Ketegangan di Asia Barat terus menjadi perhatian antarabangsa susulan perkembangan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang masih belum menunjukkan tanda penyelesaian, meskipun usaha diplomatik antara kedua-dua pihak dilaporkan mencatat kemajuan. Perkembangan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan serantau, keselamatan laluan perdagangan antarabangsa dan risiko ketidaktentuan geopolitik yang lebih meluas serta ancaman keselamatan siber yang berpotensi menjejaskan negara lain, termasuk Malaysia.
Menurut laporan al-Jazeera pada 3 November, Naib Presiden AS, JD Vance menyatakan Washington melihat perkembangan positif dalam rundingan damai dengan Tehran. Bagaimanapun, Iran menegaskan bahawa sebarang persetujuan hanya boleh dicapai sekiranya AS bersedia memenuhi tuntutan Tehran, termasuk menarik balik sekatan laut yang dikenakan terhadap negara itu. Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf turut menyatakan bahawa tanggungjawab untuk mengelakkan perang kini terletak di tangan Washington.
Dalam perkembangan ketenteraan, tentera AS dilaporkan melancarkan serangan yang disifatkan sebagai tindakan pertahanan terhad terhadap sasaran Iran di kawasan Selat Hormuz susulan ancaman peluru berpandu terhadap aset ketenteraan Amerika. Beberapa letupan turut dilaporkan berlaku di Pulau Qeshm, lokasi strategik Iran yang mempunyai kemudahan radar dan sistem peluru berpandu. Presiden AS, Donald Trump pula memberi amaran bahawa Washington mungkin mempertimbangkan serangan terhadap kemudahan nuklear bawah tanah Iran sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan.
Ketegangan tersebut turut mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan dan tenaga antarabangsa, khususnya di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting penghantaran minyak dunia. Ancaman terhadap kapal komersial, gangguan operasi maritim serta peningkatan risiko serangan balas berpotensi memberi kesan kepada harga tenaga, rantaian bekalan dan kestabilan ekonomi global. Perkembangan ini menunjukkan bahawa kesan konflik AS–Iran tidak semestinya terhad kepada kawasan Asia Barat, sebaliknya boleh merebak melalui pelbagai dimensi keselamatan dan ekonomi.
Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa Malaysia turut berpotensi menjadi sasaran ancaman keselamatan siber dan ancaman hibrid susulan ketidaktentuan geopolitik dunia. Ketika menyampaikan kenyataan di Dewan Rakyat pada 3 November, beliau memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diadakan bagi menilai tahap kesiapsiagaan negara menghadapi kemungkinan serangan digital serta ancaman terhadap infrastruktur strategik. Menurut beliau, kekuatan Malaysia dalam sektor digital dan pusat data, selain pendirian tegas negara berhubung isu Palestin dan Gaza, merupakan antara faktor yang boleh meningkatkan risiko negara menjadi sasaran pihak tertentu.
Anwar berkata kerajaan sedang memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi keselamatan dan sektor strategik bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Antara langkah yang diberi perhatian termasuk meningkatkan perlindungan terhadap sektor tenaga, pengangkutan, kewangan dan bekalan makanan, selain memperkukuh keupayaan agensi keselamatan menggunakan teknologi. Beliau turut mencadangkan supaya Ketua Pengarah MKN memberikan taklimat keselamatan secara tertutup kepada semua ahli parlimen bagi menjelaskan perkembangan risikan dan tahap ancaman semasa.
Amaran Malaysia itu hadir ketika beberapa negara lain turut berdepan insiden serangan siber yang menjejaskan sistem pentadbiran dan infrastruktur digital mereka. Anwar menyebut kejadian di Belgium yang menyebabkan portal percukaian negara itu terpaksa ditutup, pencerobohan daftar penduduk di Denmark serta gangguan terhadap sistem Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan AS. Insiden berkenaan memperlihatkan bagaimana serangan siber mampu mengganggu fungsi institusi kerajaan, mendedahkan data peribadi dan menjejaskan operasi penting sesebuah negara tanpa melibatkan serangan ketenteraan secara langsung.
Sumber: al-Jazeera, Astro Awani, The Sun Malaysia