Pilihan Raya Israel: Anatomi Sebuah Kuasa

Pada 27 Oktober 2026, rakyat Israel akan kembali memilih kesemua 120 ahli Knesset, parlimen yang menjadi pusat kepada pembentukan kerajaan dan penggubalan dasar entiti tersebut. Pilihan raya kali ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana buat pertama kalinya sejak 1988, pengundian berlangsung mengikut jadual asal selepas Knesset melengkapkan tempoh penggalnya.

Namun, keadaan politik yang mengiringi pilihan raya ini jauh berbeza berbanding November 2022. Tiga tahun selepas operasi Taufan al-Aqsa, Israel masih berdepan akibat peperangan di Gaza, pergolakan di Lubnan dan ketegangan keselamatan di beberapa kawasan Asia Barat. Peperangan yang tercetus melalui serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada penghujung Februari 2026 turut menambahkan tekanan politik, khususnya selepas gencatan senjata yang menimbulkan perdebatan mengenai pencapaian sebenar operasi ketenteraan tersebut.

Benjamin Netanyahu, yang mengetuai Likud, sekali lagi berusaha mempertahankan kedudukan politiknya. Antara pencabarnya ialah Gadi Eisenkot, bekas Ketua Staf Tentera Israel yang kini memimpin parti Yashar. Sementara itu, bekas Perdana Menteri Naftali Bennett mengetuai senarai bersama Beyachad atau Together, dengan Yair Lapid berada pada kedudukan kedua.

Yashar dan Beyachad kekal sebagai senarai pilihan raya yang berasingan, meskipun kedua-duanya terlibat dalam usaha penyelarasan politik bersama beberapa parti pembangkang lain. Dalam kelompok pemerintah pula, Itamar Ben-Gvir melalui Otzma Yehudit dan Bezalel Smotrich melalui Religious Zionism terus memainkan peranan dalam persaingan politik berhaluan kanan.

Kegagalan keselamatan pada 7 Oktober 2023, pertikaian mengenai tanggungjawab Netanyahu, tekanan ekonomi akibat peperangan serta persoalan pengecualian perkhidmatan tentera bagi kelompok Yahudi ultra-Ortodoks merupakan antara perkara yang membentuk perbahasan menjelang pengundian.

Bagaimanapun, terdapat persoalan yang lebih besar daripada nasib politik Netanyahu atau pembentukan gabungan kerajaan baharu. Apakah pertukaran kepimpinan akan membawa perubahan terhadap hubungan Israel dengan rakyat Palestin? Sejauh manakah persaingan antara parti politik mampu mengubah dasar yang telah terbentuk melalui sejarah panjang Zionisme, khususnya berkaitan penguasaan tanah, identiti Yahudi dan kepentingan keselamatan?

Jawapan kepada persoalan ini memerlukan kita membaca politik Israel melalui perkembangan sejarah dan struktur kuasanya sejak sebelum 1948.

Persaingan Politik dalam Sebuah Projek yang Panjang

Sejak penubuhannya pada 1948, politik Israel berkembang melalui persaingan pelbagai aliran Zionisme. Zionisme Buruh, Zionisme Revisionis, Zionisme Agama dan aliran liberal mempunyai pendekatan yang berbeza terhadap masyarakat, ekonomi, agama dan dasar luar. Perbezaan tersebut turut menghasilkan pertikaian mengenai hubungan antara kepentingan nasional Yahudi dengan institusi pemerintahan.

Pada peringkat awal, Gerakan Buruh Zionis menguasai politik Israel melalui kepimpinan David Ben-Gurion dan parti Mapai. Pengaruh mereka meliputi institusi politik, ketenteraan, kesatuan pekerja dan jaringan ekonomi yang menjadi asas pembinaan Israel selepas 1948.

Dominasi tersebut berakhir apabila Likud pimpinan Menachem Begin memenangi pilihan raya pada 1977. Peristiwa itu dikenali sebagai Mahapach, atau perubahan besar, kerana buat pertama kalinya kelompok kanan Revisionis berjaya mengambil alih pemerintahan daripada kelompok Buruh yang telah lama mendominasi institusi politik Israel.

Peralihan kuasa tersebut turut mengubah hubungan antara kelompok sosial dalam masyarakat Yahudi Israel. Sebahagian besar masyarakat Mizrahi yang selama ini berdepan ketidaksamaan sosial di bawah dominasi elit Ashkenazi memberikan sokongan kepada Likud. Pertentangan kelas, identiti budaya dan latar etnik mula memainkan peranan semakin besar dalam persaingan politik.

Namun, dasar penguasaan tanah di Palestin telah berkembang jauh sebelum kemenangan Likud.

Gershon Shafir dalam Land, Labor and the Origins of the Israeli-Palestinian Conflict, 1882–1914 memperlihatkan bagaimana Gerakan Buruh Zionis membangunkan strategi penguasaan pekerjaan dan tanah untuk membentuk masyarakat Yahudi yang terpisah daripada struktur ekonomi penduduk Arab Palestin. Penggunaan istilah seperti conquest of labor dan conquest of land menunjukkan bahawa pembinaan masyarakat baharu mempunyai dimensi ekonomi dan wilayah yang jelas sejak zaman sebelum Mandat British.

Kajian tersebut membantu menjelaskan mengapa sejarah penguasaan tanah di Palestin perlu dibaca melalui perkembangan institusi Zionis yang mendahului kewujudan Israel pada 1948.

Avi Shlaim dalam The Iron Wall pula menelusuri hubungan antara strategi ketenteraan, rundingan diplomatik dan dasar Israel terhadap dunia Arab. Melalui beberapa pentadbiran yang berbeza, Shlaim memperlihatkan bagaimana doktrin kelebihan ketenteraan menjadi komponen penting dalam pembentukan dasar keselamatan Israel.

Bagaimanapun, perubahan kerajaan sememangnya telah menghasilkan perbezaan dasar yang nyata. Menachem Begin menandatangani perjanjian damai dengan Mesir pada 1979, manakala Yitzhak Rabin memainkan peranan penting dalam proses Oslo pada 1993. Pengunduran penempatan Israel dari Gaza pada 2005 di bawah Ariel Sharon turut menunjukkan bahawa keputusan politik boleh menghasilkan perubahan besar terhadap susunan penguasaan wilayah.

Namun, perubahan tersebut mempunyai batasnya. Perjanjian Oslo misalnya membuka ruang kepada pembentukan Autoriti Palestin, tetapi gagal menyelesaikan isu penempatan Israel, status Baitul Maqdis, hak pelarian dan kedaulatan Palestin. Perjanjian damai dengan Mesir pula mengubah hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak tanpa menamatkan pendudukan Israel ke atas Tebing Barat dan Gaza.

Oleh itu, persaingan antara parti politik Israel perlu dinilai melalui hubungan antara perubahan dasar dengan kesinambungan struktur yang telah terbentuk sebelumnya. Pengalaman sejarah memperlihatkan bahawa pertukaran kerajaan boleh mengubah pendekatan diplomatik dan pentadbiran, sedangkan persoalan mengenai penguasaan tanah Palestin terus berulang merentasi pelbagai pentadbiran.

Demokrasi dan Persoalan Siapa yang Diwakili

Israel sering diperkenalkan oleh sekutu Baratnya sebagai sebuah demokrasi berparlimen di Asia Barat. Pilihan raya berlangsung secara berkala, parti politik bersaing mendapatkan sokongan dan kerajaan dibentuk melalui gabungan yang mempunyai majoriti di Knesset.

Kewujudan proses tersebut memberikan ruang kepada persaingan politik, termasuk penyertaan parti yang mewakili warganegara Palestin dalam Israel. Namun, perbahasan mengenai demokrasi memerlukan penelitian terhadap persoalan kewarganegaraan, kesaksamaan undang-undang dan hubungan antara pemerintah dengan penduduk yang berada di bawah penguasaannya.

Dalam konteks Israel-Palestin, persoalan tersebut mempunyai dimensi yang cukup besar.

Warganegara Palestin yang memiliki kewarganegaraan Israel mempunyai hak untuk mengundi dalam pilihan raya Knesset. Mereka turut boleh membentuk parti politik dan menjadi ahli parlimen. Namun, jutaan rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza tidak mempunyai hak mengundi dalam pilihan raya Israel, walaupun keputusan kerajaan haram Israel memberi kesan langsung terhadap kehidupan mereka.

Keadaan di Baitul Maqdis Timur mempunyai kerumitan tersendiri. Kebanyakan penduduk Palestin di wilayah tersebut mempunyai status pemastautin tetap, bukannya kewarganegaraan Israel. Mereka boleh menyertai pilihan raya perbandaran Israel mengikut syarat yang ditetapkan, tetapi tidak mempunyai hak mengundi dalam pilihan raya Knesset selagi tidak memperoleh kewarganegaraan.

Sebaliknya, warga haram Israel yang tinggal di penempatan Israel di Tebing Barat mempunyai hak mengundi bagi menentukan komposisi parlimen yang turut menggubal dasar berkaitan wilayah tersebut.

Perbezaan status politik antara penduduk yang tinggal dalam ruang geografi berdekatan ini menjadi salah satu persoalan paling penting dalam menilai hubungan antara demokrasi dan penguasaan wilayah.

Ahli geografi politik Oren Yiftachel, melalui Ethnocracy: Land and Identity Politics in Israel/Palestine, mengemukakan kerangka etnokrasi untuk memahami sistem politik yang menggabungkan institusi demokrasi dengan pengutamaan kepentingan kelompok etnonasional tertentu.

Dalam kerangka tersebut, penguasaan wilayah, pengagihan tanah dan pembinaan identiti nasional mempunyai hubungan langsung dengan struktur kuasa politik.

Ilan Pappé pula, dalam bukunya yang berjudul Ten Myths About Israel, mempertikaikan anggapan bahawa masalah demokrasi Israel hanya bermula selepas pendudukan Tebing Barat dan Gaza pada 1967. Pappé mengingatkan bahawa rakyat Palestin yang kekal dalam wilayah haram Israel selepas Nakbah 1948 telah hidup di bawah pemerintahan tentera sehingga 1966, ketika pilihan raya Knesset sudah pun diadakan.

Perbahasan tersebut menunjukkan bahawa sejarah demokrasi Israel perlu turut mengambil kira pengalaman penduduk Palestin yang berada di bawah pentadbirannya sejak awal penubuhan.

Pada 2018, Knesset meluluskan Undang-undang Asas Negara Bangsa Yahudi yang menegaskan bahawa hak menentukan nasib sendiri pada peringkat nasional dalam Israel adalah khusus kepada bangsa Yahudi.

Peruntukan itu menimbulkan pertikaian mengenai hubungan antara identiti etnonasional dengan prinsip kesaksamaan kewarganegaraan. Bagi pengkritiknya, undang-undang tersebut memberikan kedudukan perlembagaan kepada keutamaan identiti Yahudi. Penyokongnya pula melihat peruntukan berkenaan sebagai penegasan terhadap karakter nasional Israel yang menurut mereka boleh wujud bersama hak individu semua warganegara.

Pertikaian ini penting kerana pilihan raya boleh mengubah komposisi kerajaan, sedangkan kerangka perundangan yang mengatur identiti nasional dan pembahagian hak memerlukan proses politik serta undang-undang yang lebih mendalam untuk diubah.

Agama, Ketenteraan dan Perebutan Autoriti

Hubungan agama dengan politik merupakan antara persoalan yang masih mencorakkan perkembangan Israel. Ketika Zionisme politik moden muncul di Eropah pada penghujung abad ke-19, sebahagian kelompok Yahudi Ortodoks menentangnya kerana menganggap usaha manusia menubuhkan sebuah entiti politik Yahudi mendahului proses penebusan yang dikaitkan dengan kedatangan Messiah.

Sebahagian kelompok agama kemudian memilih untuk menyertai gerakan Zionis, manakala kelompok lain mengekalkan sikap penentangan atau mengambil pendekatan pragmatik terhadap institusi Israel.

Selepas pendudukan Tebing Barat pada 1967, gerakan Zionis Agama mengalami perkembangan yang semakin ketara. Wilayah yang diduduki mula diberikan tafsiran keagamaan yang lebih besar, khususnya oleh kelompok yang menghubungkan penguasaan tanah dengan janji ketuhanan dan proses penebusan bangsa Yahudi.

Pertumbuhan gerakan Gush Emunim pada dekad 1970-an memperlihatkan perkembangan ideologi tersebut dalam bentuk gerakan politik dan peluasan penempatan Israel di Tebing Barat.

Raef Zreik, dalam Israel: Ideological and Historical Background—An Introduction, yang diterbitkan sebagai sebahagian daripada The General Survey of Israel 2025, membincangkan Zionisme sebagai suatu projek perubahan yang berterusan.

Menurut Zreik, Zionisme mempunyai cita-cita yang melangkaui pembentukan institusi politik pada 1948. Ia turut berusaha membentuk identiti Yahudi baharu melalui perubahan hubungan masyarakat dengan bahasa, budaya, tanah, pekerjaan dan ketenteraan. Oleh sebab itu, hubungan antara negara yang telah terbentuk dengan cita-cita gerakan Zionis terus menjadi sumber pertikaian politik.

Perbahasan mengenai autoriti agama memberikan contoh yang jelas.

Kelompok Haredi mempunyai tradisi pendidikan dan struktur kepimpinan agamanya sendiri. Sebahagian besar komuniti ini mempertahankan pengecualian pengajian Torah daripada kewajipan perkhidmatan tentera, sedangkan masyarakat Yahudi Israel yang lain secara umumnya tertakluk kepada sistem kerahan ketenteraan.

Apabila peperangan berpanjangan meningkatkan keperluan anggota tentera dan pasukan simpanan, pengecualian tersebut kembali menjadi isu politik yang besar. Hubungan antara kerajaan dengan parti Haredi, kedudukan mahkamah dan persoalan pembahagian beban perkhidmatan tentera menjadi sebahagian daripada perdebatan menjelang pilihan raya.

Pertikaian ini juga berkait dengan sejarah ketegangan antara kelompok sekular, Haredi dan Zionis Agama mengenai sumber autoriti dalam pembentukan undang-undang serta institusi politik.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila sebahagian kelompok Zionis Agama menganggap penguasaan wilayah dan penyertaan dalam ketenteraan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab keagamaan.

Dalam konteks tersebut, perebutan kuasa antara parti politik turut melibatkan pertentangan mengenai peranan agama dalam menentukan arah institusi Israel.

Keselamatan sebagai Asas Penguasaan

Perbahasan keselamatan mempunyai kedudukan penting dalam kehidupan politik Israel. Sejak 1948, ketenteraan menjadi salah satu institusi utama yang membentuk masyarakat, kepimpinan politik dan hubungan Israel dengan kuasa antarabangsa.

Pengaruh tersebut dapat dilihat melalui kemunculan bekas pegawai tinggi tentera dalam arena politik.

Yitzhak Rabin, Ehud Barak, Benny Gantz dan Gadi Eisenkot pernah menduduki jawatan tertinggi dalam angkatan tentera sebelum memainkan peranan dalam pentadbiran atau persaingan politik Israel.

Dalam pilihan raya 2026, latar ketenteraan Eisenkot menjadi sebahagian daripada identiti politiknya. Persaingannya dengan Netanyahu turut melibatkan penilaian terhadap keputusan keselamatan, pengendalian peperangan dan tanggungjawab kepimpinan selepas 7 Oktober 2023.

Peperangan dengan Iran menambahkan satu lagi dimensi kepada pertikaian tersebut. Tinjauan Institute for National Security Studies (INSS) pada April 2026 mendapati 61 peratus responden Israel menentang perjanjian gencatan senjata dengan Iran pada ketika itu. Hanya 29 peratus menyatakan sokongan.

Tinjauan yang sama memperlihatkan tahap kepuasan yang rendah terhadap pencapaian ketenteraan dan politik operasi tersebut. Perbezaan antara jangkaan awal dengan hasil peperangan menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat Israel terhadap keberkesanan kepimpinan keselamatan.

Namun, pembinaan kekuatan ketenteraan Israel melibatkan institusi dan hubungan ekonomi yang jauh melangkaui seseorang perdana menteri.

Yaakov Katz dan Amir Bohbot dalam The Weapon Wizards: How Israel Became a High-Tech Military Superpower menghuraikan perkembangan industri pertahanan dan teknologi ketenteraan Israel. Antony Loewenstein pula, melalui The Palestine Laboratory: How Israel Exports the Technology of Occupation Around the World, mengkaji hubungan antara pendudukan Palestin, teknologi pengawasan dan eksport peralatan keselamatan.

Kedua-dua karya tersebut mengambil pendekatan yang berbeza. Katz dan Bohbot memberikan perhatian kepada pembangunan teknologi, inovasi ketenteraan dan doktrin keselamatan Israel. Loewenstein pula menumpukan penelitian terhadap hubungan industri keselamatan dengan penguasaan rakyat Palestin serta pasaran keselamatan antarabangsa.

Penelitian ini memperlihatkan bagaimana ketenteraan berkembang menjadi sebuah rangkaian yang melibatkan penyelidikan, syarikat persenjataan, kementerian kerajaan, eksport teknologi serta hubungan strategik dengan AS.

Oleh itu, penilaian terhadap dasar keselamatan selepas pilihan raya perlu mengambil kira hubungan antara kerajaan dengan institusi yang telah lama mengendalikan perancangan ketenteraan.

Dalam perkembangan semasa, perbezaan antara calon utama dapat dilihat melalui pendekatan terhadap keganasan oleh warga penempatan Israel di Tebing Barat. Eisenkot, Bennett dan Lapid telah mengecam keganasan tersebut dengan lebih tegas berbanding Netanyahu. Eisenkot turut menyokong usaha membongkar penempatan luar yang tidak mendapat kebenaran menurut undang-undang Israel.

Walau bagaimanapun, terdapat persamaan penting dalam pendekatan keselamatan beberapa parti utama, khususnya berhubung ancaman Iran, keperluan mengekalkan kelebihan ketenteraan dan penolakan terhadap pembentukan sebuah negara Palestin dalam keadaan semasa.

Perbezaan tersebut menunjukkan bahawa pertukaran kepimpinan boleh membawa perubahan terhadap penguatkuasaan undang-undang, hubungan diplomatik dan kaedah pelaksanaan dasar keselamatan. Namun, kedudukan dasar-dasar asas yang memperoleh sokongan luas dalam institusi politik Israel memerlukan perhatian yang berasingan.

Palestin dan Batas Perubahan Politik

Pada 19 Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan pendapat nasihat yang menyatakan bahawa kehadiran berterusan Israel di Wilayah Palestin Diduduki (OPT) adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.

Mahkamah menegaskan kewajipan Israel menamatkan kehadiran tersebut secepat mungkin, menghentikan aktiviti penempatan baharu dan menghormati hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri.

Pendapat nasihat itu memberikan ukuran undang-undang yang penting untuk menilai dasar kerajaan haram Israel, tanpa mengira parti yang membentuk pentadbiran selepas pilihan raya.

Pengunduran daripada wilayah yang diduduki, penghentian peluasan penempatan Israel, pemansuhan langkah diskriminasi dan pengiktirafan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin memerlukan keputusan politik yang nyata.

Dalam konteks pilihan raya 2026, persoalan tersebut lebih luas daripada pertentangan antara Netanyahu dengan Eisenkot atau Bennett.

Sebahagian kelompok politik Israel mengutamakan pengekalan penguasaan ketenteraan atas alasan keselamatan, manakala kelompok lain mengemukakan pendekatan yang lebih terbuka terhadap rundingan politik dan kesaksamaan hak. Parti-parti yang mewakili warganegara Palestin seperti Ra’am dan Joint List pula membawa kepentingan serta tuntutan politik yang berbeza daripada parti arus perdana Zionis.

Perbezaan tersebut wajar diperhatikan kerana perubahan dalam penguatkuasaan undang-undang, pengurusan wilayah dan hubungan diplomatik boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat Palestin.

Namun, persoalan mengenai masa depan Palestin masih berdepan struktur penguasaan yang terbentuk melalui sejarah panjang pembinaan Israel. Pelbagai pentadbiran sebelum ini telah mengubah pendekatan rundingan, kaedah ketenteraan dan hubungan dengan negara Arab, sedangkan isu pokok mengenai tanah, pelarian, Baitul Maqdis dan hak penentuan nasib sendiri terus belum diselesaikan.

Sejarah politik Israel sejak 1948 memberikan alasan yang cukup kuat untuk memerhatikan kesinambungan tersebut. Pada masa yang sama, pengalaman perjanjian damai Mesir-Israel, proses Oslo dan perubahan dasar di Gaza memperlihatkan bahawa pilihan kerajaan juga mempunyai akibat yang nyata dan perlu dinilai secara tersendiri.

Apabila keputusan pilihan raya diumumkan nanti, perhatian dunia tentu tertumpu kepada jumlah kerusi yang diperoleh setiap parti, gabungan yang berjaya dibentuk dan identiti perdana menteri seterusnya.

Bagi rakyat Palestin, persoalan mengenai kerajaan yang terbentuk mempunyai implikasi terhadap kehidupan seharian mereka, khususnya dalam urusan keselamatan, kebebasan bergerak, penguasaan tanah dan hubungan dengan masyarakat antarabangsa.

Namun, penilaian tersebut perlu diteruskan selepas kerajaan baharu dibentuk. Perubahan kepimpinan mesti diteliti melalui keputusan dasar, pelaksanaan undang-undang serta kesannya terhadap pendudukan dan hak rakyat Palestin.

Pilihan raya pada 27 Oktober akan menentukan susunan kuasa politik Israel untuk penggal berikutnya. Sejarah panjang hubungannya dengan Palestin mengingatkan bahawa memahami siapa yang memerintah hanyalah sebahagian daripada usaha memahami bagaimana kuasa tersebut dibentuk, dikendalikan dan dikekalkan.

TENTANG PENULIS

Muhammad Syahmi Afiq merupakan penulis, penyunting, penyelidik dan pemerhati isu Palestin serta Asia Barat. Beliau kini terlibat sebagai Felo Penyelidik di AMEC Malaysia dan Pengurus Editorial dan Penerbitan di ILHAM Books. Beliau turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang advokasi kemanusiaan, penyelidikan, pengurusan penerbitan dan pendidikan masyarakat mengenai isu Palestin.

Beliau merupakan penulis buku Zionisme: Daripada Idea Menjadi Kuasa dan Baitul Maqdis dan Lingkungan Kuasa: Membaca Tatanan Baharu di Asia Barat, serta penulis bersama Baitul Maqdis: Jalan Menuju Pembebasan. Bidang penulisan dan penyelidikannya menumpukan sejarah Zionisme, kolonialisme, gerakan pembebasan Palestin, hubungan antarabangsa dan perkembangan geopolitik Asia Barat.

Kini, beliau sedang menyiapkan manuskrip terbaharu, Zionis-Israel: Anatomi Sebuah Kuasa, yang meneliti struktur politik, ketenteraan, ekonomi dan ideologi yang membentuk serta mengekalkan kekuasaan Israel sejak 1948.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pilihan Raya Israel: Mampukah Netanyahu Kekal Berkuasa?

Next Post

Türkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Iran Sepakat Teruskan Rundingan Kerjasama Keselamatan Serantau

Related Posts