Satu kempen penyelewengan maklumat digital berskala besar yang dikaitkan Israel didakwa menyasarkan umat Islam di 30 buah negara, dengan perbelanjaan pengiklanan mencecah AS$8.2 juta (RM34.5 juta).
Laporan penyelidikan bertajuk The Great Replacement Manufacturing yang disediakan oleh dua penyelidik, Mark Owen Jones dan Sohan D’Souza mendedahkan kempen itu berlangsung selama tiga tahun, bermula Oktober 2023 hingga Oktober 2026 dan menjana kira-kira 800 juta paparan iklan menerusi pelbagai platform digital di Eropah, Amerika, Asia serta Asia Barat.
Menurut laporan itu, kempen berkenaan menggunakan iklan berbayar di media sosial, video yang dijana kecerdasan buatan (AI), lagu, parodi permainan video serta rakaman yang diolah semula untuk menyebarkan naratif berunsur perkauman dan kebencian terhadap umat Islam, pendatang asing, Qatar serta Iran.
Antara kandungan yang dikenal pasti termasuk video yang menggambarkan warga Emiriah Arab Bersatu (UAE) membeli bangunan di Eropah untuk dijadikan masjid, selain iklan dengan slogan provokatif seperti “Ini satu pencerobohan” dan “Qatar sedang mengislamkan Eropah”.
Kempen itu turut mempromosikan teori konspirasi perkauman yang dikenali sebagai Great Replacement atau ‘Teori Penggantian Penduduk’, yang mendakwa wujud rancangan untuk menggantikan penduduk kulit putih Eropah dengan kumpulan masyarakat bukan Eropah melalui penghijrahan dan perubahan demografi.
Penyelidik menemui petunjuk yang mengaitkan kempen itu dengan pihak yang beroperasi dari Israel, namun menegaskan tiada bukti kukuh bahawa kerajaan haram Israel mengarah atau bertanggungjawab secara langsung terhadap operasi berkenaan.
D’Souza berkata, bukti menunjukkan pihak yang terlibat mempunyai pangkalan di Israel dan mempunyai hubungan dengan operasi pengaruh yang pernah dilaksanakan kerajaan negara itu tetapi hubungan tersebut belum membuktikan penglibatan langsung kerajaan Israel.
Siasatan turut mengesan rangkaian kempen itu pada peringkat awal melalui beberapa syarikat perantara di Vietnam. Selepas Meta mengambil tindakan terhadap rangkaian berkenaan pada Mei 2024, kempen itu muncul semula pada November tahun sama sebelum menggunakan entiti perniagaan di Brazil.
Penyelidik mengenal pasti sebanyak 1,473 iklan di Facebook, 189 video di YouTube, 359 iklan di TikTok serta 105 video yang dimuat naik oleh akaun di platform berkenaan.
Analisis terhadap 406 komen pada iklan Facebook yang menyasarkan pengguna di Britain pada 2024 pula mendapati 61 peratus daripadanya menyokong pandangan anti-Islam.
Meta sebelum ini mengakui kempen peringkat awal membelanjakan kira-kira £900,000 untuk pengiklanan di platformnya. Syarikat itu berkata pihaknya terus berusaha mengesan dan menyekat aktiviti terselaras yang tidak sahih, termasuk penyebaran kebencian dan maklumat mengelirukan.
Penyelidik menggesa kerajaan memperketat pemantauan terhadap iklan politik dan kempen pengaruh digital, selain memperkenalkan proses pengesahan identiti pengiklan yang lebih ketat bagi menghalang rangkaian seumpama itu muncul semula menggunakan akaun atau syarikat perantara.
Sumber: Al Jazeera, Anadolu Agency
Related Posts
Dua Ahli Kongres AS Cadang Hentikan Bantuan Ketenteraan kepada Israel
Dua Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat mengumumkan sokongan terhadap usaha mengurangkan bantuan ketenteraan kepada…
Laporan Mengenai Kanak-Kanak Gaza Ditembak Rejim Israel Menangi Anugerah Akhbar Eropah 2026
Sebuah laporan siasatan oleh akhbar Belanda, De Volkskrant yang mendokumentasikan kes tembakan terhadap kanak-kanak di Gaza telah memenangi…
9 Tahun Menanti Keadilan: Mampukah ICJ Buktikan Genosid Etnik Rohingya di Myanmar?
Sembilan tahun selepas keganasan yang memaksa ratusan ribu etnik Rohingya meninggalkan tanah air mereka, perjuangan menuntut keadilan kini…