Akhbar Israel, Haaretz melaporkan berlaku penularan luar biasa haiwan perosak seperti tikus dalam beberapa minggu kebelakangan ini di tapak ketenteraan dan penempatan haram Israel berhampiran semenanjung Gaza, dengan sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan mengalami gigitan.
Dalam laporan siasatannya, Haaretz berkata beberapa kes kanak-kanak digigit tikus turut direkodkan di kawasan penempatan haram Israel sepanjang dua tahun lalu. Masalah itu turut dihadapi tentera Israel yang ditempatkan di timur Gaza, manakala laporan mengenai haiwan berkenaan semakin meningkat di kawasan penempatan berhampiran sempadan Gaza.
Menurut Haaretz, aduan pertama dilaporkan berlaku di kawasan di bawah Majlis Wilayah Eshkol, dari Kerem Shalom hingga Kissufim sebelum penduduk di kawasan utara termasuk Nahal Oz dan Kfar Aza turut melaporkan masalah sama.
Siasatan itu mendedahkan bahawa penyebaran itu melibatkan beberapa jenis tikus termasuk tikus gerbil — tikus kecil yang lazim ditemui di kawasan pertanian serta tikus besar. Gerbil dilaporkan menyebabkan hasil tanaman di beberapa ladang kacang tanah di kawasan berkenaan merosot sehingga 70 peratus dan haiwan perosak itu juga dilaporkan berada di hampir seluruh kawasan penempatan.
Pendatang haram berkata sebahagian daripada mereka terpaksa mengeluarkan kira-kira 100 ekor tikus dari rumah mereka. Majlis Wilayah Eshkol pula memaklumkan masalah itu turut merebak ke kawasan awam, institusi pendidikan dan kawasan lapang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam dan tahap kebersihan.
Jumlah aduan yang semakin meningkat menyebabkan pihak berkuasa menyimpulkan bahawa masalah itu bukan bersifat setempat. Akibatnya, majlis berkenaan menghubungi kementerian pertanian, perlindungan alam sekitar dan kesihatan serta mula menyelaraskan usaha pemantauan serta kawalan bersama tentera Israel.
Akhbar itu berkata berdasarkan pakar, penyebaran tikus itu adalah berpunca daripada perang rejim Israel ke atas Gaza. Kawasan di sebelah Gaza sepanjang sempadan tidak diselenggara akibat pertempuran dan kawalan ketenteraan Israel, yang mengakibatkan secara tidak langsung telah menyediakan tempat perlindungan bagi haiwan berkenaan untuk membuat sarang dan membiak tanpa gangguan.
Selain itu, hujan lebat sepanjang musim sejuk lalu serta cuaca yang agak sederhana pada musim bunga dipercayai mewujudkan keadaan sesuai untuk tikus membiak dengan pantas. Seekor tikus dilaporkan mampu melahirkan sehingga tujuh anak pada satu-satu masa dan menghasilkan kumpulan anak baharu kira-kira setiap bulan.
Sejak 7 Oktober 2023, perang rejim Israel di semenanjung Gaza telah menyebabkan lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 174,000 lagi cedera, menurut laporan berkenaan, selain kemusnahan besar terhadap kira-kira 90 peratus infrastruktur termasuk jalan raya dan sistem pembetungan.
Pihak rejim Israel juga didakwa terus menyekat pembukaan lintasan serta kemasukan bantuan makanan, perubatan dan bahan binaan yang diperlukan untuk pemulihan sistem air serta pembetungan.
Sumber: al-Jazeera