Gaza dan Kebuntuan Serantau: Penyelesaian yang Tertangguh

Sejak pengumuman The Gaza Road Map bagi pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza, situasi dilihat seolah-olah bergerak ke arah penyelesaian secara berperingkat dan terkawal di bawah naungan Lembaga Keamanan (BOP) yang dipimpin oleh Donald Trump. Walau bagaimanapun, perkembangan dalam tempoh tiga minggu terakhir mendedahkan situasi yang sama sekali berbeza, dengan proses penyelesaian kini tergantung akibat pertembungan tiga konflik yang berlaku secara serentak: Penyusunan semula kedudukan rundingan dalam HAMAS, perpecahan institusi dalam kerajaan haram Israel serta tumpuan Amerika Syarikat (AS) kepada medan serantau yang lebih mendesak. Pertembungan ketiga-tiga faktor inilah dan bukannya teks perjanjian itu sendiri, yang kini menjadi penentu kepada nasib fasa kedua. 

Pertama: Memperkukuh Kepimpinan Rundingan Sedia Ada

Lawatan pertama Khalil al-Hayya ke Kaherah, Mesir yang dilakukan atas kapasiti sebagai Ketua Biro Politik HAMAS sejak memegang jawatan tersebut pada penghujung Julai bukanlah dilihat sebagai petanda permulaan era baharu. Sebaliknya, ia hanyalah kesinambungan kepada usaha-usaha yang telah pun sedia berjalan. Beliau sendiri bertanggungjawab di posisi sebagai portfolio rundingan dan ketua delegasi Palestin dalam rundingan sejak awal perang. Pelantikan beliau sebagai Ketua Biro Politik tidak mengubah landasan rundingan yang sedia ada, tetapi memperkukuh autoriti dan kedudukan rundingan beliau melalui mandat yang lebih tinggi dalam struktur organisasi. 

Dalam erti kata lain, apa yang sedang diuji sekali gus dinilai dalam lawatan ke Kaherah kali ini bukanlah keupayaan al-Hayya untuk membuktikan dirinya di posisi baharu, tetapi sejauh mana keupayaan dan kedudukan baharu dalam organisasi dapat diterjemahkan kepada pengaruh rundingan yang lebih besar dalam menghadapi kedegilan Israel. Di sinilah terletaknya perbezaan asas antara kesinambungan yang diperkukuh dengan ujian legitimasi yang baharu. 

Apa yang menarik kali ini adalah sumber-sumber dalam gerakan tersebut memaklumkan bahawa ada mesej jelas yang diterima daripada pihak AS memaklumkan bahawa para pengantara telah memberitahu HAMAS bahawa pentadbiran AS benar-benar serius untuk mencapai penyelesaian. Walaupun perkara ini dikatakan mungkin menimbulkan kemarahan Netanyahu dan bahawa segala apa yang telah dipersetujui tetap akan diteruskan tanpa sebarang perubahan.

Justeru jika apa yang dikatakan ini benar, maka mesej ini telah meletakkan HAMAS dalam suatu dilema strategik kerana ia bergantung kepada jaminan Amerika yang masih belum teruji apabila berhadapan dengan ‘kerajaan’ Israel yang saban hari menunjukkan bahawa mereka tidak pernah patuh pada jaminan tersebut. Pertemuan Khalil al-Hayya dengan para pemimpin gerakan Palestin di Kaherah turut mencerminkan kebimbangan ini apabila beliau meletakkan tanggungjawab terhadap penjajah atas segala kegagalan pelaksanaan pelan hala tuju serta pengingkaran terhadap komitmen fasa pertama. Beliau turut menyeru kepada langkah-langkah serius dalam menyusun semula barisan dalaman Palestin. Kenyataan sedemikian menunjukkan bahawa HAMAS kini sedang bersiap sedia menghadapi senario kebuntuan yang berpanjangan dan bukannya penyelesaiaan yang bakal dicapai dalam masa terdekat. 

Kedua: Keretakan Institusi dalam Struktur Pemerintahan Rejim Israel

Sudut yang paling signifikan dari segi analisis bukanlah penolakan terbuka Netanyahu terhadap dokumen 15 perkara tersebut tetapi apa yang didedahkan oleh mesyuarat Kabinet Keselamatan Israel, iaitu wujudnya perpecahan dalam institusi pembuat keputusan rejim Israel itu sendiri. Ketika sebahagian menteri menuntut agar operasi ketenteraan disambung semula, namun sebahagian yang lain pula menuntut agar pendirian rasmi yang menentang keseluruhan fasa kedua segera diumumkan. Ini bermakna, perselisihan yang berlaku bukan lagi berkisar di peringkat perincian pelaksanaan tetapi telah menjangkau persoalan asas, iaitu sama ada proses rundingan itu sendiri wajar diteruskan.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah amaran Ketua Shin Bet kepada para menteri bahawa tindakan HAMAS yang menandatangani perjanjian tersebut mungkin hanyalah helah yang bertujuan memastikan rejim Israel tidak kembali melancarkan operasi ketenteraan di Gaza sehingga tarikh pilihan raya tiba.

Amaran risikan ini wajar diberikan perhatian khusus kerana ia membingkaikan semula keseluruhan perjanjian tersebut — bukan sebagai penyelesaian politik tetapi sebagai instrumen taktikal dalam pergelutan dalaman rejim Israel berkaitan penentuan masa pilihan raya. Apabila amaran ini dibaca bersama kenyataan tegas Netanyahu bahawa selagi dia menjadi Perdana Menteri, negara Palestin tidak akan ditubuhkan sama ada di Gaza mahupun di Tebing Barat. Jelaslah bahawa fasa kedua sedang dikendalikan oleh pihak Israel sebagai suatu langkah keselamatan sementara yang telah dikosongkan daripada sebarang prospek politik, bukannya sebagai langkah menuju penyelesaian muktamad. 

Justeru kita dapat lihat jurang yang wujud bukan hanya antara rejim Israel dengan HAMAS sahaja, tetapi juga antara Netanyahu dengan pentadbiran AS sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana seorang pegawai rejim Israel ada menyatakan bahawa pasukan Netanyahu tidak bersetuju dengan draf yang telah dihantar oleh pasukan Trump. Namun sebaliknya mengemukakan ulasan dan pindaan terhadapnya. 

Ketiga: Tumpuan Amerika pada Dua Medan Serentak

Paradoks yang paling ketara dalam situasi semasa adalah tatkala pentadbiran AS, yang pada ketika itu meminta kerajaan haram Israel agar mengawal tindakannya di Gaza, sedangkan pada masa yang sama ia juga sedang ‘menguruskan’ konfrontasi ketenteraan  berdepan Iran. Ini termasuklah mengenakan semula sekatan maritim, mengubah laluan puluhan kapal dagang sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengesahkan pematuhan terhadap sekatan tersebut  serta meningkatkan ketegangan di Selat Hormuz yang disifatkan oleh Naib Presiden AS, JD Vance sebagai ‘fasa baharu konflik’.

Dalam konteks ini, logik realisme ofensif yang dikemukakan oleh John Mearsheimer boleh digunakan. Apabila sesebuah kuasa besar berhadapan dengan ancaman secara langsung terhadap kepentingan strategik utamanya misalnya seperti Selat Hormuz, laluan perkapalan dan usaha membendung pengaruh serantau Iran, maka isu-isu lain termasuk isu Palestin secara automatik berubah menjadi instrumen untuk mengurus keseimbangan serantau yang lebih luas, bukannya matlamat yang berdiri sendiri. 

Dengan kata lain, ini bermakna tekanan AS yang diumumkan secara terbuka terhadap Netanyahu bukanlah suatu komitmen moral atau politik untuk melaksanakan perjanjian tersebut. Sebaliknya merupakan fungsi taktikal yang merangkumi perkiraan yang lebih luas, yang memerlukan Washington mengelakkan daripada munculnya frontliner kedua ketika konfrontasi dengan Iran semakin memuncak.

Tafsiran ini diperkukuhkan lagi dengan perkembangan terkini yang berlaku di Syria dan Lubnan pada waktu yang sama. Serangan rejim Israel ke atas pangkalan udara Syria mencetuskan kecaman Turkiye dan mendorong utusan AS, Tom Barrack yang menyifatkannya sebagai peningkatan ketegangan yang tidak perlu. Pada masa yang sama, Washington juga sedang mengusahakan untuk mewujudkan mekanisme bagi mengelakkan berlakunya pertempuran antara Turkiye, Israel dan Syria. 

Ini bermakna, Washington kini menguruskan rangkaian ketegangan yang saling berkaitan (Iran, Syria, Turkiye, Lubnan dan Gaza) yang mana kesemuanya memerlukan perhatian serentak. Keadaan ini  kenyataannya telah mengehadkan keupayaan Washington untuk memberikan tekanan tegas pada mana-mana front secara khusus. 

Di Lubnan pula, serangan udara rejim Israel di selatan negara itu telah mengorbankan 11 orang, termasuk kanak-kanak. Sementara Hizbullah pula menyeru agar rundingan yang dipimpin Beirut dengan Israel dihentikan. Perkembangan ini menunjukkan bahawa dinamika peningkatan ketegangan di pelbagai front bukan lagi sekadar kemungkinan, tetapi telah menjadi realiti yang sedang berlaku.

Kesimpulan

Apa yang menghubungkan keempat-empat instrumen ini bukanlah penyelarasan antara satu sama lain tetapi perkara serentak yang berlaku secara berstruktur. Pentadbiran AS yang sedang sibuk menghadapi konfrontasi baharu dengan Iran melihat isu Palestin sebagai instrumen rundingan yang boleh ditangguhkan, bukannya keutamaan strategik. Pada masa yang sama, kerajaan haram Israel yang berdepan perpecahan dalaman memanfaatkan kesibukan tersebut untuk membekukan pelaksanaan fasa kedua secara de facto, meskipun secara zahir menerima prinsip rundingan. Sementara itu, kepimpinan rundingan HAMAS pula bergantung pada jaminan AS yang masih belum teruji berhadapan dengan realiti di lapangan yang setiap hari menunjukkan sebaliknya. 

Secara praktikalnya, keadaan ini menghasilkan kebuntuan politik timbal balik dalam setiap isu secara berasingan, yang diterjemahkan di lapangan kepada penerusan kawalan de facto rejim Israel ke atas lebih 60% daripada wilayah Gaza, di samping percepatan secara sistematik proses pengilhakan Tebing Barat sebelum wujudnya sebarang prospek rundingan yang serius.

Justeru, persoalan sebenar yang muncul pada hari ini bukanlah sama ada fasa kedua akan berjaya atau tidak, tetapi berapa lama pembekuan ini boleh terus dipertahankan sebelum salah satu front — sama ada front Iran atau di medan Palestin — memaksa penyusunan semula keutamaan melalui tekanan di lapangan?

Disediakan oleh: Naeem Ashraf Mushtaha  
Diterjemahkan oleh: Sarah Syuhadah, Lia Maryam 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

AS Kerahkan Ribuan Tentera ke Asia Barat Ketika Trump Pertimbang Serangan Terhadap Iran

Next Post

Krisis Kesihatan Gaza Meruncing: 2,027 Pesakit Meninggal Ketika Menunggu Rawatan 

Related Posts