Aktiviti perdagangan penduduk haram Israel di Tebing Barat hanya merangkumi sebahagian kecil daripada keseluruhan ekonomi Israel, namun sekatan Eropah berpotensi memberi tekanan langsung kepada sektor eksport tertentu khususnya pertanian.
Menurut laporan al-Jazeera, antara produk utama yang dihasilkan di tanah haram itu ialah kurma, terutamanya Medjool, selain sayur-sayuran, buah-buahan, minyak zaitun, wain, kosmetik serta barangan industri dan pengguna.
Kawasan Lembah Jordan menjadi pusat utama penanaman kurma, manakala anggur dan kilang wain banyak tertumpu di kawasan bukit al-Khalil serta antara Ramallah dan Nablus. Industri kosmetik dan herba pula berkembang di sekitar Laut Mati, sementara kawasan perindustrian seperti Ma’ale Adumim dan Barkan menghasilkan bahan binaan, pembungkusan serta barangan pengguna.
Britain merupakan antara pasaran utama bagi eksport Israel dan telah mengumumkan larangan mengimport barangan serta perkhidmatan dari penempatan di Tebing Barat. Eksport barangan Israel ke Britain, tidak termasuk berlian, bernilai kira-kira AS$1.24 bilion pada 2025 berbanding AS$1.28 bilion pada 2024. Bagaimanapun, bahagian produk penempatan dalam jumlah perdagangan itu adalah kecil.
Menurut kenyataan terdahulu Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Kementerian Ekonomi Israel, Roi Fisher, nilai eksport dari penempatan dianggarkan sekitar AS$34 juta setahun, berbanding jumlah eksport barangan dan perkhidmatan Israel yang mencecah kira-kira AS$44 bilion. Manakala produk lain yang berkaitan pula seperti hasil pertanian segar termasuk kurma dianggarkan bernilai sekitar AS$45 juta.
Angka itu menunjukkan eksport penempatan tidak mempunyai berat besar pada peringkat makroekonomi. Namun, sekatan berkenaan boleh menjejaskan pengeluar secara langsung, terutama syarikat pertanian yang bergantung kepada pasaran luar negara ketika musim pengeluaran dan tuaian.
Tindakan terhadap penempatan turut mendapat sokongan 11 negara lain termasuk Perancis, Kanada, Sepanyol dan Ireland. Langkah yang dibincangkan merangkumi larangan import, sekatan terhadap perkhidmatan kewangan, insurans, perancangan, pembinaan dan infrastruktur, selain sekatan promosi hartanah serta tindakan terhadap individu dan entiti yang menyokong aktiviti penempatan.
Kebimbangan utama dalam kalangan pegawai dan penganalisis ekonomi Israel ialah kebarangkalian berlakunya snowball effect. Sekatan yang pada awalnya menyasarkan produk penempatan boleh berkembang kepada syarikat Israel yang mempunyai hubungan dengan aktiviti penempatan, termasuk bank, syarikat pembinaan, infrastruktur, telekomunikasi, tenaga, pengangkutan dan peruncitan.
Penganalisis ekonomi politik, Imtiaz Shehadeh berkata pengimport antarabangsa mungkin memilih untuk mengurangkan urusan dengan syarikat Israel tertentu kerana sukar membezakan produk yang dihasilkan di penempatan dengan produk dari dalam Israel. Langkah itu boleh menyebabkan kesan sekatan meluas kepada eksport Israel secara keseluruhan, bukan hanya barangan dari penempatan.
Pasaran Barat amat penting kepada Israel. Pembelian barangan Israel oleh 12 negara berkenaan berjumlah kira-kira AS$6.8 bilion pada 2025, berbanding AS$8.1 bilion pada 2024. Selain itu, nilai perkhidmatan yang dibeli oleh 10 negara tersebut pada 2024 mencecah AS$6.77 bilion.
Sumber: al-Jazeera
Related Posts
Dua Ahli Kongres AS Cadang Hentikan Bantuan Ketenteraan kepada Israel
Dua Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat mengumumkan sokongan terhadap usaha mengurangkan bantuan ketenteraan kepada…
Pendakwa Raya Itali Siasat Ben-Gvir Atas Dakwaan Terhadap Aktivis Flotila ke Gaza
Pihak pendakwa raya Itali dilaporkan telah membuka siasatan terhadap Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir, berhubung dakwaan…
Adidas Mohon Maaf, Kempen Melibatkan Bekas Tentera Israel Cetus Seruan Boikot
Syarikat pakaian sukan Jerman, Adidas memohon maaf selepas kempen pengiklanan yang menampilkan seorang bekas tentera Israel mencetuskan kecaman…