Lima Pelajar Palestin Syahid dalam Tempoh Kurang 72 Jam Akibat Serangan Israel

Menurut Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, seramai lima pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak Palestin terkorban akibat tembakan dan bedilan rejim Israel di semenanjung Gaza dalam tempoh kurang 72 jam, termasuk pelajar berusia 15 tahun, Majd Hassan.

Pengarah Media dan Perhubungan Awam kementerian itu, Ahmed al-Najjar berkata bahawa pelajar terus berdepan ancaman ketika dalam perjalanan ke sekolah, pulang dari sekolah atau berada di kawasan sekitarnya. Beliau memberi amaran bahawa perjalanan ke sekolah kini turut mengancam nyawa kanak-kanak.

Menurut al-Najjar, kematian lima pelajar itu bukan sekadar angka, sebaliknya lima kehidupan dan impian yang terputus serta keluarga yang kehilangan anak. Beliau berkata kira-kira 22,000 pelajar turut terbunuh sepanjang perang genosid di Gaza, sedangkan mereka berpotensi menjadi doktor, guru, jururawat dan jurutera yang menyumbang kepada pembangunan Palestin.

Kementerian sebelum ini mengumumkan kematian tiga pelajar akibat tembakan Israel dalam tempoh kurang 24 jam pada Ahad, sebelum seorang lagi pelajar, Walid Shakshak terbunuh dalam serangan peluru berpandu pada Isnin. Kematian Majd kemudian menjadikan jumlah pelajar kanak-kanak yang terkorban kepada lima orang dalam tempoh kurang 72 jam.

Al-Najjar menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) supaya tidak sekadar mengeluarkan kenyataan kecaman, sebaliknya mengambil tindakan nyata bagi melindungi kanak-kanak Palestin serta memastikan pihak yang bertanggungjawab atas pembunuhan mereka diadili.

Beliau menegaskan bahawa hak kanak-kanak Palestin untuk hidup dan memperoleh pendidikan merupakan hak asasi yang tidak boleh dikompromi. Kementerian, katanya, tidak mahu terus menerima berita kematian pelajar setiap hari ketika mereka sepatutnya dapat meneruskan pendidikan dengan selamat.

Menurut laporan statistik terkini kementerian itu, lebih 19,189 pelajar sekolah dan 1,386 pelajar universiti telah terbunuh di Gaza. Seramai 28,586 pelajar sekolah dan 3,082 pelajar universiti turut dilaporkan cedera, manakala lebih 179 sekolah kerajaan musnah sepenuhnya.

Kematian terbaharu itu berlaku meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 11 Oktober 2025. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah rakyat Palestin yang terbunuh sejak gencatan senjata bermula telah meningkat kepada 1,522 orang.

Sumber: Shehab News

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Penangkapan Pengantin dan Perobohan Rumah Tingkatkan Tekanan terhadap Rakyat Palestin

Next Post

Lindungi Data Rakyat, Kerajaan Galak Beralih ke TuJu Gantikan Waze

Related Posts