Hari Pertama Persekolahan Bertukar Tragedi, Lima Lagi Syahid di Gaza

Pada pagi Ahad, Wafa Yusuf Akilah, seorang kanak-kanak Palestin di Gaza membawa beg sekolahnya dan berangkat ke sekolah seperti ribuan kanak-kanak lain yang cuba kembali menjalani kehidupan harian selepas bertahun-tahun berdepan peperangan dan perpindahan. Namun, hari yang sepatutnya menjadi permulaan tahun persekolahan baharu itu berakhir dengan tragedi apabila Wafa terkorban bersama bapanya, Yusuf Akilah dalam serangan rejim Israel di bandar Gaza.

Sebuah kenderaan yang dinaiki Wafa dan bapanya diserang dari udara berhampiran persimpangan Hamid, di barat bandar Gaza. Serangan itu mengorbankan kedua-duanya, manakala beberapa lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital as-Shifa untuk mendapatkan rawatan.

Wafa tidak mengetahui bahawa hari pertamanya di sekolah itu akan menjadi hari terakhir dalam hidupnya. Dia sepatutnya kembali ke sekolah pada keesokan harinya, membawa semula begnya, duduk di kerusi dan meneruskan tahun persekolahan seperti kanak-kanak lain. Namun, tempat duduknya kini menjadi kosong.

Kisah Wafa tersebar di media sosial selepas gambar dan kisahnya dikongsi oleh aktivis serta wartawan. Ramai menyoroti kisah tragis ini sebagai kisah seorang kanak-kanak yang pergi ke sekolah pada waktu pagi sebelum terbunuh bersama bapanya pada hari yang sama. Kisah itu turut dilihat sebagai gambaran penderitaan kanak-kanak Gaza yang cuba kembali mendapatkan pendidikan dan menikmati semula kehidupan kanak-kanak, sedangkan serangan masih mengancam mereka.

Dalam perkembangan yang sama, Al Jazeera melaporkan bahawa tujuh rakyat Palestin cedera, termasuk seorang yang berada dalam keadaan kritikal selepas sekumpulan penduduk di kawasan Kem as-Shati, barat bandar Gaza diserang pada Ahad. Pada awal Isnin pula, menurut sumber perubatan, sekurang-kurangnya lima lagi rakyat Palestin syahid dalam serangan udara rejim Israel di beberapa kawasan di Gaza. 

Seorang kanak-kanak terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas sebuah sekolah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal diserang di kawasan tengah Gaza, manakala empat lagi rakyat Palestin syahid dan beberapa yang lain cedera dalam serangan berasingan di al-Rimal, barat bandar Gaza. 

Dalam perkembangan lain, penduduk Gaza pada Sabtu mengebumikan kira-kira 100 mangsa termasuk sekitar 62 kanak-kanak selepas jasad dan sisa tubuh mereka ditemukan di bawah runtuhan rumah yang musnah di kawasan al-Zaytoun. Mereka dipercayai telah terbunuh hampir tiga tahun lalu sebelum jasad berjaya dikeluarkan dari runtuhan.

Rejim Israel didakwa berterusan melanggar perjanjian gencatan senjata dan menjejaskan usaha melaksanakan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menamatkan perang di Gaza yangmelibatkan pengunduran rejim Israel dari wilayah itu dan pelucutan senjata HAMAS.

Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza, sebanyak 1,344 rakyat Palestin telah terbunuh dan 4,464 lagi cedera akibat pelanggaran rejim Israel terhadap perjanjian gencatan senjata sejak ia mula berkuat kuasa pada Oktober 2025. Sejak bermulanya serangan Israel pada 7 Oktober 2023, jumlah kumulatif rakyat Palestin yang terbunuh dilaporkan mencecah 73,651 orang, manakala 174,592 lagi cedera.

Sumber: Shehab News dan al-Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dari Runtuhan Gaza ke Baitul Maqdis: Krisis Pendidikan Palestin Diasak dari Semua Arah

Next Post

Euro-Med: Israel Gunakan Mekanisme Penyelarasan Bantuan Gaza untuk Melindungi Penempatan Haram

Related Posts