Tahanan Palestin, Hassan Salameh dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas diserang dan ditembak sembilan kali di seluruh bahagian tubuhnya oleh anggota tentera rejim Israel di dalam sel penjaranya, susulan konfrontasinya dengan Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir.
Tunang Salameh, Ghufran al-Zamel mendedahkan perkara itu selepas seorang peguam melawat banduan berkenaan pada Isnin lalu. Menurutnya, insiden tersebut berlaku pada 15 September lalu selepas Ben-Gvir menyerbu sel Salameh dan merakam video pertemuan mereka yang mencetuskan kecaman.
Semasa penyerbuan tersebut berlaku, pertengkaran tercetus apabila Salameh menegaskan hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri dan tanah air mereka, selain membangkitkan jenayah yang dilakukan rejim Israel ke atas Gaza.
Al-Zamel berkata kira-kira jam 4 petang pada hari sama, anggota tentera rejim kembali memasuki sel berkenaan, memukul Salameh sebelum melepaskan sembilan das tembakan ke beberapa bahagian tubuhnya.
Beliau bagaimanapun tidak mengetahui jenis peluru yang digunakan dalam serangan tersebut. Perkhidmatan Penjara Israel kebiasaannya menggunakan pelbagai bentuk penindasan ke atas tahanan Palestin termasuk semburan lada, peluru getah dan gas pemedih mata.
Menurutnya, pihak penjara Israel hanya mengambil gambar kecederaan Salameh selepas tiga hari sebelum mengembalikannya ke sel tanpa rawatan perubatan sewajarnya, sebaliknya hanya memberikan ubat tahan sakit.
Peguam yang melawatnya pada Ahad lalu turut mendapati keadaan kesihatannya membimbangkan dan tubuhnya kelihatan sangat lemah.
Dalam perkembangan sama, pemimpin HAMAS, Abdul Rahman Shadid menyifatkan serangan terhadap Salameh sebagai tindakan jenayah dan memberi amaran mengenai ancaman berterusan terhadap keselamatan fizikal serta mental tahanan itu.
Beliau meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Israel terhadap keselamatan Salameh dan semua tahanan Palestin, selain menggesa badan antarabangsa, hak asasi manusia dan perubatan supaya campur tangan segera bagi memastikan mereka menerima rawatan sewajarnya.
Salameh, yang ditahan sejak 1996, sedang menjalani hukuman penjara 48 kali seumur hidup. Beliau pernah menjadi antara nama yang diminta HAMAS untuk dimasukkan dalam pertukaran tahanan pada 2011, namun Israel menolak pembebasannya.
Sumber: Al Jazeera
Related Posts
Perang Israel Ubah Kehidupan di Gaza
Selepas perang yang tercetus tiga tahun lalu, kehidupan di Gaza tidak lagi seperti sebelum ini. Puluhan ribu rakyat…
Bezalel Smotrich: Pelan Pembinaan Tiga Penempatan Haram Yahudi di Gaza Siap
Menteri Kewangan wilayah haram Israel, Bezalel Smotrich mendakwa pelan pembinaan tiga penempatan haram Yahudi di utara semenanjung Gaza…
Keadaan Kesihatan Tahanan Palestin di Penjara al-Naqab Terus Merosot
Keadaan tahanan Palestin di penjara-penjara rejim Zionis Israel, khususnya di Penjara al-Naqab dilaporkan terus merosot susulan penularan penyakit…