Pilihan Raya Israel: Perangkap 27 Oktober dan Sumpahan 100 Hari Terakhir 

Kiraan detik 100 hari sebelum rakyat haram Israel menuju ke peti undi telah pun bermula. Perkembangan ini berlaku seiring selepas Knesset menyaksikan tindakan perundangan agresif (legislative blitz) dalam beberapa persidangan terakhirnya iaitu dengan meluluskan sejumlah Rang Undang-Undang (RUU) yang bersifat agak kontroversi. Langkah ini dilihat sebagai usaha awal Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu untuk meluluskan agenda-agenda yang menjadi keutamaannya, di samping mengukuhkan kedudukan gabungannya sebelum memasuki tempoh rasmi kempen pilihan raya. 

Langkah yang dipercepatkan ini membawa masyarakat haram di wilayah yang dijajah berdepan paradoks sejarah. Kerajaan sayap kanan yang memerintah kini bakal menjadi kerajaan pertama dalam beberapa dekad yang berjaya melengkapkan tempoh pemerintahan empat tahun, meskipun kerajaan yang sama menyaksikan “malapetaka terbesar” dalam sejarah Israel iaitu peristiwa 7 Oktober 2023. 

Artikel ini cuba menjawab empat persoalan utama yang akan menentukan nasib perebutan kuasa:

Bilakah pilihan raya Israel akan diadakan dan apakah yang akan menentukannya?

Pilihan raya Israel telah ditetapkan untuk berlangsung pada 27 Oktober akan datang iaitu tarikh asal yang ditetapkan berdasarkan undang-undang. Ketua gabungan, Ofir Katz turut mengesahkan tarikh tersebut di hadapan sebuah jawatankuasa parlimen, sekali gus menamatkan ketidakpastian yang timbul selepas Parlimen Israel mengundi pada Mei lalu berhubung cadangan pembubaran parlimen dan kemungkinan pilihan raya diawalkan.

Pilihan raya kali ini merupakan yang pertama sejak tercetusnya Operasi Taufan al-Aqsa pada Oktober 2023 dan siri peperangan yang dilancarkan oleh rejim Israel selepas itu di Gaza, Lubnan dan juga Iran. Ia juga berlangsung ketika wilayah haram tersebut terus berdepan krisis politik yang semakin tegang, selepas melalui beberapa pusingan pilihan raya dalam tempoh tujuh tahun terakhir.

Persoalan terbesar yang mungkin muncul adalah adakah pilihan raya kali ini akan menatijahkan keputusan yang muktamad? Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan pendapat semasa, tanpa mengambil kira undi parti-parti Arab dalam pembentukan gabungan kerajaan, tiada mana-mana pihak dijangka akan memperoleh undi majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Benjamin Netanyahu dan partinya, Likud pula sedang mengetuai kempen yang cuba membentuk persepsi bahawa blok perubahan dan pihak pembangkang tidak memiliki majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan tanpa adanya sokongan parti-parti Arab. Berdasarkan dapatan tinjauan pendapat, Netanyahu mengaitkan kemungkinan tersebut dengan dua pencabarnya, iaitu pemimpin Parti Yashar, Gadi Eisenkot, dan pemimpin Parti Beyachad, Naftali Bennett, bekas Perdana Menteri Israel. 

Tetapi sebaliknya, pihak yang menentang Netanyahu pula mengaitkan dirinya dengan parti-parti Haredi serta tindakan legislative blitz dalam beberapa persidangan terakhirnya iaitu dengan meluluskan sejumlah RUU kontroversi dalam tempoh yang sangat singkat dan secara tergesa-gesa.  Mereka cuba menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa jika Netanyahu terus berkuasa, pendekatannya akan terikat dengan trend gabungan yang bersifat memeras ugut. 

Dalam persaingan yang begitu sengit ini, kelompok pengundi yang dilihat berpotensi menjadi penentu adalah golongan pengundi yang masih ragu-ragu atau pengundi yang tidak tetap pendirian. Mereka merupakan pengundi yang boleh mengalihkan sokongan antara Netanyahu, parti-parti kanan yang lain dan parti-parti berhaluan tengah. Golongan ini dianggarkan membentuk sekitar 10% hingga 20% daripada keseluruhan pengundi iaitu bersamaan kira-kira 12 hingga 24 kerusi daripada 120 kerusi keseluruhan. Memandangkan perbezaan sokongan antara blok-blok politik adalah sangat kecil berdasarkan tinjauan semasa, perubahan sokongan yang melibatkan sebahagian kecil kerusi ini sebenarnya sudah mampu menentukan keputusan pilihan raya.

Bagaimanakah 7 Oktober boleh mempengaruhi gabungan kerajaan semasa dan apa yang membimbangkan Netanyahu?

Jika diperhatikan, peristiwa 7 Oktober yang dianggap sebagai malapetaka terbesar dalam sejarah Israel sememangnya telah memberi kesan terhadap landskap politiknya. Gabungan kerajaan semasa yang mempunyai 68 kerusi dan berjaya menamatkan tempoh pemerintahannya secara penuh, kini tidak lagi mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk semula gabungan yang sama iaitu mereka memerlukan sekurang-kurangnya 61 kerusi.

Kemungkinan besar juga, peristiwa 7 Oktober tidak akan mengubah pendirian sebahagian besar orang awam dalam tempoh beberapa bulan yang berbaki sebelum pilihan raya berlangsung. Walaupun Netanyahu sebelum ini cuba mengelakkan pilihan raya diadakan pada Oktober, termasuk kerana tarikh tersebut bertepatan dengan ulang tahun peristiwa 7 Oktober, laporan media Israel menunjukkan bahawa dia dalam perbincangan tertutup bersama sekutu-sekutunya menganggap kesan politik daripada peristiwa tersebut sudah pun terserlah dan diambil kira dalam landskap politik semasa. Dengan peristiwa tersebut bakal memasuki tahun ketiga pada Oktober ini, isu 7 Oktober tidak lagi dilihat sebagai faktor baharu yang mampu mengubah sokongan pengundi secara mendadak. 

Sebaliknya, menurut laporan media Israel, Netanyahu kini dilihat lebih bimbang terhadap kesan politik yang mungkin timbul daripada gelombang perundangan terbaharu yang diluluskan oleh kerajaannya. Antaranya termasuk undang-undang yang memberikan perlindungan kepada golongan Haredi yang mengelak atau melarikan diri daripada melaksanakan kewajipan ketenteraan. Isu ini juga berpotensi menimbulkan tekanan politik yang lebih besar terhadap Netanyahu berbanding isu 7 Oktober itu sendiri, khususnya dalam kalangan pengundi yang mempersoalkan layanan berbeza terhadap golongan Haredi dalam soal perkhidmatan ketenteraan. 

Pun begitu, tarikh 7 Oktober tetap menjadi senjata psikologi bagi pihak pembangkang dan keluarga bekas tawanan Israel. Mereka mengangkat slogan bahawa perbezaan antara kedua-dua tarikh itu ialah 2,000 mangsa korban yang terbunuh, sebagai gambaran terhadap hubungan antara 7 Oktober 2023 dengan pilihan raya yang bakal berlangsung pada 27 Oktober 2026. Bagi kelompok ini, pilihan raya akan datang bukan sekadar persaingan bagi menentukan kerajaan baharu tetapi turut dilihat sebagai pertarungan antara dua kemungkinan: Kemenangan politik mereka atau tercetusnya “7 Oktober” kedua. Perkembangan ini menunjukkan bahawa 7 Oktober bukan sekadar sebuah peristiwa yang semakin jauh dalam lipatan sejarah. Sebaliknya, peristiwa tersebut masih ada kesan psikologi dan politik yang kuat, khususnya dalam kalangan pengundi yang menentang kerajaan Netanyahu dan berpotensi menjadi salah satu isu penting yang mempengaruhi arah kempen pilihan raya. 

Laporan media Ibrani sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menjelang 100 hari terakhir sebelum pilihan raya, banyak menyoroti bahawa kerajaan semasa merupakan kerajaan pertama sejak 1988 yang berjaya melengkapkan tempoh pemerintahan selama empat tahun.

Namun, wujud paradoks yang ketara. Di sebalik kejayaan tersebut, kerajaan pimpinan Perdana Menteri haram Benjamin Netanyahu turut berdepan kegagalan besar pada 7 Oktober, yang sehingga kini belum diambil tanggungjawab secara rasmi oleh Netanyahu.

Siapakah pencabar terkuat Netanyahu dalam pilihan raya 2026?

Tinjauan pendapat terkini menunjukkan peningkatan ketara sokongan terhadap bekas Ketua Turus Tentera Israel, Gadi Eisenkot yang kini muncul sebagai pencabar baharu dalam persaingan pilihan raya dan antara pencabar paling serius kepada Netanyahu. Parti baharunya, Yashar dalam beberapa tinjauan terkini berjaya mengatasi parti pemerintah, Likud serta gabungan tradisional pembangkang, Beyachad yang dipimpin oleh Naftali Bennett dan turut melibatkan Yair Lapid.

Kemunculan Eisenkot sebagai pencabar utama bukan semata-mata disebabkan peningkatan sokongan terhadap partinya, tetapi turut didorong oleh tiga dimensi utama yang dibawanya ke tengah-tengah masyarakat haram Israel iaitu:

1. Karisma Ketenteraan dan Doktrin Keselamatan

Gadi Eisenkot memiliki kelebihan yang sukar ditandingi oleh kebanyakan pencabar Netanyahu, iaitu rekodnya yang panjang dalam institusi keselamatan Israel. Pernah berkhidmat sebagai Ketua Turus Tentera Israel (IOF) dari 2015 hingga 2019 dan memainkan peranan penting dalam membentuk semula doktrin operasi tentera rejim. Antara pendekatan yang semakin diberi penekanan ketika era kepimpinannya adalah konsep Perang antara Perang (campaign between wars) iaitu pendekatan yang menggunakan operasi ketenteraan berskala terhad termasuk tindakan pencegahan, risikan, serangan terpilih dan operasi terselindung bagi melemahkan ancaman sebelum ia berkembang menjadi perang berskala besar. 

Pengalamannya dalam menghadapi Hizbullah dan ancaman di sempadan Lubnan turut mengukuhkan imejnya sebagai tokoh keselamatan. Antaranya adalah operasi Israel pada 2018 dalam mendedahkan dan memusnahkan terowong rentas sempadan yang dibina Hizbullah dari Lubnan ke wilayah Israel. 

2. Tragedi Peribadi dan Konfrontasi Politik

Imej Eisenkot sebagai tokoh keselamatan kemudiannya memperoleh dimensi yang bersifat lebih peribadi selepas kehilangan anak lelakinya, Gal Meir Eisenkot dan anak saudaranya, Maor Cohen Eisenkot dalam pertempuran di Gaza pada Disember 2023. Kehilangan tersebut menjadikan dia antara tokoh politik Israel yang memiliki pengalaman langsung sebagai seorang bapa dan anggota keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam perang.

Kedudukan ini turut membentuk cara Eisenkot mengkritik strategi kerajaan Netanyahu. Pada Januari 2024, dia secara terbuka menegaskan bahawa pembebasan tawanan Israel yang masih berada di Gaza tidak boleh dicapai melalui operasi ketenteraan semata-mata dan pendekatan perjanjian perlu dipertimbangkan demi membawa mereka pulang dalam keadaan hidup.

Eisenkot juga menentang usaha blok sayap kanan untuk membina semula penempatan haram Israel di Gaza selepas perang. Dia mengkritik persidangan yang menggalakkan penempatan semula tersebut dengan alasan bahawa langkah sedemikian hanya akan meningkatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat haram Israel dan menjejaskan konsensus nasional. Dalam perkembangan terkini, pendirian Eisenkot terhadap kegagalan 7 Oktober menjadi lebih tegas. Dia menyatakan bahawa sesiapa yang memegang jawatan kepimpinan atau komando pada ketika itu perlu dipertanggungjawabkan dan menyokong penubuhan suruhanjaya siasatan negara bagi menyiasat kegagalan tersebut. 

3. Parti Yashar – Pelan 10 Perkara

Kekuatan Eisenkot juga terletak pada usahanya mengubah populariti peribadi tersebut menjadi platform politik yang tersusun melalui Parti Yashar. Parti ini mengemukakan Pelan 10 Perkara yang membawa slogan untuk mengembalikan Israel ke landasan serta membentuk sebuah Israel yang digambarkan sebagai Yahudi, demokratik, kuat, maju dan selamat.

Antara cadangan yang paling signifikan adalah penubuhan suruhanjaya siasatan negara bagi menyiasat kegagalan 7 Oktober, yang secara langsung menyentuh persoalan akauntabiliti kepimpinan Netanyahu. Eisenkot juga menekankan prinsip perkhidmatan untuk semua, termasuk mewujudkan kewajipan perkhidmatan ketenteraan atau nasional kepada seluruh warga, termasuk masyarakat Haredi dan Arab. Dalam satu kenyataan pada Mei 2026, dia menegaskan bahawa pendiriannya terhadap prinsip tersebut masih tidak berubah.

Cadangan ini tentunya ada implikasi politik yang besar kerana isu pengecualian masyarakat Haredi daripada perkhidmatan ketenteraan merupakan antara isu paling sensitif dalam kancah politik Israel. Justeru pelaksanaannya berpotensi mengganggu hubungan Netanyahu dengan parti-parti Haredi yang menjadi sebahagian daripada asas gabungan pemerintahannya.

Adakah kerajaan berjaya menyekat undi pembangkang melalui laluan udara dan darat?

Menurut beberapa laporan media Israel, wujud perbincangan tidak rasmi dalam Kementerian Pengangkutan mengenai usaha untuk mengehadkan kemasukan warga haram Israel yang menetap di luar negara menjelang pilihan raya 27 Oktober. Kebimbangan yang dilaporkan, melibatkan puluhan ribu warga haram Israel yang difahamkan akan pulang untuk mengundi, khususnya selepas muncul pelbagai kempen di media sosial serta inisiatif seperti Fly&Vote yang membantu mereka mengatur perjalanan pulang. Lebih 30,000 warga haram Israel di luar negara dilaporkan telah mendaftar melalui inisiatif tersebut, manakala jumlah itu dijangka boleh meningkat sehingga puluhan ribu. 

Menurut laporan yang sama, antara pilihan yang dibincangkan adalah dengan mengehadkan slot pendaratan di Lapangan Terbang Ben Gurion, khususnya bagi penerbangan sewaan (charter flights). Langkah ini penting kerana sebahagian besar warga haram Israel yang tinggal di luar negara perlu pulang secara fizikal ke Israel untuk mengundi, memandangkan Israel secara umumnya tidak menyediakan kemudahan mengundi dari luar negara kecuali bagi kategori tertentu. 

Satu lagi kemungkinan yang dilaporkan ialah menggunakan kekurangan ruang parkir pesawat di Lapangan Terbang Ben Gurion sebagai alasan untuk mengehadkan penerbangan sewaan. Kekurangan tersebut dikaitkan dengan kehadiran pesawat pengisi minyak milik Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan sebahagian ruang parkir lapangan terbang. Pesawat-pesawat ini dijangka terus berada di situ sementara menunggu keputusan Presiden AS, Donald Trump berhubung perang dengan Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada November akan datang.

Sebaliknya, tinjauan Coalition for Assistance terhadap 4,500 warga haram Israel yang tinggal di luar negara menunjukkan bahawa sebanyak 84% menganggap pilihan raya ini sangat menentukan, manakala 45% bersedia melakukan apa sahaja untuk pulang dan mengundi. Memandangkan undang-undang Israel melarang pengundian melalui pos bagi mereka yang bukan diplomat, usaha kerajaan untuk menghalang kepulangan kira-kira setengah juta warga haram Israel yang tinggal di luar negara berpotensi memberikan kesan politik yang besar terhadap keputusan pilihan raya akan datang.

Sementara itu, tinjauan pendapat yang dijalankan secara berturut-turut menunjukkan bahawa gabungan Netanyahu, yang terdiri daripada parti-parti nasionalis dan agama dijangka akan kalah dalam pilihan raya. Namun begitu, sehingga kini, para pencabar politiknya masih belum ada laluan yang jelas untuk mengambil alih pemerintahan. Dengan demikian, landskap politik Israel selepas pilihan raya masih terbuka kepada perubahan dan pelbagai lagi perubahan dalam perkembangan selanjutnya.

Sebagai kesimpulan, mungkin akan muncul sebuah pertanyaan dalam minda kita. Adakah keretakan yang berlaku di pentas politik Israel hari ini bakal membawa perubahan signifikan dalam perjuangan pembebasan Baitul Maqdis, dan bumi Palestin secara umumnya? Adakah pengorbanan rakyat Palestin dan di Gaza hari ini semakin menemui sinarnya? 

Kemenangan mungkin akan berpihak kepada umat Islam dan lebih dekat jalan menuju pembebasan sekiranya kita lebih bijak memanfaatkan situasi goyahnya kesatuan di pihak musuh pada saat ini. Namun, sekiranya kita sendiri tidak mampu bersatu dan masih gagal melihat keutamaan dan mengutamakan misi dan cita-cita besar bersama, maka kita juga realitinya masih gagal memperjuangkan isu berdasarkan timbangan yang sewajarnya. 

Artikel asal ditulis oleh Badi’ah al-Sawwan, kolumnis al-Jazeera yang kemudian diterjemahkan dan dilakukan sedikit penambahan maklumat agar lebih jelas penyampaian dalam bahasa melayu.

Lia Maryam
Penterjemah Arab-Melayu, Cinta Gaza Malaysia

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pendatang Haram Dan Tentera Rejim Israel Serang Rumah Penduduk di Abu Falah

Next Post

Tunisia Tahan Lebih 15 Individu Selepas Perarakan Tuntut Pembebasan Aktivis GSF

Related Posts