Beberapa ahli Parlimen Israel mengecam keras kerajaan sementara pimpinan Benjamin Netanyahu susulan peningkatan serangan pendatang haram Yahudi terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, dengan menyifatkannya sebagai keganasan oleh kumpulan Yahudi.
Kritikan itu menyusuli beberapa serangan yang berlaku pada malam Sabtu, apabila pendatang haram membakar kenderaan dan harta benda milik rakyat Palestin di beberapa perkampungan di seluruh Tebing Barat.
Gadi Eisenkot, pemimpin parti Yashar menyifatkan serangan tersebut sebagai satu keganasan yang jelas dan bukannya rusuhan dilakukan oleh pendatang haram Yahudi. Menerusi hantaran di platform X, dia turut mendakwa tindakan Menteri Keselamatan Negara haram Israel, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich telah membawa Tebing Barat ke ambang anarki yang tidak terkawal.
Eisenkot mendesak kerajaan dan pasukan keselamatan rejim Israel menggunakan segala kaedah untuk menghentikan serangan berkenaan, termasuk penahanan pentadbiran serta operasi bersasar oleh agensi keselamatan Shin Bet, selain mengenakan hukuman berat terhadap pelaku.
Pemimpin pembangkang, Yair Lapid menggesa kerajaan Netanyahu untuk bertanggungjawab kerana didakwa menggalakkan keganasan pendatang haram melalui sikap berdiam diri. Dia menyifatkan keganasan tersebut sebagai hasil kecuaian jenayah kerajaan haram Israel dan berjanji akan menanganinya sekiranya gabungan politiknya berjaya membentuk kerajaan baharu.
Sementara itu, pemimpin Parti Demokrat, Yair Golan memberi amaran bahawa Tebing Barat berada di ambang letusan konflik yang boleh mencetuskan intifada ketiga. Dia mendakwa kerajaan Netanyahu membiarkan serangan pendatang haram terhadap rakyat Palestin berterusan, malah memberikan perlindungan kepada mereka yang melakukan keganasan tersebut.
Bekas Mejar Jeneral tentera Israel yang juga ahli Knesset, Noam Tibon turut memberi amaran bahawa kegagalan membendung keganasan pendatang haram boleh membawa kemusnahan kepada Israel.
Menurut akhbar Haaretz, pendatang haram Israel membakar dan merosakkan harta benda di lima lokasi pada Sabtu malam, iaitu Deir al-Sudan, Kafr Malik dan Deir Abu Mashal di Tebing Barat Tengah, al-Tuwani di selatan serta Deir Ballut di utara. Polis Israel mendakwa telah membuka siasatan, namun tidak ada kenyataan menjelaskan sama ada suspek telah ditahan.
Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin merekodkan sebanyak 3,133 serangan dilakukan tentera Israel dan pendatang haram sepanjang Oktober lalu, termasuk 1,764 serangan oleh tentera dan 1,369 serangan oleh pendatang haram. Secara keseluruhan, kira-kira 750,000 pendatang haram tinggal di 156 penempatan haram dan 360 pos penempatan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitul Maqdis Timur.
Sumber: Anadolu Ajansi