkaitan jumlah kerusi, tetapi turut berpunca daripada faktor politik. Malah, retorik yang dibangkitkan sebelum dan selepas pengundian telah meletakkan suara komuniti Arab sebagai satu ancaman, bukannya sebagai rakan politik.
Pada masa yang sama, kerajaan alternatif yang sedang diperkatakan juga tidak menjanjikan perubahan substantif terhadap dasar Israel. Namun, bagi masyarakat Palestin, perkara yang lebih utama adalah menyingkirkan Netanyahu daripada pentas politik Israel. Dengan itu, dia diharapkan menjadi individu terakhir dalam rangkaian politik yang menamatkan karier politik mereka susulan kegagalan 7 Oktober 2023, menurut istilah yang digunakan oleh pihak rejim.
Disediakan oleh: Naim Ashraf Mushtaha Diterjemahkan oleh: Lia Maryam