Tentera Amerika Syarikat (AS) mengerahkan kira-kira 9,000 anggota tentera menaiki beberapa kapal perang menuju ke Asia Barat, menurut seorang pegawai AS pada Khamis. Penambahan kehadiran ketenteraan AS itu berlaku ketika Presiden Donald Trump sekali lagi memberi amaran bahawa serangan baharu terhadap Iran mungkin akan dilancarkan.
Trump turut berkata petunjuk awal menunjukkan Iran mempunyai kaitan dengan pembantu juruterbang yang menikam kaptennya dan cuba menjatuhkan sebuah pesawat yang menuju ke negara haram Israel pada Rabu.
Ketika bercakap kepada pemberita di Rumah Putih, Trump ditanya mengenai kemungkinan wujudnya kaitan antara pelaku serangan tersebut dengan Tehran.
“Saya akan katakan, berdasarkan apa yang saya dengar, jawapannya adalah ‘ya’. Tetapi kami masih sedang menyiasat perkara itu,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Trump turut memberi amaran bahawa sekiranya kaitan dengan Iran dapat dibuktikan, AS akan bertindak balas.
“Mereka akan diserang dengan sangat hebat, jangan risau,” katanya.
Sementara itu, kumpulan kapal yang kini dalam perjalanan menuju ke Asia Barat tersebut membawa lebih 7,000 anggota tentera laut dan 2,000 anggota Marin AS.
Kumpulan itu termasuk USS Theodore Roosevelt Carrier Strike Group, yang baru-baru ini dikerahkan bersama kapal penjelajah USS Chosin serta USS Makin Island Amphibious Readiness Group, yang turut merangkumi kapal pendaratan amfibia USS John P. Murtha dan USS Anchorage.
Menurut pegawai AS yang bercakap kepada Associated Press (AP) dengan syarat tidak dinamakan bagi membincangkan operasi ketenteraan sensitif, keadaan itu boleh menyebabkan tiga kapal pengangkut pesawat AS berada di rantau tersebut seawal penghujung Oktober.=
Dengan mengambil kira anggota tentera AS yang sudah berada di Asia Barat, penambahan tersebut akan meningkatkan jumlah kehadiran anggota tentera laut dan marin AS di rantau itu kepada lebih 20,000 orang, selain ratusan pesawat.
Tentera Laut AS sebelum ini menempatkan tiga kumpulan tempur kapal pengangkut pesawat di Asia Barat pada April lalu, buat pertama kali sejak 2003.
Kapal pengangkut pesawat USS George H.W. Bush dan USS George Washington kini berada di rantau tersebut bersama USS Boxer Amphibious Readiness Group. USS George Washington yang biasanya beroperasi di Lautan Pasifik dipindahkan ke Timur Tengah bagi menggantikan USS Abraham Lincoln, selepas kapal itu menjalani penugasan panjang yang menyebabkan anak kapalnya berada di laut selama lebih 260 hari berturut-turut.
Dalam wawancara dengan Majalah Time, Trump turut membayangkan kemungkinan serangan baharu terhadap Iran. Beliau berkata berkemungkinan AS meningkatkan serangan udara ke atas Iran selepas pilihan raya AS pada 3 November.
Sumber: Arab News
Related Posts
Setiausaha Agung PBB Nyatakan Kebimbangan Susulan Penutupan Pintu Sempadan Gaza
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keputusan rejim Israel menutup…
Laporan Mengenai Kanak-Kanak Gaza Ditembak Rejim Israel Menangi Anugerah Akhbar Eropah 2026
Sebuah laporan siasatan oleh akhbar Belanda, De Volkskrant yang mendokumentasikan kes tembakan terhadap kanak-kanak di Gaza telah memenangi…
Rubio: Rancangan Israel Kuasai 70% Gaza Bukan Sebahagian Daripada Rancangan AS
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio pada Selasa berkata bahawa rancangan rejim Israel untuk menjajah 70% wilayah…