Sejak tercetusnya operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, perkembangan di Asia Barat telah memperlihatkan perubahan yang semakin mendalam terhadap hubungan antara negara dan keseimbangan kuasa serantau. Peperangan di Gaza, kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad di Syria, peningkatan pengaruh Turkiye, konflik ketenteraan yang melibatkan Iran serta perkembangan kerjasama keselamatan antara negara-negara Islam merupakan antara peristiwa yang sedang membentuk susunan geopolitik rantau ini.
Perubahan tersebut mempunyai hubungan yang penting dengan masa depan Palestin. Israel selama ini memperoleh kelebihan strategik melalui kekuatan ketenteraannya, sokongan Amerika Syarikat (AS) serta kelemahan dan perpecahan negara-negara di sekelilingnya. Oleh itu, setiap perubahan yang berlaku terhadap kedudukan Syria, Mesir, Iraq, Turkiye dan Arab Saudi berpotensi mempengaruhi lingkungan keselamatan yang selama ini memberikan kelebihan kepada Israel.
Persoalannya, sejauh mana perkembangan tersebut sedang mengubah keseimbangan kuasa yang memihak kepada Israel? Adakah negara-negara di rantau ini sedang membina suatu susunan hubungan yang akhirnya boleh memberikan kesan terhadap pembebasan Palestin atau perubahan tersebut masih bergerak dalam lingkungan kepentingan nasional masing-masing?
Persoalan ini menarik untuk diteliti melalui Teori Lingkaran Barakah (Barakah Circle Theory) yang dikemukakan oleh Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi. Dalam karya al-Takhtit al-Istratiji lil-Tahrir al-Qadim lil-Masjid al-Aqsa al-Mubarak (2022), beliau mengembangkan suatu kerangka geopolitik yang meletakkan Baitul Maqdis sebagai pusat untuk memahami perkembangan sejarah, hubungan antarabangsa dan perubahan kuasa di rantau ini.
Teori tersebut berangkat daripada ayat pertama Surah al-Isra’, khususnya ungkapan ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ yang merujuk kepada keberkatan di sekeliling Masjid al-Aqsa. El-Awaisi menghubungkan konsep keberkatan itu dengan kedudukan geografi Baitul Maqdis dan wilayah-wilayah di sekelilingnya melalui tiga lingkaran yang saling berkaitan.
Dalam kerangka beliau, Lingkaran Pertama merupakan pusat Baitul Maqdis manakala Lingkaran Kedua merangkumi lingkungan geografi yang lebih luas di sekitar Palestin, khususnya wilayah Syam, sebahagian Mesir dan Cyprus. Lingkaran Ketiga pula berkembang sehingga meliputi seluruh Turkiye, Iraq, Hijaz dan sebahagian besar Mesir termasuk kawasan kecil di Libya, Sudan, Kuwait dan Iran.
Pengelasan ini berasaskan lingkungan geografi yang digariskan oleh el-Awaisi. Oleh sebab itu, sempadannya tidak semestinya sejajar dengan sempadan politik negara moden. Mesir, misalnya, mempunyai kawasan yang berada dalam lingkungan kedua dan ketiga.
Apa yang menarik ialah perhatian el-Awaisi terhadap hubungan antara pusat Baitul Maqdis dengan kekuatan politik di wilayah sekelilingnya. Dalam sejarah, perubahan besar terhadap penguasaan Baitul Maqdis sering berlaku setelah muncul kekuatan politik yang mampu menyusun semula hubungan antara Mesir, Syam dan wilayah yang lebih jauh.
Dengan berpandukan kerangka tersebut, perkembangan geopolitik Asia Barat hari ini boleh diperhatikan sebagai sebahagian daripada proses penyusunan semula kekuatan dalam Lingkaran Barakah Ketiga. Namun, pembinaan kekuatan dan kerjasama keselamatan antara negara-negara yang terlibat masih perlu dinilai berdasarkan sejauh mana perkembangan tersebut menyumbang kepada persediaan strategik bagi pembebasan Baitul Maqdis, sebagaimana yang diberikan penekanan oleh el-Awaisi.
Hal ini memerlukan pemisahan antara potensi geopolitik dengan kemampuan politik yang telah terbentuk. Sebuah negara boleh meningkatkan kekuatan ketenteraan, memperluas hubungan diplomatik dan membangunkan jaringan ekonomi tanpa semestinya menjadikan persoalan Palestin sebagai keutamaan dalam dasar luarnya. Oleh itu, perubahan yang sedang berlangsung di Lingkaran Ketiga perlu diteliti melalui hubungan antara kepentingan negara, persaingan kuasa dan keupayaan untuk mempengaruhi kedudukan Israel.
Lingkaran Ketiga dalam Hubungan Kuasa Serantau
Dalam perbahasan geopolitiknya, el-Awaisi menghubungkan penguasaan Lingkaran Pertama dengan kemampuan mempengaruhi Lingkaran Kedua dan seterusnya Lingkaran Ketiga. Beliau turut mengaitkan kedudukan wilayah Timur Islam yang lebih luas ini dengan keseimbangan kuasa antarabangsa.
Rumusan tersebut mempunyai asas sejarah yang menarik untuk diperhatikan. Kedudukan Baitul Maqdis berhampiran persimpangan Asia, Afrika dan Eropah menjadikan wilayah sekelilingnya penting kepada perdagangan, keselamatan dan pergerakan ketenteraan sejak zaman silam.
Penguasaan wilayah Syam mempunyai hubungan dengan keselamatan Mesir dan Anatolia. Sementara itu, kedudukan Mesopotamia menghubungkan wilayah Parsi dengan Syam dan semenanjung Arab. Laluan Mediterranean dan Laut Merah pula menjadikan kawasan ini penting kepada perdagangan yang menghubungkan Eropah, Afrika dan Asia.
Kepentingan tersebut masih dapat dilihat melalui persaingan koridor ekonomi moden. Projek India–Middle East–Europe Economic Corridor (IMEC), misalnya, bertujuan membangunkan rangkaian pengangkutan dan tenaga yang menghubungkan India, negara-negara Teluk dan Eropah. Israel berkepentingan untuk menjadi sebahagian daripada jaringan tersebut melalui kedudukan pelabuhan Haifa.
Dalam keadaan ini, Israel mempunyai kepentingan untuk mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu pusat perdagangan dan keselamatan serantau. Hubungan diplomatik dengan negara-negara Arab serta perlindungan ketenteraan AS membolehkannya memperluas pengaruh melangkaui sempadan wilayah yang didudukinya.
Pada masa yang sama, negara-negara di Lingkaran Ketiga sedang membangunkan jaringan ekonomi dan keselamatan mereka sendiri. Persaingan tersebut semakin ketara apabila peperangan yang menyusul selepas Oktober 2023 menggugat andaian bahawa normalisasi hubungan dengan Israel akan menghasilkan kestabilan serantau.
Namun, perubahan ini belum menunjukkan satu arah yang seragam. Negara-negara yang terlibat mempunyai keperluan keselamatan, kepentingan ekonomi dan hubungan dengan kuasa besar yang berbeza. Kesemuanya mempengaruhi dasar mereka terhadap Palestin.
Turkiye dan Perubahan Kedudukan Syria
Turkiye merupakan antara negara yang paling penting untuk diperhatikan dalam Lingkaran Ketiga. Kedudukannya menghubungkan Anatolia, Eropah, Laut Hitam dan wilayah Syam. Dalam sejarah, hubungan politik dan ketenteraan antara Anatolia dengan Baitul Maqdis telah mengalami pelbagai perubahan, daripada pemerintahan Byzantine sehingga penguasaan Uthmaniyyah.
El-Awaisi memberikan perhatian khusus kepada hubungan antara Istanbul, Makkah dan Baitul Maqdis. Dalam huraian beliau, ketiga-tiga wilayah tersebut mempunyai hubungan sejarah dan geografi yang penting terhadap pembentukan kekuatan politik dunia Islam.
Dalam karya yang sama, el-Awaisi menjelaskan bahawa hubungan antara Makkah dan Istanbul menuntut perhatian serta kerjasama dalam proses persediaan pembebasan Baitul Maqdis. Penekanan ini mempunyai kepentingan yang besar kerana beliau melihat hubungan antara pusat-pusat kuasa dalam Lingkaran Ketiga sebagai sebahagian daripada persediaan strategik yang lebih luas.
Dalam konteks semasa, kedudukan Turkiye semakin menarik selepas kejatuhan pemerintahan Assad pada Disember 2024. Perubahan politik di Damascus membuka ruang kepada Ankara untuk memperluas hubungan keselamatan, ekonomi dan diplomatik dengan Syria.
Di bawah kepimpinan Ahmad al-Sharaa, Syria berusaha memulihkan hubungan serantau selepas lebih sedekad mengalami perang saudara. Dalam proses tersebut, Turkiye muncul sebagai antara rakan penting kepada pembinaan semula Syria.
Perkembangan ini membawa implikasi yang besar terhadap Israel.
Sepanjang pemerintahan Assad, Syria mengalami kemerosotan keupayaan ketenteraan dan pergantungan yang mendalam terhadap Iran serta Rusia. Kejatuhan pemerintahan tersebut mengubah hubungan politik Damascus, tetapi pada masa yang sama membuka ruang kepada Israel untuk meluaskan kedudukan tenteranya di selatan Syria.
Israel turut menunjukkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan pengaruh ketenteraan Turkiye di wilayah Syria. Serangan Israel terhadap kemudahan ketenteraan Syria dan bantahan terhadap peningkatan pengaruh Ankara memperlihatkan bahawa persaingan tersebut semakin jelas.
Bagi Ankara, Syria mempunyai kepentingan langsung terhadap keselamatan sempadan, persoalan Kurdish, kestabilan pelarian dan jaringan perdagangan. Bagi Israel pula, sebuah Syria yang mempunyai hubungan keselamatan semakin rapat dengan Turkiye boleh mengubah persekitaran strategik di utara Palestin.
Walau bagaimanapun, kemampuan Syria untuk memainkan peranan yang lebih besar masih bergantung kepada proses pembinaan semula negaranya. Damascus perlu memulihkan institusi keselamatan, menyatukan wilayah, menangani ketegangan antara kelompok masyarakat dan membangunkan semula ekonomi.
Kedudukan al-Sharaa juga perlu dinilai dalam konteks tersebut. Hubungan dengan Turkiye, Arab Saudi, Eropah dan AS merupakan sebahagian daripada usaha mendapatkan ruang politik dan ekonomi bagi memulihkan Syria. Perubahan dalam hubungan luar Damascus boleh memberikan peluang untuk mengurangkan pergantungan terhadap satu-satu kuasa tetapi keupayaan Syria mempertahankan kebebasan strategiknya masih bergantung kepada kekuatan institusi negara dan keadaan politik dalam negeri.
Perubahan di Syria mempunyai kepentingan kerana ia mempengaruhi hubungan antara Lingkaran Kedua dengan Lingkaran Ketiga. Sebuah Syria yang stabil dan mampu mempertahankan kedaulatannya akan mengubah perhitungan keselamatan Israel, khususnya apabila Damascus mempunyai hubungan yang lebih luas dengan Ankara, Riyadh dan Baghdad.
Dalam kerangka el-Awaisi, perkembangan tersebut memberikan ruang untuk meneliti bagaimana pengukuhan hubungan antara wilayah boleh mempengaruhi kedudukan Baitul Maqdis. Namun, kejayaan pembinaan semula Syria masih merupakan proses yang panjang dan hasil akhirnya belum dapat ditentukan.
Iraq dan Kepentingan Membina Semula Kekuatan Mesopotamia
Dalam sejarah pembebasan Baitul Maqdis, wilayah Iraq mempunyai kedudukan yang besar. Kemunculan Imaduddin Zanki di Mosul dan usaha Nuruddin Mahmud Zanki menyusun kekuatan politik di utara Syam merupakan sebahagian daripada perkembangan yang mendahului kejayaan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Baitul Maqdis pada tahun 1187.
Pembentukan kekuatan tersebut berlaku dalam suatu proses sejarah yang panjang. Hubungan antara Mosul, Aleppo, Damascus dan Mesir memainkan peranan penting dalam mengubah keseimbangan kuasa yang sebelumnya memihak kepada kerajaan tentera Salib.
Iraq moden berhadapan dengan keadaan yang jauh berbeza. Pencerobohan AS pada tahun 2003 meninggalkan kesan yang mendalam terhadap struktur politik, keselamatan dan masyarakatnya. Persaingan antara kelompok politik, pengaruh Iran serta kewujudan pelbagai kumpulan bersenjata membataskan kemampuan Baghdad untuk bertindak sebagai sebuah kuasa serantau yang bebas.
Bagaimanapun, Iraq masih mempunyai potensi besar melalui kedudukan geografi, sumber tenaga dan jaringan perdagangan.
Pembangunan Iraqi Development Road yang dirancang untuk menghubungkan Teluk dengan Turkiye boleh meningkatkan kepentingan Iraq sebagai laluan perdagangan antara Asia Barat dan Eropah. Projek tersebut turut memperlihatkan bagaimana Baghdad dan Ankara mempunyai kepentingan ekonomi yang boleh menghasilkan hubungan lebih rapat.
Namun, pertikaian antara kerajaan pusat dengan wilayah Kurdish, ketidakstabilan keselamatan dan pengaruh kuasa luar masih menjadi cabaran terhadap pelaksanaan rancangan tersebut.
Persoalan yang lebih penting bagi Iraq ialah kemampuan membina institusi negara yang dapat mengawal keselamatan wilayahnya dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasional tanpa terlalu bergantung kepada kuasa luar.
Dalam keadaan Iran dan Israel semakin terlibat dalam pertarungan ketenteraan serantau, Iraq turut berhadapan dengan risiko menjadi salah satu medan pertembungan. Sebahagian kumpulan bersenjata yang mempunyai hubungan dengan Iran telah menjadikan penentangan terhadap AS dan Israel sebagai sebahagian daripada agenda mereka. Namun, tindakan kelompok tersebut juga boleh membawa kesan terhadap keselamatan dan kestabilan Iraq sendiri.
Pengalaman sejarah memperlihatkan bahawa pembentukan kekuatan di Mesopotamia memerlukan penyusunan politik yang mampu menghubungkan wilayah-wilayah sekitarnya. Cabaran Iraq hari ini memperlihatkan betapa sukarnya proses tersebut dalam sebuah negara yang masih berhadapan dengan persaingan dalaman dan pengaruh antarabangsa.
Iraq yang berjaya memulihkan kekuatan institusi dan membina hubungan stabil dengan Turkiye serta Syria berpotensi memainkan peranan yang lebih besar dalam susunan geopolitik rantau. Namun, potensi tersebut perlu dibezakan daripada kesediaan politik Baghdad untuk menjadikan pembebasan Palestin sebagai agenda strategiknya.
Arab Saudi dan Kemunculan Kerjasama Keselamatan Baharu
Hijaz merupakan salah satu wilayah utama dalam Lingkaran Ketiga yang dihuraikan oleh el-Awaisi. Kedudukan Makkah dan Madinah memberikan dimensi sejarah dan keagamaan yang penting, sementara semenanjung Arab mempunyai hubungan geografi dengan Laut Merah, Teluk dan wilayah Syam.
Dalam perkembangan moden, Arab Saudi mempunyai pengaruh besar melalui sumber tenaga, kemampuan kewangan serta hubungan politik dengan negara-negara Islam dan kuasa Barat.
Perubahan yang semakin ketara dalam dasar luar Riyadh ialah usaha mempelbagaikan hubungan diplomatik dan keselamatannya. Arab Saudi mengekalkan hubungan penting dengan AS, tetapi pada masa yang sama mengembangkan kerjasama dengan China, Turkiye, Pakistan dan negara-negara lain.
Perbincangan mengenai kerjasama pertahanan antara Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan memperlihatkan kepentingan yang semakin besar diberikan kepada pembangunan pilihan keselamatan serantau. Turkiye mempunyai kemampuan ketenteraan serta industri pertahanan yang berkembang. Pakistan pula memiliki kekuatan ketenteraan yang besar manakala Arab Saudi mempunyai sumber ekonomi dan kedudukan strategik yang penting dalam keselamatan tenaga dunia.
Hubungan antara negara-negara tersebut menarik untuk dibaca melalui penekanan el-Awaisi terhadap kedudukan Makkah dan Istanbul. Dalam kerangka beliau, hubungan antara kedua-dua pusat tersebut mempunyai kepentingan terhadap persediaan pembebasan Baitul Maqdis.
Namun, hubungan yang sedang dibangunkan dalam konteks negara moden perlu difahami berdasarkan tujuan dan kepentingan pihak-pihak yang terlibat. Kerjasama pertahanan boleh bertujuan mengukuhkan keselamatan sempadan, melindungi infrastruktur strategik atau mengurangkan pergantungan kepada kuasa luar tanpa semestinya mempunyai matlamat yang sama terhadap Palestin.
Arab Saudi mempunyai kepentingan besar untuk mengelakkan peperangan serantau yang boleh mengganggu kestabilan ekonomi dan pembangunan negaranya. Ancaman keselamatan dari Yaman, persaingan dengan Iran serta kedudukan AS dalam keselamatan Teluk terus mempengaruhi pertimbangan Riyadh.
Keadaan ini menjadikan dasar luar Arab Saudi bergerak dalam lingkungan yang rumit. Pada satu pihak, Riyadh berusaha memperoleh pilihan keselamatan yang lebih luas. Pada pihak yang lain, hubungannya dengan Washington masih mempunyai kepentingan besar dalam bidang pertahanan, ekonomi dan diplomasi.
Oleh itu, pengukuhan kerjasama antara Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan perlu dinilai berdasarkan kemampuan sebenar yang dihasilkan oleh hubungan tersebut serta bagaimana ia mempengaruhi keseimbangan kuasa serantau.
Sekiranya kerjasama itu berjaya mengurangkan kebergantungan keselamatan kepada kuasa luar, negara-negara terlibat mungkin memperoleh ruang diplomatik yang lebih besar. Namun, ruang tersebut hanya akan memberikan makna terhadap pembebasan Palestin sekiranya diterjemahkan kepada tindakan politik yang mampu mempengaruhi kedudukan Israel.
Dalam konteks inilah hubungan Makkah dan Istanbul yang diberikan penekanan oleh el-Awaisi memperoleh relevansi semasa. Potensi hubungan tersebut boleh diperhatikan melalui perkembangan kerjasama antara negara, sementara kesannya terhadap Baitul Maqdis masih perlu dinilai berdasarkan dasar dan tindakan yang dapat dibuktikan.
Iran dan Batas Pengaruh Ketenteraan Serantau
Iran mempunyai kedudukan yang rumit dalam hubungan kuasa Asia Barat. Sebahagian kecil wilayahnya termasuk dalam lingkungan geografi Lingkaran Ketiga seperti yang dihuraikan el-Awaisi tetapi pengaruh politik dan ketenteraannya melangkaui kawasan tersebut.
Selepas Revolusi Iran pada tahun 1979, Tehran menjadikan penentangan terhadap Israel sebagai salah satu unsur penting dalam dasar serantaunya. Melalui hubungan dengan Hizbullah di Lubnan, kelompok bersenjata di Iraq, Houthi di Yaman dan gerakan Palestin, Iran membangunkan jaringan pengaruh yang mampu memberikan tekanan terhadap Israel melalui pelbagai medan.
Strategi tersebut mempunyai kesan terhadap perhitungan keselamatan Israel. Ancaman serangan dari beberapa arah memerlukan Israel memperuntukkan sumber ketenteraan, memperkukuh sistem pertahanan dan mempertimbangkan kemungkinan peperangan yang lebih luas.
Namun, perkembangan selepas Oktober 2023 memperlihatkan tekanan besar terhadap jaringan tersebut.
Peperangan di Gaza dan Lubnan, kejatuhan pemerintahan Assad serta konflik langsung antara Iran dengan AS dan Israel telah mengubah kedudukan strategik Tehran.
Kejatuhan Assad memberikan kesan yang amat besar kerana Syria selama ini merupakan salah satu wilayah penting yang menghubungkan Iran dengan Hizbullah di Lubnan. Perubahan politik Damascus turut membuka ruang kepada peningkatan pengaruh Turkiye dan Arab Saudi.
Dalam keadaan tersebut, Iran perlu menilai semula kemampuan mempertahankan pengaruhnya di tengah-tengah tekanan ketenteraan dan ekonomi.
Perkembangan di Yaman turut menunjukkan bagaimana persaingan antara Iran dengan negara-negara serantau mempunyai implikasi yang melangkaui persoalan Palestin. Kedudukan Houthi dan ancaman terhadap keselamatan Laut Merah serta Bab al-Mandab menjadikan konflik tersebut sebahagian daripada perhitungan kuasa yang lebih luas.
Persoalan yang timbul ialah sama ada strategi tekanan ketenteraan melalui jaringan kelompok bersenjata dapat menghasilkan perubahan politik yang berkekalan terhadap kedudukan Israel.
Tekanan ketenteraan sememangnya boleh meningkatkan kos keselamatan Israel. Namun, kesannya turut bergantung kepada kemampuan negara-negara yang menjadi medan konflik untuk mempertahankan kestabilan masyarakat dan institusi mereka.
Pengalaman Syria menunjukkan bahawa pengaruh serantau yang besar boleh mengalami kemerosotan apabila asas politik tempatan berubah. Sementara itu, perkembangan di Iraq dan Yaman memperlihatkan bagaimana persaingan antara kuasa luar boleh memanjangkan ketidakstabilan.
Peranan Iran dalam hubungan kuasa sekitar Baitul Maqdis memerlukan penilaian yang mengambil kira kemampuan ketenteraannya, kedudukan sekutu-sekutunya dan kesan strategi tersebut terhadap masa depan masyarakat di rantau ini.
Mesir dan Kedudukan Lingkaran Kedua
Mesir mempunyai kedudukan yang istimewa dalam kerangka el-Awaisi. Sebahagian wilayahnya berada dalam lingkungan Lingkaran Ketiga, sedangkan kawasan yang lebih dekat dengan Baitul Maqdis mempunyai hubungan dengan Lingkaran Kedua.
Kedudukan ini mempunyai kepentingan sejarah yang besar. Dalam pengalaman Salahuddin al-Ayyubi, Mesir menjadi salah satu pusat kekuatan politik dan ketenteraan yang membolehkan beliau memperluas pengaruh ke wilayah Syam sebelum pembebasan Baitul Maqdis.
Dalam perkembangan moden, Mesir kekal mempunyai peranan penting melalui sempadannya dengan Gaza, penguasaan Terusan Suez serta hubungan keselamatan dan diplomatik dengan Israel dan AS.
Namun, kemampuan Cairo untuk memainkan peranan serantau yang lebih besar masih dibatasi oleh tekanan ekonomi serta keperluan mempertahankan kestabilan dalam negeri.
Mesir memperlihatkan pendekatan diplomatik yang berhati-hati terhadap konflik serantau yang melibatkan Iran, AS dan Israel. Cairo mempunyai kepentingan untuk mengurangkan ketegangan kerana peperangan yang berpanjangan boleh mengganggu keselamatan Laut Merah, perdagangan antarabangsa dan pemulihan ekonominya.
Menariknya, Mesir turut mempunyai hubungan diplomatik dan keselamatan yang penting dengan Turkiye, Pakistan dan Arab Saudi. Keempat-empat negara tersebut berkongsi kebimbangan tertentu terhadap perubahan keseimbangan kuasa serantau, walaupun masing-masing masih mempunyai perbezaan kepentingan.
Bagi persoalan Palestin, Mesir mempunyai pengaruh langsung yang sukar digantikan oleh negara lain. Dasar sempadan Rafah, penglibatan dalam rundingan Gaza serta hubungannya dengan pihak Palestin menjadikan Cairo salah satu aktor utama dalam menentukan perkembangan selepas peperangan.
Namun, pengaruh diplomatik tersebut tidak semestinya menghasilkan kemampuan untuk mengubah dasar Israel. Sebahagian keputusan utama masih bergantung pada Washington, Tel Aviv dan proses rundingan antarabangsa.
Kedudukan Mesir memperlihatkan bagaimana hubungan antara Lingkaran Kedua dengan Lingkaran Ketiga mempunyai kepentingan strategik. Perubahan yang berlaku di Turkiye, Arab Saudi dan Iraq akan mempunyai kesan yang lebih luas sekiranya disertai oleh hubungan keselamatan dan politik yang kukuh dengan Mesir serta Syria.
Dalam kerangka el-Awaisi, hubungan antara wilayah-wilayah tersebut merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam memahami proses pembinaan kekuatan menuju Baitul Maqdis. Namun, pengalaman semasa menunjukkan bahawa kedudukan geografi yang strategik perlu disertai kemampuan politik dan institusi untuk menghasilkan pengaruh yang berkesan.
Jordan, Lubnan dan Tekanan terhadap Lingkungan Palestin
Perkembangan di Lingkaran Ketiga turut mempunyai kesan terhadap negara-negara yang berada lebih dekat dengan Palestin. Jordan dan Lubnan merupakan dua contoh yang memperlihatkan hubungan antara perubahan serantau dengan keselamatan Baitul Maqdis.
Jordan mempunyai kedudukan yang amat penting kerana hubungan langsungnya dengan Tebing Barat serta peranan Hashemiyyah dalam penjagaan tempat suci Islam di Baitul Maqdis. Keamanan sempadan dan kestabilan Tebing Barat mempunyai implikasi besar terhadap keselamatan negara tersebut.
Sebarang usaha Israel memperluas penguasaan wilayah atau mengubah kedudukan masyarakat Palestin boleh memberikan tekanan politik dan keselamatan terhadap Amman.
Lubnan pula masih berhadapan dengan kesan peperangan dan kedudukan Hizbullah dalam struktur keselamatan negaranya. Hubungan Hizbullah dengan Iran serta operasi ketenteraan Israel di selatan Lubnan menjadikan negara tersebut sebahagian daripada perhitungan kuasa yang lebih luas.
Perubahan politik di Syria turut memberikan implikasi terhadap Lubnan. Hubungan antara Damascus dengan Beirut, kedudukan Hizbullah dan pengaruh Turkiye serta Iran merupakan antara unsur yang boleh mempengaruhi masa depan keselamatan kedua-dua negara.
Oleh itu, kestabilan di sekitar Palestin bergantung kepada hubungan yang lebih luas antara negara-negara jiran dengan pusat-pusat kuasa di Lingkaran Ketiga.
Selepas Taufan al-Aqsa: Empat Persoalan tentang Masa Depan Pembebasan
Tiga tahun selepas operasi Taufan al-Aqsa, perkembangan di Asia Barat memperlihatkan bahawa kedudukan Israel dalam susunan serantau sedang menghadapi cabaran yang semakin rumit.
Peperangan di Gaza telah mendedahkan percanggahan dalam pendekatan kuasa Barat terhadap undang-undang antarabangsa dan perlindungan penduduk awam. Kegagalan mekanisme antarabangsa menghentikan kemusnahan serta penderitaan rakyat Palestin turut menimbulkan persoalan terhadap susunan keselamatan yang dipertahankan AS.
Pada masa yang sama, perubahan politik di Syria, peningkatan hubungan Turkiye dengan Arab Saudi dan Pakistan, tekanan terhadap Iran serta usaha Mesir memainkan peranan diplomatik memperlihatkan bahawa hubungan kuasa serantau sedang melalui proses penyesuaian.
Namun, sejauh mana perubahan tersebut mempunyai makna terhadap masa depan Baitul Maqdis memerlukan penelitian terhadap empat persoalan.
Pertama, kemampuan membina dasar luar yang bebas. Negara-negara di Lingkaran Ketiga sedang mempelbagaikan hubungan keselamatan dan ekonomi, tetapi kebergantungan terhadap AS masih jelas dalam pelbagai keputusan strategik.
Kenyataan bersama negara-negara Arab dan Islam mengenai Gaza memperlihatkan keadaan tersebut. Walaupun mereka menegaskan hak rakyat Palestin, membantah peluasan penempatan haram dan menuntut perlindungan penduduk Gaza, usaha diplomatik serantau masih banyak bergantung kepada peranan AS dalam menentukan penyelesaian konflik.
Kedua, kemampuan membina kekuatan bersama yang berkesan. Perkembangan kerjasama pertahanan antara negara-negara Islam menunjukkan bahawa pembinaan hubungan keselamatan yang lebih luas sedang diberikan perhatian. Namun, matlamat utama kerjasama tersebut masih banyak tertumpu kepada keselamatan negara masing-masing.
Keupayaan tersebut belum diterjemahkan kepada pendekatan bersama yang jelas untuk memberikan tekanan strategik terhadap Israel.
Ketiga, kestabilan politik dan institusi negara. Pengalaman Syria dan Iraq memperlihatkan betapa pentingnya pembinaan semula institusi keselamatan, hubungan masyarakat dan ekonomi. Kemampuan ketenteraan yang besar sahaja tidak mencukupi apabila sesebuah negara masih berhadapan dengan perpecahan politik dan pengaruh luar.
Kestabilan yang berkekalan memberikan asas kepada pembangunan ekonomi, pengukuhan pertahanan dan kemampuan membuat keputusan yang lebih bebas.
Keempat, kedudukan rakyat Palestin dalam menentukan masa depan mereka. Persaingan geopolitik sering menjadikan Palestin sebahagian daripada perhitungan kuasa yang lebih luas. Namun, masa depan wilayah tersebut berkait secara langsung dengan hak rakyat Palestin terhadap penentuan nasib sendiri, pemulangan hak yang dirampas dan penamatan penjajahan.
Sebarang susunan keselamatan serantau yang dibangunkan tanpa memberikan kedudukan sewajarnya kepada rakyat Palestin akan terus menghadapi persoalan legitimasi dan keadilan.
Keempat-empat persoalan ini membolehkan perkembangan di Lingkaran Ketiga dinilai berdasarkan hasil politik dan strategik yang dapat diperhatikan. Ia juga membantu membezakan antara pembinaan keupayaan negara dengan pembentukan persediaan pembebasan yang lebih menyeluruh.
Potensi Lingkaran Ketiga dan Masa Depan Baitul Maqdis
Pengalaman pembebasan Baitul Maqdis pada zaman Salahuddin al-Ayyubi memberikan pengajaran tentang kepentingan proses pembinaan kekuatan yang panjang. Kejayaan pada tahun 1187 didahului usaha beberapa generasi untuk menyusun semula hubungan politik dan ketenteraan di Mesir, Syam serta wilayah-wilayah sekitarnya.
Dalam konteks moden, negara-negara di Lingkaran Ketiga mempunyai kemampuan ekonomi, ketenteraan dan diplomatik yang jauh lebih besar berbanding banyak wilayah pada zaman lampau. Turkiye mempunyai industri pertahanan dan pengaruh di Anatolia serta Syria. Iraq memiliki sumber tenaga dan kedudukan perdagangan yang penting. Arab Saudi mempunyai kemampuan kewangan dan pengaruh diplomatik, sementara Iran mempunyai jaringan keselamatan dan keupayaan ketenteraan tersendiri.
Namun, kekuatan tersebut masih bergerak berdasarkan keutamaan yang berbeza. Turkiye berusaha mengukuhkan kedudukannya di Syria dan keselamatan sempadan. Arab Saudi memberikan perhatian kepada keselamatan Teluk, pembangunan ekonomi dan ancaman dari Yaman. Iran berusaha mempertahankan kedudukan strategiknya selepas mengalami tekanan ketenteraan. Iraq pula masih menumpukan usaha memulihkan kestabilan politik dan ekonomi.
Kesemua perkembangan tersebut mempunyai implikasi terhadap Palestin, walaupun negara-negara berkenaan belum membentuk suatu pendekatan bersama yang menjadikan pembebasan Baitul Maqdis sebagai matlamat strategik.
Keadaan ini menjelaskan mengapa teori el-Awaisi masih relevan untuk digunakan dalam membaca perkembangan semasa. Lingkaran Ketiga membantu mengenal pasti wilayah yang mempunyai hubungan geografi dan sejarah dengan Baitul Maqdis, serta memahami bagaimana perubahan di wilayah tersebut boleh mempengaruhi keseimbangan kuasa di sekitar Palestin.
El-Awaisi memberikan penekanan terhadap kepentingan persediaan yang tersusun, hubungan antara pusat-pusat kuasa dan pembangunan kekuatan yang dapat menyumbang kepada pembebasan Baitul Maqdis. Penekanannya terhadap kerjasama antara Makkah dan Istanbul merupakan salah satu contoh bagaimana hubungan geografi diterjemahkan kepada persoalan strategi dalam kerangka beliau.
Perkembangan hari ini memperlihatkan sebahagian negara yang berada dalam lingkungan tersebut sedang meningkatkan hubungan politik, ekonomi dan keselamatan. Walau bagaimanapun, persamaan geografi dengan kerangka el-Awaisi tidak membuktikan bahawa negara-negara tersebut sedang melaksanakan strategi pembebasan seperti yang dihuraikan dalam karya beliau.
Negara moden mempunyai keutamaan keselamatan, hubungan ekonomi dan komitmen antarabangsa yang membentuk dasar masing-masing. Hubungan antara Turkiye dan Arab Saudi, misalnya, boleh mengukuhkan keselamatan kedua-dua negara tetapi kesannya terhadap Palestin masih bergantung kepada keputusan politik yang mereka ambil.
Begitu juga dengan usaha membina semula Syria. Pemulihan negara tersebut berpotensi mengubah keseimbangan kuasa di utara Palestin, tetapi Damascus masih perlu menyelesaikan cabaran besar dalam pembinaan semula institusi dan ekonomi sebelum mampu memainkan peranan serantau yang lebih berkesan.
Dalam keadaan ini, perubahan di Lingkaran Ketiga memperlihatkan potensi yang wajar diberikan perhatian tanpa membuat kesimpulan terlalu awal tentang arah akhirnya.
Kemampuan negara-negara di sekeliling Baitul Maqdis untuk membina hubungan yang lebih bebas, mengekalkan kestabilan politik dan menghasilkan kerjasama yang berkesan akan terus mempengaruhi keseimbangan kuasa Asia Barat.
Persoalan yang masih terbuka ialah sejauh mana kekuatan yang sedang dibangunkan itu dapat dihubungkan dengan suatu pendekatan politik yang memberikan kedudukan utama kepada hak rakyat Palestin dan pembebasan Baitul Maqdis.
Setakat Oktober 2026, Lingkaran Ketiga sedang mengalami penyusunan semula hubungan kuasa yang ketara. Namun, perkembangan tersebut masih lebih banyak digerakkan oleh kepentingan keselamatan dan kedudukan strategik negara-negara yang terlibat. Pembinaan kerjasama serantau yang akhirnya mampu mengubah kedudukan penjajahan Israel masih merupakan cabaran yang perlu diberikan perhatian dalam membaca masa depan Baitul Maqdis.
Tentang Penulis
Syahmi Afiq merupakan penulis, penyunting dan pemerhati Palestin serta Asia Barat. Penulisannya banyak menumpukan kepada Zionisme, Baitul Maqdis, gerakan pembebasan, perubahan politik serantau dan hubungan antara idea, kuasa serta pembentukan negara.
Beliau merupakan penulis Zionisme: Daripada Idea Menjadi Kuasa dan terlibat dalam kerja kemanusiaan, advokasi serta penerbitan berkaitan Palestin. Pengalaman tersebut membentuk pendekatan penulisannya yang cuba menghubungkan sejarah, pemikiran dan perkembangan geopolitik semasa.