Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa sekatan ketat yang dikenakan oleh rejim Israel terhadap kemasukan bantuan ke semenanjung Gaza telah menjejaskan usaha menyelamat dan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir kilat.
PBB berkata sekatan itu menyebabkan pasukan bantuan kemanusiaan terpaksa beroperasi dengan peralatan serta bekalan perlindungan yang jauh daripada mencukupi, susulan hujan lebat yang mengakibatkan banjir, korban jiwa serta perpindahan penduduk secara besar-besaran.
Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq berkata demikian dalam satu sidang media di New York. Beliau menjelaskan bahawa sekatan Israel menyebabkan petugas kemanusiaan terpaksa menjalankan operasi dalam keadaan serba kekurangan dengan menggunakan kelengkapan yang tidak mencukupi untuk menangani keadaan semasa.
Menurut Haq, Timbalan Penyelaras Khas PBB bagi Proses Damai Asia Barat, Ramiz Alakbarov menggesa supaya semua sekatan dan halangan terhadap kemasukan bantuan ditarik balik bagi membolehkan bekalan bantuan yang diperlukan dibawa masuk, termasuk pam saliran air, jentera berat, khemah, alas perlindungan, selimut dan pakaian musim sejuk.
Beliau turut menjelaskan bahawa hujan lebat pertama pada tahun ini mencetuskan banjir kilat akibat kemusnahan besar-besaran infrastruktur di Gaza. PBB menerima laporan mengenai seorang bayi yang maut akibat lemas dalam air banjir, manakala tiga kanak-kanak dan seorang wanita dilaporkan terkorban selepas timbunan pasir runtuh dan menimpa khemah-khemah di kem penempatan sementara.
Dalam perkembangan berkaitan, Haq berkata serangan berterusan tentera Israel terhadap kawasan kediaman di Gaza terus mengakibatkan lebih banyak korban selain mengganggu operasi pasukan PBB. Beberapa kakitangan PBB dilaporkan terpaksa berlindung selepas tentera Israel melepaskan tembakan berhampiran kawasan kem penempatan sementara di barat garisan kuning di bandar Gaza.
Keadaan itu menambah buruk krisis kemanusiaan yang melanda Gaza sejak bermulanya serangan Israel pada Oktober 2023. Anggaran PBB menunjukkan kira-kira 950,000 rakyat Palestin kini tinggal di kawasan penempatan sementara yang berisiko dilanda banjir.
Ratusan ribu keluarga pula memerlukan bantuan perlindungan dengan segera, namun bekalan yang tersedia hanya mampu memenuhi sebahagian kecil daripada keperluan mereka. PBB mengaitkan kekurangan itu dengan sekatan berterusan serta halangan yang dikenakan rejim Israel terhadap usaha bantuan kemanusiaan.
Sumber: Shehab News, The Palestine Chronicle