Dua Bayi Terkorban dalam Sebuah Kebakaran Khemah di Gaza

Dua bayi perempuan Palestin maut selepas khemah yang menempatkan keluarga mereka terbakar di kawasan al-Mawasi, barat Khan Yunis, selatan Gaza, dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Mangsa dikenal pasti sebagai Habiba Mohammed Zanoun, berusia dua bulan dan Aseel Abu Suhayban, tujuh bulan. Kedua-duanya mengalami kelecuran serius sebelum meninggal dunia pada pagi Sabtu ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi Kompleks Perubatan Nasser.

Menurut laporan Anadolu Ajansi dan TRT World, kebakaran dipercayai tercetus ketika makanan sedang dimasak di dalam khemah yang menempatkan ahli keluarga berkenaan. Sekatan rejim Israel memaksa keluarga kehilangan tempat tinggal menggunakan api terbuka untuk menyediakan makanan atas faktor kekurangan gas memasak dan bekalan asas.

Ibu Aseel turut mengalami kecederaan apabila cuba menyelamatkan anaknya daripada kebakaran itu dan dikejarkan ke hospital. Habiba pula meninggal dunia pada hari yang sepatutnya dia menerima vaksinasi bagi bayi berusia dua bulan.

Nenek kepada kedua-dua mangsa berkata kejadian itu menambah penderitaan keluarga yang sudah bertahun-tahun hidup dalam keadaan berpindah-randah, ketakutan dan kesengsaraan.

Beliau turut meluahkan kesedihan kerana penduduk Gaza berdepan pelbagai ancaman setiap hari, termasuk serangan, kemalangan dan kebakaran.

Menurut sumber, kebakaran itu adalah antara tiga insiden kebakaran yang dilaporkan berlaku di khemah penempatan sementara di bahagian tengah dan selatan Gaza pada Jumaat.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) sebelum ini memberi amaran bahawa aktiviti memasak di dalam khemah menjadi antara punca utama kebakaran. Bahan seperti selimut, kain lama, kadbod dan plastik yang digunakan sebagai dinding atau pengukuh khemah menyebabkan api merebak dengan pantas.

OCHA turut melaporkan pihak berkuasa rejim menghalang kemasukan satu penghantaran yang telah diluluskan melalui laluan Mesir pada 26 Ogos dan 2 September lalu. Penghantaran itu mengandungi 36,960 batang kayu dan 660 kit perlindungan kecemasan.

Pejabat Media Kerajaan Gaza sebelum ini menganggarkan lebih 800,000 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berlindung di khemah yang tidak sesuai untuk didiami, manakala 162,000 daripada keseluruhan 270,000 khemah memerlukan penggantian segera.

Nenek mangsa merayu masyarakat antarabangsa untuk memberi perhatian kepada nasib keluarga yang kehilangan tempat tinggal di Gaza serta membantu menamatkan penderitaan mereka.

Sumber: Anadolu Agency, TRT World

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sudan Lapor Ethiopia kepada PBB  Berhubung Serangan Dron ke atas Wilayahnya

Next Post

Lingkaran Barakah Ketiga: Membaca Pergeseran Kuasa di Sekeliling Baitul Maqdis

Related Posts