Sekumpulan pendatang haram Israel, dengan perlindungan tentera rejim telah menyerang beberapa rumah penduduk di kampung Abu Falah, timur laut Ramallah, manakala tentera rejim Israel melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup ke arah penduduk yang cuba berdepan dengan serangan tersebut.
Menurut sumber tempatan, sekumpulan pendatang haram yang lengkap bersenjata menyerang rumah-rumah penduduk di pinggir kampung dan cuba memecah masuk beberapa kediaman. Namun, ianya berjaya dihalang oleh penduduk tempatan sebelum tentera pendudukan melepaskan tembakan ke arah penduduk dan pada masa sama menyerbu kampung serta mengerahkan pasukannya ke beberapa kawasan penempatan.
Pendatang haram bersenjata turut cuba memasuki rumah guru besar sekolah Turmusaya, Muhammad Arif Muslim di kawasan Khirbet al-Marajim yang terletak antara al-Mughayyir dan Duma, di antara Ramallah dan Nablus.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera rejim Israel meneruskan serbuan di Silwad, timur Ramallah, termasuk mendirikan sekatan tentera di pusat bandar serta satu lagi di pintu masuk Deir Jarir, sekali gus menyekat pergerakan penduduk.
Situasi di beberapa kampung dan bandar di timur Ramallah dilaporkan semakin tegang susulan peningkatan serangan pendatang haram dan tentera rejim Israel, termasuk kawalan ketat di pintu masuk serta jalan yang menghubungkan kawasan penduduk.
Menurut Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok Palestin, sebanyak 2,030 serangan dilakukan oleh tentera rejim Israel dan pendatang haram sepanjang Ogos, termasuk 1,402 serangan oleh tentera Israel dan 628 serangan oleh pendatang haram. Serangan itu tertumpu khususnya di Nablus, Ramallah dan al-Bireh, al-Khalil, Baitul Laham, Jenin serta Baitul Maqdis.
Cinta Gaza Malaysia (CGM) memandang serius peningkatan serangan pendatang haram dan tindakan ketenteraan Israel terhadap penduduk Palestin, khususnya apabila serangan terhadap kediaman awam berlaku bersama penggunaan peluru hidup dan sekatan pergerakan. Perkembangan ini menunjukkan tekanan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat terus meningkat.
Sumber: Shehab News
Related Posts
Pendatang Haram Israel Bakar Dua Masjid di Tebing Barat
Rejim Israel memperhebat operasi ketenteraan di seluruh Tebing Barat yang diduduki dengan memperketat sekatan di pusat pemeriksaan, mengepung…
Al-Hayya Gesa Dunia Bertindak, Gaza Kini Di Ambang Kelumpuhan
Ketua Biro Politik HAMAS, Khalil al-Hayya menggesa negara-negara pengantara supaya segera campur tangan dan mengenakan tekanan ke atas…
Hari Pertama Persekolahan Bertukar Tragedi, Lima Lagi Syahid di Gaza
Pada pagi Ahad, Wafa Yusuf Akilah, seorang kanak-kanak Palestin di Gaza membawa beg sekolahnya dan berangkat ke sekolah…