Tiga Tahun Taufan al-Aqsa: Genosid Masih Berterusan, Gaza di Ambang Kemusnahan 

Tiga tahun selepas rejim Israel melancarkan perang besar-besaran di Gaza susulan operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, tanda-tanda perang akan berakhir dalam masa terdekat masih belum kelihatan.

Kerajaan haram Israel berhaluan kanan, yang kini menuju pilihan raya terus berusaha mencapai penyelesaian berdasarkan visi mereka terhadap masa depan rakyat Palestin. Langkah itu menurut laporan berupaya melemahkan asas penubuhan Palestin, memusnahkan masyarakat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, meneruskan pemindahan penduduk serta rampasan tanah dan sumber, selain mengenakan sekatan dan menyekat bekalan makanan.

Sepanjang tiga tahun ini, perang turut mengubah garis perpecahan di peringkat antarabangsa, sementara  naratif dan liputan media pula menjadi antara medan utama konflik. Di Gaza, rejim Israel terus membunuh rakyat Palestin walaupun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa dan tidak menghalang serangan udara. Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh sejak perang bermula kini melebihi 74,000 orang, manakala lebih 175,000 lagi cedera. Sekitar 1,460 rakyat Palestin turut terbunuh sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025.

Gaza kini memasuki musim sejuk baharu ketika krisis tempat tinggal semakin meruncing. Lebih 1.5 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal masih tinggal di khemah, termasuk kira-kira 162,000 khemah yang sudah rosak dan tidak lagi sesuai digunakan. Pada masa sama, kurang 35 peratus daripada jumlah trak bantuan yang sepatutnya dihantar ke Gaza berjaya memasuki wilayah itu.

Di wilayah haram Israel, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz meningkatkan tahap kesiapsiagaan tentera ke tahap tertinggi menjelang ulang tahun serangan 7 Oktober. Dia mengancam penduduk Gaza akan menanggung padah yang berat sekiranya tentera rejim Israel diserang. Manakala, Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu berkata terdapat kemungkinan HAMAS akan cuba melancarkan serangan lagi bagi mempengaruhi pilihan raya akan datang.

Di Tebing Barat, serangan pendatang haram Israel, serbuan tentera, perobohan rumah dan perampasan tanah terus berlaku hampir setiap hari. Beberapa rakyat Palestin cedera pada Selasa dalam kejadian di Aqraba dan Bani Na’im, manakala pendatang haram Israel turut menyerang jurugambar Agence France-Presse (AFP), Jaafar Ashtiyeh ketika beliau sedang membuat liputan.

Di Jenin, pihak berkuasa rejim Israel mengeluarkan arahan ketenteraan baharu untuk mengambil alih tanah, manakala di Baitul Maqdis Timur, pihak berkuasa Israel merobohkan sebuah bangunan lima tingkat yang dihuni kira-kira 70 rakyat Palestin.

Dalam keadaan itu, rakyat Palestin terus berdepan kesan perang yang bukan sahaja memusnahkan rumah dan infrastruktur, tetapi turut mengancam kelangsungan hidup serta masa depan mereka. Ketika serangan, pengusiran dan perampasan tanah berterusan di Gaza dan Tebing Barat, usaha menghentikan perang dan memastikan hak rakyat Palestin masih berdepan cabaran besar. Tiga tahun selepas Taufan al-Aqsa, kemusnahan yang berterusan menunjukkan bahawa konflik ini masih jauh daripada penyelesaian, sementara rakyat Palestin terus menanggung beban kemanusiaan dan politik yang semakin berat.

Sumber: al-Quds al–Arabi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pakar Ekonomi: Israel Laksanakan Kebuluran Buatan, Cetuskan Krisis Bekalan Barangan di Gaza

Next Post

Perang Israel Ubah Kehidupan di Gaza

Related Posts