Penangkapan Pengantin dan Perobohan Rumah Tingkatkan Tekanan terhadap Rakyat Palestin

Tekanan pihak rejim Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah haram Israel terus meningkat menerusi penangkapan, serangan berunsur perkauman dan perobohan rumah, sementara Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir berikrar untuk meneruskan operasi perobohan atas alasan penguatkuasaan undang-undang.

Insiden terbaharu berlaku pada 19 Oktober lalu apabila seorang pengantin perempuan masih mengenakan gaun pengantin putih ditahan polis ketika dalam perjalanan dari rumah ke gereja di bandar Ramla. Menurut saudara wanita itu, Ghassan Munir, polis mengepung kawasan berkenaan selepas beberapa ahli keluarga menyalakan bunga api bagi meraikan perkahwinan sebelum menahan pengantin tersebut. Beliau mempersoalkan tindakan pantas polis itu sementara kes pembunuhan di bandar al-Lydd dan Ramla terus berlaku.

Peristiwa ini berlaku dua bulan selepas penahanan sepasang pengantin Palestin di an-Naqab ketika mereka masih mengenakan pakaian perkahwinan, selain serbuan polis terhadap satu lagi majlis perkahwinan di Umm al-Fahm. Pada 19 Oktober juga, empat pelajar universiti dari Qalansuwa, Tayibe dan Baqa al-Gharbiyye dilaporkan menjadi mangsa serangan berunsur perkauman di sebuah stesen kereta api di Baitul Maqdis apabila seorang warga Israel menyimbah minuman ke arah mereka.

Pada masa yang sama, operasi perobohan rumah terus berlaku di kawasan an-Naqab. Pada 19 Oktober, pihak berkuasa merobohkan tiga rumah di perkampungan Umm Nmeileh al-Ziyadneh, timur laut Rahat, sehari selepas penduduk Abu Qreinat dilaporkan merobohkan sendiri kira-kira 90 bangunan bagi mengelakkan tindakan jentera Israel dan kemungkinan dikenakan denda. Ben-Gvir mendakwa tindakan itu membolehkan kawasan seluas 158 dunam (satu dunam bersamaan dengan 1,000 meter persegi) dikembalikan kepada negara tanpa menggunakan jentera perobohan, sambil menegaskan dasar penguatkuasaan akan diteruskan sepanjang dia memegang jawatan.

Tekanan turut melibatkan rumah ibadat apabila polis rejim Israel pada 18 Oktober mengeluarkan saman terhadap Masjid al-Rahmah di Tel As-Sab’a dan mengarahkan pembesar suara ditutup ketika bacaan al-Quran. Ben-Gvir mendakwa bunyi masjid itu pada waktu malam melebihi had yang dibenarkan. Pada 15 Oktober pula, notis perobohan dikeluarkan terhadap 20 rumah di Umm Nmeileh, manakala seorang pemuda Palestin, Mohammed Jamal Ibrahim Khalifa merobohkan sendiri rumahnya di Umm al-Fahm selepas menerima perintah perobohan atas alasan pembinaan tanpa permit, menjelang perpindahannya selepas berkahwin.

Skala kemusnahan lebih besar dilaporkan pada 12 Oktober apabila kira-kira 70 rumah milik keluarga Abu Wadi di perkampungan Dhahiyah dirobohkan, menyebabkan lebih 80 keluarga kehilangan tempat tinggal. Aktivis Amer al-Huzayel berkata operasi itu melibatkan pasukan khas, anggota berkuda, pengawal kebangsaan, dron, trak pengangkutan dan lebih 10 jentera pengorek. Beliau turut berkata kira-kira 200 murid dan pelajar pulang dari sekolah untuk mendapati rumah serta kawasan kediaman mereka sudah menjadi runtuhan. Pada 8 Oktober, sebuah bangunan di perkampungan Daburiyya turut dirobohkan di bawah kawalan ketat polis dan unit khas.

Rentetan tindakan itu mencetuskan bantahan politik. Senarai Bersama mengemukakan petisyen kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat bagi menghalang Ben-Gvir daripada menggunakan perobohan rumah milik warga Arab sebagai bahan kempen menjelang pilihan raya Knesset pada 27 Oktober. Gabungan itu turut memohon kepada Mahkamah Agung rejim Israel supaya operasi perobohan dalam masyarakat Arab dan di an-Naqab dihentikan sehingga pembentukan kerajaan baharu.

Sumber: al-Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Iran Dakwa Netanyahu Heret AS ke Perang Baharu demi Elak Dipenjara

Next Post

Lima Pelajar Palestin Syahid dalam Tempoh Kurang 72 Jam Akibat Serangan Israel

Related Posts