Adidas Mohon Maaf, Kempen Melibatkan Bekas Tentera Israel Cetus Seruan Boikot 

Syarikat pakaian sukan Jerman, Adidas memohon maaf selepas kempen pengiklanan yang menampilkan seorang bekas tentera Israel mencetuskan kecaman dan seruan untuk memboikot syarikat berkenaan. Kempen tersebut menampilkan Shalev Biton, bekas Tentera Penjajah Israel (IOF) yang kehilangan kaki kirinya ketika berkhidmat dalam Nahal Briged Battalion 931 pada May 2021, bagi mempromosikan perkhidmatan Single Shoe Adidas.

“Kami menyedari bahawa imej yang digunakan dalam satu kempen tempatan baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan dan reaksi keras,” kata Adidas dalam satu kenyataan, menurut laporan Times of Israel.

“Kami tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak dan memohon maaf kepada sesiapa yang terkesan,” tambah syarikat itu, sambil menjelaskan bahawa promosi tersebut merupakan inisiatif pasukan tempatan dan bukannya sebahagian daripada kempen global Adidas.

Biton merupakan antara 11 atlet kelainan upaya yang ditampilkan dalam poster yang dipamerkan di kedai-kedai Adidas di negara haram Israel. Aktivis pro-Palestin mengkritik keputusan Adidas menampilkan seorang bekas tentera Israel dalam kempen yang memfokuskan kepada golongan yang kehilangan anggota badan. Mereka turut membandingkan kempen tersebut dengan ribuan rakyat Palestin yang kehilangan anggota badan akibat perang Israel di Gaza.

Menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada Mei, Gaza merekodkan lebih 5,000 kes amputasi anggota badan akibat kecederaan traumatik serta lebih 22,000 kecederaan serius pada anggota badan sejak Oktober 2023. Sehingga satu perempat daripada mereka yang mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan itu merupakan kanak-kanak.

Adidas menjelaskan bahawa perkhidmatan Single Shoe diperkenalkan bagi menggalakkan keterangkuman dengan membolehkan individu yang mengalami perbezaan anggota badan membeli hanya kasut yang diperlukan, tanpa perlu membeli sepasang.

Sebelum ini, Adidas pernah beberapa kali berdepan kontroversi berkaitan isu Israel-Palestin. Pada 2012, syarikat itu menerima seruan boikot daripada pegawai sukan Arab susulan penajaannya terhadap Maraton Baitul Maqdis (Jerussalem Marathon) yang melalui Baitul Maqdis Timur yang diduduki. Pada 2018 pula, lebih 130 kelab bola sepak dan persatuan sukan Palestin menggesa Adidas menghentikan penajaan terhadap Persatuan Bola Sepak Israel (IFA), khususnya kerana penyertaan kelab yang berpangkalan di penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki. Adidas kemudiannya menamatkan penajaan tersebut, walaupun tidak mengaitkan keputusan itu secara terbuka dengan kempen Palestin.

Kontroversi kembali tercetus pada Julai 2024 apabila Adidas menggugurkan model Palestin-Amerika, Bella Hadid daripada kempen kasut edisi retro yang merujuk kepada Sukan Olimpik Munich 1972 selepas mendapat kritikan daripada Israel. Adidas kemudian memohon maaf dan menyifatkan keputusan itu sebagai ‘kesilapan yang tidak disengajakan’, namun tidak mengembalikan Hadid ke kempen berkenaan. Perkara itu mencetuskan kritikan dan seruan boikot di media sosial, sebelum Adidas sekali lagi berdepan kecaman terbaharu ini.

Adidas menegaskan bahawa mereka akan terus mendengar, belajar dan berusaha memastikan tindakan mereka mencerminkan nilai keterangkuman yang diperjuangkan.

Sumber: Anadolu Agency, The Jerusalem Post

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Antara Pelan Hala Tuju AS dan Pembentukan Semula Sistem Serantau di Palestin

Next Post

Nakba Moden di Gaza

Related Posts