Komander Briged Utara dalam Briged al-Qassam, Izz al-Din Abd al-Aziz al-Baik (Abu Hamzah), dilaporkan syahid terkorban dalam serangan udara rejim Israel yang menyasarkan sebuah pangsapuri di bandar Gaza pada awal pagi Selasa. Dalam pada itu, pegawai keselamatan Israel mengesahkan bahawa tiada pilihan selain memperluas operasi di Gaza.
Briged al-Qassam mengumumkan kematian Izz al-Din al-Baik dan menyifatkan kematiannya sebagai syahid susulan Operasi Pembunuhan ‘Pengecut’. Menurut kenyataan tersebut, beliau meninggal dunia selepas melalui perjalanan panjang dalam perjuangan dan khidmatnya. Beliau pernah memimpin unit khas pertama Briged Utara ketika Intifadah al-Aqsa pada tahun 2000, sebelum mengambil alih kepimpinan Batalion Syahid Imad Aqil pada 2009.
Dalam satu kenyataan, Briged al-Qassam berkata al-Baik kemudiannya mengetuai unit risikan ketenteraan briged tersebut pada 2015. Beliau turut menjadi salah seorang komander bilik operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, sebelum mengambil alih kepimpinan Briged Utara menggantikan komander Ahmad al-Ghandour (Abu Anas).
Sementara itu, Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Israel Katz mengumumkan dalam satu kenyataan bersama bahawa tentera rejim Israel telah membunuh komander Briged Utara Gaza daripada HAMAS.
Dalam perkembangan berkaitan, Kompleks Perubatan al-Shifa memaklumkan semalam bahawa dua rakyat Palestin syahid dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah pangsapuri kediaman di kawasan al-Nasr, barat Bandar Gaza. Seorang lagi rakyat Palestin turut syahid selepas ditembak tentera Israel di timur Deir al-Balah, menurut sumber perubatan.
Media Palestin melaporkan bahawa dron Israel melancarkan tiga serangan yang menyasarkan sebuah pangsapuri di Bangunan al-Batul, di persimpangan al-Lababidi dan al-Nasr, barat bandar Gaza. Kebakaran dilaporkan masih berlaku sehingga semalam di lokasi tersebut.
Platform media Palestin menyiarkan rakaman yang menunjukkan pasukan ambulans memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera, termasuk kanak-kanak, selepas pangsapuri kediaman tersebut menjadi sasaran tentera Israel.
Dalam perkembangan lain, Saluran 12 Israel memetik pegawai keselamatan Israel sebagai berkata bahawa mereka tiada pilihan selain melaksanakan operasi berskala besar di Gaza.
Sumber: Al Jazeera
Related Posts
Rejim Israel Isytihar Penempatan Haram Givat Zeev sebagai Sebuah Bandar
Rejim Israel secara rasmi mengisytiharkan penempatan haram Givat Zeev di barat laut Baitul Maqdis sebagai sebuah bandar, menjadikannya…
Hari Pertama Persekolahan Bertukar Tragedi, Lima Lagi Syahid di Gaza
Pada pagi Ahad, Wafa Yusuf Akilah, seorang kanak-kanak Palestin di Gaza membawa beg sekolahnya dan berangkat ke sekolah…
Dari Runtuhan Gaza ke Baitul Maqdis: Krisis Pendidikan Palestin Diasak dari Semua Arah
Tahun persekolahan baharu Palestin bermula dalam keadaan penuh cabaran apabila ratusan ribu pelajar di Gaza, Tebing Barat dan…