Pernah tak terfikir bahawa slogan “From the river to the sea” boleh membawa kepada perspektif baharu – tidak lagi hanya terikat dengan keadilan, geografi dan politik tradisional – tetapi tentang bagaimana rejim Zionis telah menjajah kesemuanya di Tebing Barat dan Gaza, kecuali matahari.
Fatme Abdallah (2025) memperkenalkan satu lapisan makna baharu melalui sajak yang ditulis Mahmoud Darwish, A River Dies of Thirst yang mana air – sungai dan laut – mempunyai memori dan hubungan; serta mencerminkan identiti dan hubungan rakyat Palestin dengan tanah air mereka. Secara tidak langsung, karya Mahmoud Darwish boleh dibaca sebagai tuntutan untuk mengembalikan hubungan rakyat Palestin dengan sungai dan sumber kehidupan mereka, sekali gus memperluas makna pembebasan yang tidak hanya terhad kepada tanah, identiti dan hak politik.
Memaknai “From the river to the sea” bermakna kita faham bahawa pembebasan Palestin bukan hanya di darat iaitu bermula di sempadan Sungai Jordan sehingga Laut Mediterranean, tetapi ia turut merangkumi sumber air dari Sungai Jordan di timur sehingga Laut Mediterranean di barat. Sejak penjajahan Zionis pada 1948, siapa yang mengawal air dianggap mempunyai kuasa untuk menentukan siapa boleh tinggal dan meneruskan kehidupan di atas tanah tersebut.
Sumber Air yang Dikawal Sejak 1967
Sejak 1967, tiga sumber air utama Palestin – Sungai Jordan, akuifer pesisir dan akuifer gunung telah diletakkan di bawah kawalan rejim Zionis dan penduduk Palestin disekat untuk membangunkan kemudahan air baharu atau menyelenggara kemudahan sedia ada tanpa permit tentera. Setakat 2021, sekatan itu masih diteruskan ke atas rakyat Palestin, tetapi tidak untuk penduduk haram Israel. Sebagai rekod, Kementerian Tenaga dan Pihak Berkuasa Air Israel telah memperoleh sistem bekalan air pada 1982 melalui syarikat nasional, Mekorot.
Berdasarkan Ketetapan Tentera Israel No. 92 dan No. 158, Israel mengawal 80% rizab air dan 85% air bawah tanah di Tebing Barat. Rentetan itu, penduduk haram Israel di Kawasan C[1] di Tebing Barat menikmati kemudahan air tetapi untuk rakyat Palestin, mereka perlu memohon permit penggalian – itupun, jika diluluskan, kedalamannya tidak boleh melebihi 140 meter! Lebih tidak masuk akal apabila penduduk Palestin di Tebing Barat perlu membeli air milik mereka daripada Mekorot dengan harga mahal, sekitar $4-$10 (RM16-RM41) bagi setiap meter padu (m³ ).
Krisis air di semenanjung Gaza sedikit berbeza kerana pengepungan yang dilakukan oleh rejim Israel sejak 2005 menyebabkan sistem air semakin rapuh kerana usaha membaiki sistem dihalang. Sebagai rekod, walaupun pentadbiran HAMAS sudah mengambil alih Gaza pada 2007, usaha baik pulih menjadi sukar dan semakin memburuk disebabkan oleh pengepungan rejim Israel. Maka, kebergantungan rakyat Gaza untuk mendapatkan air bersih hanyalah dari akuifer pesisir, itupun mereka hanya dibenarkan mengakses 55 juta meter padu. Sumber air dari akuifer gunung di Tebing Barat langsung disekat! Bayangkan, lebih dua juta penduduk Gaza menggunakan sumber air yang sama – mana cukup! Sedangkan 90%-95% keadaannya sudah tercemar kerana kemasukan air laut, termasuk sisa kumbahan yang dilepaskan ke laut menyebabkannya tidak sesuai untuk diminum dan tidak cukup akibat pengekstrakan berlebihan.
Jika mahu dibandingkan antara penggunaan air oleh rakyat haram Israel dan penduduk Palestin, terlalu jauh perbezaannya. Amnesty International pada 2017 merekodkan dalam sehari, seorang penduduk Palestin menggunakan sekitar 73 liter air, lebih rendah daripada kadar minimum penggunaan air harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 100 liter per kapita sehari. Namun, bagi komuniti penggembala di Tebing Barat, kebanyakan mereka menggunakan air serendah 20 liter seorang. Ironinya, penduduk Israel menggunakan sekitar 300 liter air sehari di atas tanah bukan milik mereka!
Rantaian yang Saling Bergantung = Hydro-Apartheid
Kekurangan air di Palestin bukan semata-mata disebabkan oleh cuaca kering. Meskipun Palestine Meteorological Department (PMD) melaporkan cuaca panas dengan peningkatan suhu sekitar empat darjah Celsius berbanding purata tahunan, krisis air yang berlaku sebenarnya berpunca daripada rantaian sistem air yang saling berkaitan sehingga menghasilkan kesan domino.
Cuba bayangkan ini:
Sejak 1967, rakyat Palestin terpaksa menggali telaga baharu untuk mendapatkan air bersih. Penggalian memerlukan tenaga elektrik atau bahan api untuk menghidupkan pam dan generator. Selain dengan cara itu, mereka perlu membeli sumber air daripada rejim Israel kerana sumber air bersih telah disekat. Pada masa yang sama, di Gaza, keadaan semakin meruncing apabila konflik Israel-HAMAS dalam Perang Taufan al-Aqsa menyebabkan infrastruktur air terjejas dan sekatan terhadap kemasukan alat ganti, tenaga kerja pembaikan dan bahan rawatan air masih dilaksanakan sehingga ke hari ini.
Apabila satu atau beberapa bahagian ini disekat, keseluruhan sistem boleh gagal.
Kita lihat situasi hari ini di semenanjung Gaza; setakat 29 Mei 2026, seramai 82% keluarga Gaza berdepan dengan ketakjaminan air. Pada masa yang sama, kira-kira 70% keluarga Gaza tidak mampu memperoleh minimum 6 liter air bersih seorang sehari untuk mandi, mencuci, minum dan memasak. Sementara itu, operasi lori tangki air di stesen pengisian Al Mansoura telah digantung akibat pembunuhan dua orang pemandu lori UNICEF pada April. Sebagai rekod, stesen Al Mansoura merupakan sumber air minuman harian bagi 285,000 penduduk di utara Gaza. Disebabkan itu, air terpaksa diangkut dari loji penyahgaraman bagi menggantikan bekalan 2 juta liter air sehari yang sepatutnya dibekalkan dari Al Mansoura. Namun, lain pula yang berlaku apabila Israel mengebom loji penyahgaraman pada Ogos walaupun gencatan senjata masih berlaku. Jenayah yang dilakukan rejim Israel adalah jenayah yang disengajakan untuk menghalang rakyat Gaza mengakses air bersih walaupun gencatan senjata berkuatkuasa sejak Oktober 2025.
Dan ketika kita beranggapan sekatan bantuan asas di Gaza bermakna sekatan makanan dan alat kebersihan sahaja, ia sebenarnya merangkumi keseluruhan keperluan yang boleh meringankan beban penduduk Gaza. Misalnya, sekatan ke atas alat ganti dan bahan rawatan air, termasuk minyak enjin, minyak pelincir dan keperluan lain yang menggerakkan mesin menyebabkan penghasilan air melalui penyahgaraman air laut mencatatkan penurunan kepada 16,000 m³ sehari daripada 20,000 m³ sehari pada bulan Mac sahaja.
Di sini, krisis semakin meruncing kerana kekurangan air mengundang pelbagai jenis penyakit – penyakit kulit dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan orang dewasa; penyakit salur penghadaman, penyakit berkaitan kesihatan wanita – yang boleh membawa maut. Lebih parah, ketiadaan air bersih, sanitasi buruk dan longgokan sampah mencetuskan pembiakan haiwan perosak seperti tikus dan serangga. Tidak hairanlah jika berlaku peningkatan risiko penularan wabak penyakit berjangkit yang boleh merebak lebih pantas. Jika ada pun sabun untuk membersihkan badan atau kawasan penempatan, kosnya meningkat dua kali ganda. Misalnya, sabun basuh baju (7kg) boleh mencecah harga RM66 atau RM134!
Domino terus bergerak ke fasa yang menakutkan di Palestin tetapi hydro-apartheid ini menyaksikan alam sekitar dimanipulasi rejim Israel untuk terus merampas tanah dan sumber air milik rakyat Palestin, demi usaha Israel mencantikkan imejnya sebagai ‘syurga mesra alam’ bagi pelancong yang mencintai alam semula jadi.
Justeru, memaknai “From the river to the sea” juga bermakna mengiktiraf hak rakyat Palestin terhadap seluruh sumber kehidupannya iaitu dari Sungai Jordan sehingga ke Laut Mediterranean; dari akuifer gunung di Tebing Barat sehingga ke akuifer pesisir di Gaza. Selagi rakyat tidak diberikan hak bebas untuk mengakses dan mengurus air di tanah mereka sendiri, pembebasan Palestin masih belum lengkap.
Nur Sabrina binti Suhaimi,
Eksekutif Penyelidik dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia
Related Posts
Massa: Tahun Pertama di dalam Perang, Tahun Kedua Dikelilingi Runtuhan Bangunan
Saya meninggalkan Gaza sebulan sebelum perang meletus dengan harapan saya akan pulang dan ketiadaan saya di samping keluarga…
Di Sebalik Statistik: Realiti Hidup Anak Yatim di Gaza
Gaza berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan akibat konflik bersenjata yang berulang sejak bertahun-tahun. Dalam keadaan ini, kesan peperangan tidak…
Gaza: Pertimbangan Realpolitik dan Kemanusiaan
Konflik Gaza hari ini bukan sekadar peperangan bersenjata; ia menegaskan semula dilema realpolitik global — di mana nilai…