Menteri Luar Britain, Itali, Australia dan Kanada menggesa rejim Israel supaya membenarkan organisasi bantuan kemanusiaan memasuki semenanjung Gaza dengan segera, pantas dan tanpa sebarang halangan, susulan keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing akibat banjir serta cuaca buruk.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, keempat-empat negara itu mendedahkan bahawa kira-kira 150,000 khemah serta bekalan keperluan penting lain masih terkandas di sempadan dan tidak dibenarkan memasuki Gaza, meskipun keadaan penduduk di wilayah itu semakin membimbangkan. Mereka menggesa Israel memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke seluruh Gaza tanpa sebarang sekatan.
Sejak hujung minggu lalu, hujan lebat dan angin kencang menyebabkan puluhan ribu khemah penduduk Gaza ditenggelami air. Agensi Pertahanan Awam Palestin dan hospital di wilayah Gaza melaporkan bahawa kejadian itu mengorbankan lima penduduk Palestin, termasuk tiga kanak-kanak.
Kenyataan bersama itu menyifatkan hujan lebat berkenaan sebagai faktor yang memburukkan lagi penderitaan penduduk, selain memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya tragedi kemanusiaan yang lebih buruk menjelang musim sejuk. Mereka turut menggesa semua pihak melaksanakan pelan menyeluruh berkaitan Gaza dengan menghormati gencatan senjata, mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
Risiko banjir di Gaza semakin meningkat berikutan kemusnahan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam akibat perang genosid Israel, termasuk rangkaian pembetungan dan sistem saliran air hujan. Kemusnahan itu menyebabkan kawasan penempatan sementara penduduk terdedah kepada banjir setiap kali hujan lebat melanda.
Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan bahawa tentera rejim Israel pada Ahad menyasarkan sebuah pusat awam yang bertanggungjawab mengatur pergerakan lori barangan serta memastikan kelancaran lalu lintasnya. Serangan itu mengakibatkan beberapa kakitangan Kementerian Ekonomi yang sedang menjalankan tugas di lokasi berkenaan terkorban.
Pejabat itu mengecam serangan tersebut sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain mendakwa tindakan menyasarkan pihak yang menguruskan keselamatan dan pengedaran barangan bertujuan mencetuskan kekacauan, mengganggu rantaian bekalan penting serta meneruskan dasar kebuluran terhadap penduduk Gaza.
Sebelum ini, Kesatuan Eropah (EU) turut menggesa Israel membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan sokongan pemulihan awal ke Gaza tanpa halangan serta membuka semula semua pintu sempadan. Malah, 53 negara dan organisasi antarabangsa turut mengeluarkan desakan bersama supaya bantuan kemanusiaan dan perubatan segera dibenarkan masuk sebelum musim sejuk bermula.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sehingga 2 November lalu, hanya 77,657 lori bantuan dibenarkan memasuki Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, berbanding 232,800 lori yang dipersetujui. Kadar pelaksanaannya hanya 33.3 peratus. Sebahagian besar penduduk Gaza kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan, dengan kira-kira 1.6 juta daripada lebih dua juta penduduk memerlukan bantuan tersebut.
Sumber: al-Jazeera