Tunisia Tahan Lebih 15 Individu Selepas Perarakan Tuntut Pembebasan Aktivis GSF

Pihak berkuasa Tunisia menahan lebih 15 individu selepas satu perarakan yang menuntut pembebasan empat aktivis Global Sumud Flotiila (GSF) yang dipenjarakan.

Jawatankuasa Sumud Tunisia berkata penahanan berlaku pada petang Ahad selepas demonstrasi di ibu negara yang menuntut pembebasan empat anggota GSF yang telah ditahan sejak Mac. Menurut jawatankuasa itu, antara yang ditahan ialah peserta perarakan, dengan sebahagian daripada mereka ditahan di tempat awam manakala yang lain dibawa dari rumah masing-masing. Jawatankuasa berkenaan berkata pihaknya belum menerima maklumat rasmi mengenai sebab penahanan atau lokasi mereka ditahan. Pihak berkuasa Tunisia juga belum mengeluarkan kenyataan berhubung penahanan terbaharu itu, menurut al-Mayadeen.

Ratusan orang menyertai demonstrasi pada Sabtu yang bermula di hadapan ibu pejabat Kesatuan Kebangsaan Wartawan Tunisia sebelum bergerak melalui ibu negara menuju ke Teater Perbandaran di Avenue Habib Bourguiba. Para penunjuk perasaan menuntut empat anggota flotila itu dibebaskan serta prosiding undang-undang terhadap mereka dihentikan.

Perarakan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pembelaan Aktivis Sumud Flotila dan perjuangan Palestin bersama beberapa pertubuhan serta parti politik Tunisia. Antara yang mengambil bahagian ialah Popular Current yang menyatakan sokongan terhadap aktivis yang ditahan dan sedang melakukan mogok lapar, selain menolak apa yang disifatkannya sebagai tindakan mengkriminalisasikan kegiatan menyokong hak rakyat Palestin.

Popular Current mengutuk aktiviti penahanan pada Ahad lalu sebagai peningkatan yang tidak berasas terhadap aktivis yang mempunyai sejarah panjang dalam gerakan pelajar dan sosial Tunisia. Parti itu menuntut semua individu yang baru ditahan dibebaskan serta prosiding terhadap mereka dihentikan, selain mengulangi tuntutan supaya empat anggota GSF yang masih ditahan turut dibebaskan.

Parti Pekerja Tunisia turut mengutuk penahanan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada pendekatan represif pihak berkuasa yang semakin meningkat. Parti itu turut menuntut pembebasan individu yang ditahan selepas perarakan berkenaan. Walau bagaimanapun, sebab rasmi penahanan serta sebarang kemungkinan pertuduhan terhadap mereka masih belum diumumkan. 

Demonstrasi itu berlangsung selepas keputusan kehakiman pada 11 September melanjutkan tahanan reman empat anggota GSF iaitu Wael Nawar, Ghassan al-Hanchiri, Ghassan al-Boughdiri dan Nabil al-Chennoufi untuk tempoh empat bulan lagi. Keempat-empat mereka dilaporkan sedang menjalani mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan berterusan, menurut peguam mereka, yang turut memberi amaran bahawa keadaan kesihatan mereka semakin merosot.

Cinta Gaza Malaysia (CGM) memandang serius penahanan peserta demonstrasi yang menuntut pembebasan aktivis GSF, khususnya apabila sebab rasmi penahanan dan lokasi mereka masih belum dimaklumkan. Perkembangan ini turut menimbulkan persoalan mengenai layanan terhadap aktivis yang menyuarakan sokongan terhadap hak rakyat Palestin dan keadaan empat anggota GSF yang masih dalam tahanan.

Sumber: The Palestine Chronicle

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pilihan Raya Israel: Perangkap 27 Oktober dan Sumpahan 100 Hari Terakhir 

Next Post

Prinsip Sesebuah Negara Di Bawah Cengkaman Kuasa Hegemoni

Related Posts