Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu memasuki persaingan pilihan raya pada 27 Oktober dengan satu angka yang mencuri perhatian. Menurut tinjauan Saluran 12, sebanyak 57 peratus rakyat Israel berpandangan terdapat calon lain yang lebih sesuai untuk memegang jawatan perdana menteri, berbanding hanya 33 peratus yang menganggap Netanyahu sebagai calon paling sesuai untuk jawatan tersebut.
Corak yang sama turut dapat dilihat dalam kalangan pengundi Yahudi yang pertama kali mengundi. Dalam tinjauan Saluran 12 yang melibatkan 301 pengundi berusia antara 18 hingga 22 tahun, sebanyak 74 peratus daripada mereka mengidentifikasikan diri sebagai berhaluan kanan atau kanan-tengah.
Namun, sokongan mereka tidak tertumpu kepada Parti Likud. Parti Yashar yang dipimpin Eizenkot memperoleh 16 peratus sokongan, diikuti Likud dengan 14 peratus dan pakatan pimpinan Bennett dengan 10 peratus.
Netanyahu cuba membingkaikan pilihan raya sebagai persaingan antara parti berhaluan kanan dan kiri, bukan sekadar antara dirinya dengan calon lain. Reuters melaporkan dia kembali menggunakan pendekatan yang pernah digunakan dalam kempen terdahulu dengan menampilkan dirinya sebagai pelindung Israel dan menggambarkan pesaing sebagai golongan kiri yang lemah dalam menghadapi perang serta tekanan luar. Dalam video kempen pada 18 September, Netanyahu menyifatkan parti Eisenkot sebagai penipu dan meletakkan pilihan antara negara Palestin dengan negara Yahudi.
Cabaran kepada pembentukan kerajaan baharu turut berkait dengan parti-parti Arab. Dalam tinjauan Maariv pada 2 Oktober, blok Netanyahu memperoleh 51 kerusi berbanding 53 kerusi bagi blok pembangkang Zionis, kedua-duanya masih di bawah 61 kerusi yang diperlukan untuk majoriti. Keadaan itu menjadikan sokongan parti Arab berpotensi penting, termasuk Ra’am yang lebih terbuka kepada kemungkinan menyokong kerajaan.
Isu penyertaan politik warga Arab turut menjadi tumpuan selepas pemimpin Balad, Sami Abu Shehadeh menarik diri daripada pilihan raya berikutan perkembangan isu di Mahkamah Agung Israel. Beliau mendakwa ruang politik dan kebebasan bersuara bagi minoriti Arab Palestin semakin sempit. Pada masa sama, beberapa pemimpin pembangkang menyokong penggugurannya, manakala Yair Golan menentang usaha menggugurkan parti-parti Arab secara keseluruhan, walaupun menyokong pengguguran Abu Shehadeh secara individu.
Dengan kedua-dua blok utama masih belum mencapai majoriti 61 kerusi, keputusan pilihan raya akan bergantung bukan sahaja kepada kedudukan Netanyahu tetapi juga kepada susunan gabungan selepas pengundian. Perubahan kepimpinan, jika berlaku, tidak semestinya membawa perubahan menyeluruh terhadap orientasi politik Israel kerana sebahagian pesaing utama Netanyahu datang dari mana-mana arah. Persoalan utama selepas 27 Oktober ialah sama ada keputusan pilihan raya akan mengubah arah politik Israel atau sekadar mengagihkan semula kuasa dalam landskap yang masih mempunyai pengaruh kuat golongan kanan dan kanan tengah.
Sumber: al-Jazeera