Seramai lapan rakyat Palestin dilaporkan syahid, termasuk empat terbunuh dalam serangan ke atas Kem Halawa di utara Gaza, manakala beberapa yang lain cedera akibat serangan dan pelanggaran gencatan senjata oleh rejim Israel yang berterusan di beberapa kawasan di seluruh Gaza pada semalam.
Menurut sumber perubatan, jumlah korban serangan yang menyasarkan Kem Halawa di Jabalia meningkat kepada empat orang selepas dua lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Sebuah dron milik rejim Israel turut menyerang berhampiran Sekolah Abu Hussein di kawasan al-Fakhoura, Kem Jabalia, menyebabkan seorang rakyat Palestin syahid dan beberapa yang lain cedera.
Di bandar Gaza, Muhammad Jamal Abu al-Sha’ar syahid dalam serangan udara yang menyasarkan Jalan al-Nafaq di kawasan al-Tuffah, timur laut bandar itu.
Turut dilaporkan syahid ialah Izz al-Din al-Baik, Komander Briged Utara Gaza daripada Briged al-Qassam, bersama seorang lagi rakyat Palestin, Muhannad Abu Ful dalam serangan berasingan di sekitar bandar Gaza.
Di bahagian tengah Gaza, seorang rakyat Palestin syahid selepas ditembak tentera rejim Israel di kawasan timur Deir al-Balah. Sementara itu, di selatan Gaza, sumber perubatan mengumumkan kematian Rania Saad, yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya beberapa hari lalu di kawasan Mawasi Rafah.
Di Khan Yunis, seorang guru wanita turut cedera ditembak tentera Israel pada pagi ini selepas Sekolah Sheikh Jabr di kawasan Blok J, barat bandar tersebut menjadi sasaran.
Perkembangan ini berlaku ketika pelanggaran di lapangan dan serangan berulang oleh rejim Israel terus berlaku, sekali gus menambahkan tekanan terhadap sistem kesihatan dan keadaan kemanusiaan di seluruh Gaza.
Sumber: Shehab News