Pakar Ekonomi: Israel Laksanakan Kebuluran Buatan, Cetuskan Krisis Bekalan Barangan di Gaza

Pakar ekonomi Ahmad Abu Qamar memberi amaran bahawa corak bekalan barangan dan bantuan kemanusiaan ke Gaza kini berubah dengan ketara. Menurutnya, jumlah trak bantuan semakin berkurangan, manakala trak komersial pula semakin meningkat, menunjukkan keadaan yang boleh digambarkan sebagai  kebuluran buatan. Keadaan ini membimbangkan kerana majoriti penduduk Gaza sudah kehilangan keupayaan untuk membeli barangan keperluan.

Menurut analisis Abu Qamar, berdasarkan data pergerakan di semenanjung Gaza sepanjang September, sebanyak 938 trak bantuan hilang daripada aliran bekalan dalam tempoh sebulan. Jumlah trak bantuan yang memasuki Gaza merosot daripada 2,182 pada Ogos 2026 kepada 1,244 pada September, iaitu penurunan sebanyak 43 peratus.

Beliau berkata kemerosotan itu memberi kesan langsung kepada kehidupan penduduk, khususnya apabila laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kira-kira 95 peratus keluarga di Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.

Pada masa sama, jumlah trak komersial yang membawa barangan ke Gaza meningkat 2.5 peratus, daripada 3,688 kepada 3,781 trak. Sebaliknya, jumlah trak yang membawa bahan api merosot 16.7 peratus, daripada 288 kepada hanya 240 trak, meskipun bahan api merupakan bahan utama yang diperlukan untuk memastikan sektor-sektor penting terus beroperasi. 

Menurut Abu Qamar, trak komersial menyumbang sebanyak 71.8 peratus daripada keseluruhan trak yang memasuki Gaza pada September. Trak bantuan pula hanya menyumbang 23.6 peratus, manakala trak bahan api 4.6 peratus. Secara keseluruhan, jumlah trak yang memasuki Gaza turut menurun 14.5 peratus, daripada 6,158 trak pada Ogos kepada 5,265 trak pada September. 

Beliau menyifatkan perubahan corak bekalan itu sebagai amat membimbangkan apabila saluran bantuan percuma kepada keluarga digantikan dengan pasaran komersial yang bergantung pada barangan yang memerlukan penyelarasan serta bayaran tambahan, sebelum dijual pada harga jauh lebih tinggi berbanding sebelum perang.

Abu Qamar menegaskan bahawa kemasukan barangan komersial sama sekali tidak bermakna penduduk mempunyai kemampuan untuk membelinya. Katanya, apabila bantuan semakin berkurang sedangkan kebanyakan keluarga sudah kehilangan sumber pendapatan, penduduk semakin bergantung kepada pasaran untuk mendapatkan keperluan harian. Keadaan ini hanya akan memperluas jurang antara barangan yang tersedia di pasaran dengan apa yang mampu diperoleh penduduk.

Beliau turut menegaskan bahawa penurunan bantuan pada kadar tersebut tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jumlah trak yang memasuki Gaza, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan jenis barangan yang dibawa, pihak yang menerimanya serta kemampuan kewangan penduduk untuk mendapatkannya.

Sumber: Shehab News

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

London Cuba Halang Penutupan Konsulatnya di Baitul Maqdis, Ancam Usir 27 Diplomat Israel

Next Post

Tiga Tahun Taufan al-Aqsa: Genosid Masih Berterusan, Gaza di Ambang Kemusnahan 

Related Posts