Rejim Israel Lancar Operasi Baharu di Gaza, Tiga Terbunuh

Tentera rejim Israel mempergiat operasi ketenteraan baharu di kawasan tengah semenanjung Gaza pada 18 November, melibatkan kawasan sekitar utara kem pelarian Nuseirat dan Bureij. Operasi itu menyaksikan kemaraan kereta kebal ke arah Jalan Salah al-Din, berhampiran Jambatan Wadi Gaza, selain serangan artileri dan dron di beberapa kawasan yang didiami penduduk Palestin.

Menurut laporan Agensi Berita Shehab, operasi tersebut meliputi beberapa kawasan perumahan di timur laut kem Nuseirat dan barat laut kem Bureij. Tentera Israel turut mengumumkan penutupan Jalan Salah al-Din kepada kenderaan sepanjang operasi berlangsung, tanpa menetapkan tempoh penutupan. Laluan berkenaan merupakan jalan utama yang menghubungkan kawasan utara dan tengah Gaza, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk.

Selain kemaraan kereta kebal, tentera Israel melancarkan serangan dron dan bedilan artileri di kawasan al-Mughraqa, utara Nuseirat serta memusnahkan beberapa bangunan kediaman di timur kem Maghazi menggunakan bahan letupan yang dijatuhkan dron. Tembakan turut dilaporkan di kawasan timur bandar Gaza, Khan Yunis dan sekitar kejiranan al-Tuffah, al-Shuja’iyya serta al-Zaytoun. Tentera rejim mendakwa operasi di kawasan garisan kuning itu kononnya bertujuan untuk menghapuskan ancaman terhadap pasukan mereka, selain menyasarkan infrastruktur HAMAS.

Serangan berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin, menurut laporan al-Jazeera yang memetik sumber hospital. Seorang terbunuh dalam serangan di al-Mughraqa, manakala serangan dron berasingan di Deir al-Balah dan kawasan Sheikh Ijlin di barat bandar Gaza turut mengorbankan dua lagi penduduk serta mencederakan beberapa individu. Agensi berita Shehab turut merekodkan kematian dan kecederaan dalam beberapa serangan lain di seluruh Gaza pada hari sama.

Kemaraan tentera dan serangan berterusan memaksa keluarga Palestin meninggalkan kediaman serta khemah perlindungan di sekitar Nuseirat, Bureij dan kawasan terjejas di Deir al-Balah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa operasi itu berpotensi menyebabkan lebih 18,000 penduduk kehilangan tempat perlindungan, termasuk kira-kira 4,000 orang yang tinggal di pusat penempatan sementara. Pertahanan Awam Gaza pula memaklumkan lebih 5,260 penduduk yang berlindung di enam lokasi berdepan ancaman akibat kemaraan tentera Israel.

Kesan operasi itu turut memburukkan keadaan kemanusiaan apabila penduduk terpaksa berpindah sekali lagi, sedangkan ramai masih belum pulih daripada kemusnahan dan perpindahan akibat perang sebelum ini. Penutupan Jalan Salah al-Din turut menyukarkan pergerakan orang awam, manakala kekurangan kenderaan, peralatan dan sumber menyukarkan pasukan Pertahanan Awam Gaza menjawab panggilan kecemasan serta memberikan bantuan kepada penduduk di kawasan terancam.

Menurut HAMAS, tindakan Israel bertujuan menghimpit penduduk ke kawasan yang semakin sempit di Gaza, sekali gus memburukkan krisis kemanusiaan. HAMAS turut menyatakan bahawa Israel dan Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan operasi ketenteraan serta serangan yang mengorbankan orang awam.

Sumber: Shehab News, al-Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rejim Israel Paksa Tahanan Wanita Tanggalkan Hijab, Diugut dan Dipukul di Penjara

Next Post

Erdogan Gesa Umat Islam Tingkatkan Tekanan terhadap Israel

Related Posts